Tragedi pembunuhan seorang wanita berusia 57 tahun oleh anak lelakinya sendiri adalah sesuatu yang sangat malang. (MYMETRO) Apatah lagi kematian tersebut hanya disebabkan oleh kepercayaan karut yang masih tidak dapat dihapuskan meskipun dunia sudah maju dan ilmu pengetahuan sangat mudah diperolehi.Mempercayai dunia ghaib merupakan salah satu daripada rukun iman, namun mempercayai keupayaan jin dan saka untuk mendatangkan natijah yang buruk kepada manusia, merupakan antara kerosakan besar yang sangat mencacatkan akidah, malah membawa kepada kesyirikan besar.
Dewasa ini, ramai orang yang berbicara tentang agama, biar siapa pun mereka, biar bagaimanapun caranya. Selain daripada nas-nas al Quran dan As-Sunnah, perkataan para ulama juga sering digunakan dalam berbicara tentang agama. Kecenderungan untuk kembali kepada mengamalkan agama Islam adalah sangat menggembirakan, namun sesetengah pihak lebih cenderung mentafsirkan nas-nas al Quran dan As-Sunnah mengikut hawa nafsu mereka tanpa manhaj yang sebenar, lalu terbentuklah fahaman-fahaman yang salah dalam agama dan ini merupakan fenomena yang sangat menggusarkan
Ada sesetengah daripada mereka membuka kitab-kitab ulama dan membaca kalam-kalam ahli ilmu, namun mereka dan para ulama sangat berbeza khususnya dari segi memiliki manhaj sempurna dalam berinteraksi dengan nas-nas agama dan teks-teks ilmiah para ulama. Bahkan, kecenderungan melahirkan pendapat dalam bidang agama hanya dengan merujuk kitab-kitab para ulama versi terjemahan, lebih membimbangkan kerana mereka sebenarnya sekadar berinteraksi dengan maklumat, bukannya dengan ILMU.
Bukan semua orang yang pandai berkata-kata dengan hiasan hujah-hujah keilmuan sebenarnya benar-benar ahli ilmu dalam penilaian Islam. Ini kerana dalam Islam, wujud tradisi pewarisan ilmu-ilmu agama yang mana jikalau seseorang itu tidak melalui tradisi tersebut dan terpinggir daripada tradisi itu, maka secara ukuran ilmiahnya, dia tidak dianggap sebagai berkelayakan dalam bidang keilmuan Islam, malah dianggap seseorang yang meragukan untuk dijadikan rujukan dalam memahami agama Islam secara sempurna.
Kita boleh membaca kitab-kitab para ulama, terutama tentang adab-adab penuntut ilmu dan para ulama serta ukuran keahlian mereka dalam bidang agama. Ia bukan suatu perkara yang baharu, tetapi sudah semakin pupus dalam bentuk praktikal melainkan di sisi mereka yang benar-benar mewarisi ilmu agama secara sahih. Inilah mungkin antara laluan menuju 'terangkatnya ilmu dengan pemergian ahlinya,' yang diisyaratkan oleh Rasulullah s.a.w yang bakal dan sedang berlaku pada zaman ini iaitu penghujung usia dunia.
Tragedi yang berlaku di Felda Chini Timur 1, berpunca daripada belajar tanpa bersanad. Atau dalam bahasa mudah, belajar daripada pembacaan, bukannya menghadap guru hidup atau mursyid.
Kes sebegini tidak terpencil. Ramai orang yang terperangkap dengan gelaran Tok Guru, Tuan Guru, Ustaz dan Kiyai untuk mendalami pengajian dalam bidang agama. Mereka tidak berusul periksa sanad keilmuan golongan yang menjadi Tok Guru, Tuan Guru, Ustaz dan Kiyai itu. Bahkan mereka tidak lagi mempedulikan dengan amalan golongan berkenaan sama ada selari dengan ilmu yang diajarkan atau sebaliknya.
Banyak yang terjadi, ramai orang cuma belajar agama daripada pentas-pentas ceramah politik. Mereka sangat tertarik dengan ungkapan-ungkapan yang diberikan oleh golongan Tok Guru, Tuan Guru, Ustaz dan Kiyai. Lantas mereka mula mengamalkannya tanpa usul dan periksa. Percampuran pelbagai keilmuan dihalalkan dengan ungkapan, 'SEGALA-GALANYA ADALAH POLITIK'. Maka terhasillah satu golongan yang bebal hatinya, keras lidahnya dan kebal engkarnya kerana mereka telah ditanam dengan TAQLID secara membuta tuli semenjak daripada awal lagi.
