.png)
KUALA LUMPUR, 6 Sept – Majlis Peguam menegaskan tindakan Kelab Belia Graduan 1Malaysia (KBGM) membuat laporan polis semalam mengenai Kempen Perlembagaanku mendakwa kononnya ia satu usaha untuk meminda Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berasas sama sekali, dibuat ekoran kurangnya pemahaman berkenaan kempen itu.
Justeru kata beliau, Presidennya Ragunath Kesavan, kempen itu bertujuan meningkatkan kesedaran tentang Perlembagaan Persekutuan di kalangan rakyat, bukannya mahu meminda dokumen asas undang-undang itu.
“Ia langsung tidak menjadi matlamat Majlis Peguam untuk cuba membuat pindaan terhadap Perlembagaan.
“Kempen ini tidak bersifat kepartian dan kami mengambil segala usaha untuk menjalin usaha sama dengan semua pihak yang mahu bekerjasama dengan kami,” kata Ragunath (gambar) dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Menurut beliau, setakat ini aktiviti-aktiviti kempen itu telah dihadiri dan disokong oleh banyak pihak termasuk seorang menteri dan seorang timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, seorang ketua menteri, dua menteri besar, ahli-ahli Parlimen termasuklah Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
“Nampaknya kebimbangan utama KBGM adalah bahawa Buku Panduan Rakyat telah memaklumkan rakyat Malaysia yang Perlembagaan menyatakan bahawa ia boleh dipinda oleh ahli-ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat Malaysia.
“Ini sememangnya ada dinyatakan dalam Perlembagaan.
“Dalam pengetahuan kami, Parlimen telah meminda Perlembagaan lebih 40 kali dalam masa 53 tahun yang lalu dengan lebih kurang 650 pindaan individu,” kata beliau.
Adalah dilaporkan bahawa KBGM telah menyuarakan kebimbangannya bahawa buku-buku panduan yang dikeluarkan oleh kempen itu mungkin bersifat menghasut.
“Kami percaya bahawa kebimbangan KBGM tentang Kempen itu adalah tersasar, dan timbul akibat kurangnya pemahaman dan ilmu berkenaan Kempen itu dan juga Perlembagaan Persekutuan (Perlembagaan),” katanya.
Kelab itu membuat laporan polis kononnya wujud penyebaran risalah dan buku berbaur hasutan terhadap institusi perlembagaan negara ini.
Setiausaha Agung kelab itu, Ezaruddin Abdul Rahman berkata risalah tersebut yang dinamakan “Perlembagaanku”, mendakwa rakyat berhak meminda perlembagaan negara jika memilih anggota Parlimen yang mampu berbuat demikian.
“Kami difahamkan risalah itu diedarkan di beberapa institusi pengajian di sekitar Lembah Klang dan beberapa kolej di Kedah melalui kempen mereka.
“Kita percaya ia dibiayai NGO (badan bukan kerajaan) asing bersifat antikerajaan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu di Balai Polis Serdang di sini.
Secara amnya, menurut Ragunath, pindaan Perlembagaan memerlukan sokongan dua pertiga ahli-ahli Parlimen.
“Namun demikian, terdapat beberapa peruntukan dalam Perlembagaan seperti yang berkaitan dengan kedudukan istimewa orang Melayu, yang hanya dapat dipinda dengan kebenaran Majlis Raja-raja,” katanya.
Ragunath memberitahu, dakwaan KBGM bahawa kempen ini dibiayai oleh pertubuhan bukan kerajaan asing antikerajaan adalah tidak berasas sama sekali.
“Kempen PerlembagaanKu adalah kempen yang tidak mengaut keuntungan. Ia dibiayai oleh Badan Peguam Malaysia dan telah menerima sumbangan daripada pelbagai pihak, termasuklah kerajaan persekutuan, kerajaan-kerajaan negeri, badan politik dan bukan politik serta rakyat Malaysia,” katanya.
Kempen PerlembagaanKu bertujuan untuk memaklumkan rakyat tentang apa yang dinyatakan dalam Perlembagaan.
“Ia menggalakkan orang ramai untuk membaca Perlembagaan dengan sendiri dan mempelajari tentang apa yang terkandung dan tidak terkandung dalam Perlembagaan.
“Dalam hal ini, kami percaya bahawa kebimbangan KBGM dapat diatasi dengan ilmu pengetahuan berkenaan dengan Perlembagaan. Kami menjemput KBGM untuk mengadakan perbincangan dan sedia bekerjasama dengannya untuk bersama-sama ‘Merakyatkan Perlembagaan’,” katanya. (Malaysian Insider)


1 comments:
Alangkah baiknya sekira Majlis Peguam Berbincang sesama sendiri bagaimana menyelesaikan kes-kes- mahkamah yang tertunggak daripada membuang masa berkempen Perlembagaan Negara yang hanya memberi menafaat kepada beberapa kerat manusia
Post a Comment