Teladan daripada ulama-ulama muktabar yang mempunyai ramai guru, tidak mereka endahkan. Pelajaran agama bagi mereka sekadar cukup untuk disandarkan hujah dan perdebatan. Lidah mereka sangat fasih berdebat dengan menggunakan ungkapan-ungkapan yang berbau keagamaan. Namun amal mereka tidak seperti ilmu yang dizahirkan. Bahkan ada di kalangan mereka yang menjadi KUFUR kalau tidak pun KAFIR dan MUSYRIK.
Mempelajari ilmu agama untuk tujuan berdebat dan berbahas, adalah antara perbuatan yang terkutuk. Sedangkan ilmu berkenaan seharusnya digunakan untuk memperbaiki amalan bagi mendekatkan diri kepada Allah Taala. Seharusnya ilmu yang dipelajari menjadikan mereka lebih bersifat hamba dan tahu garis sempadan antara hamba dan Khaliq.
Fenomena perdebatan agama terutama yang bersangkutan dengan masalah furu' cukup mudah dikesan di mana-mana. Tanpa sanad dan sandaran yang kukuh, golongan yang berasakan mereka sudah sangat fasih, terus menjatuhkan hukuman. Namun apabila maslahat tersebut menimpa mereka, mereka akan segera mengubah hukum dengan menggunakan akal dan tidak lagi berpandukan kepada wahyu.
Diriwayatkan dalam kitab Kasyaf Al-Qana' (kitab rujukan Mazhab Hanbali):
Daripada Abdil Rahman bin Abi Laila, berkata, " Aku sempat bertemu seratus dua puluh orang sahabat Rasulullah s.a.w. Maka aku bertanya kepada salah seorang daripada mereka tentang suatu masalah agama, maka dia (Sahabat berkenaan) akan menolaknya kepada orang ini (menyuruh bertanya kepada Sahabat yang lain) kepada orang ini, kemudian kepada orang ini sehinggalah persoalan tersebut sampai semula kepada Sahabat yang pertama tadi." (Kasyaf Al-Qana' Syarh Al-Iqna' oleh Imam Al-Buhuti dalam kitab Al-Qadha' wa al-Futya pada Fasl Ahkam Tata'allaq bi Al-Futya
Pastinya ramai yang tahu, warisan ilmu Islam itu adalah seperti berikut:
Orang yang mewariskan (Al-Muwarris): Rasulullah s.a.w
(Pewaris) Orang yang mewarisi: Para ulama
Sesuatu yang diwarisi: Ilmu Agama
Hubungan antara pewaris dengan orang yang mewarisi: Hubungan/Sanad/Silsilah Talaqqi dan Tahadduth (Sanad Ilmu dan Pembelajaran secara Riwayah dan Dirayah)
Rasulullah s.a.w meninggalkan kepada kita dua sumber ilmu agama yang utama iaitu Al Quran dan As-Sunnah. Namun ilmu warisan Rasulullah s.a.w bukan sekadar berbentuk sumber agama sahaja iaitu al Quran dan As-Sunnah tetapi merangkumi juga manhaj sahih dalam memahami kedua-dua sumber tersebut (melalui Sahabat r.a). Rasulullah s.a.w tidak meninggalkan kepada umat Islam hanya al Quran dan As-Sunnah tanpa meninggalkan manhaj sahih dalam memahami kedua-duanya (Manhaj At-Tafahhum As-Sahih) kerana tanpa memiliki manhaj yang sahih untuk memahami al Quran dan As-Sunnah, seseorang yang jahil boleh tersesat dan salah faham terhadap kedua-dua sumber agama itu sendiri.
Apa yang berlaku kepada Che Wa Isa, 57 di Felda Chini Timur 1 adalah diakibatkan daripada pembelajaran 'kitab' tanpa manhaj yang sahih. Maka tidak keterlaluan juga, sebahagian daripada kita yang bertaqlid kepada Tok Guru, Tuan Guru, Ustaz dan Kiyai sebenarnya terlalu mengambil mudah tentang manhaj sebaliknya main pukul rata, golongan berkenaan adalah ulama dan ulama adalah pewaris Nabi.
Dan mungkin kerana itulah, pelbagai kecelaruan timbul sekarang ini. Contohnya dalam bab Menteri Besar Perak yang dikatakan telah melakukan perbuatan khurafat, sedangkan perbuatan mereka terlibat dalam upacara kematian rakan separti politik mereka, dianggap sebagai adat yang tidak menjejaskan akidah. Begitu juga apabila 'sadaqah' atau hadiah atau bahasa cantiknya, 'zakat' diberikan pada ketika kempen pilihanraya diadakan dan di khalayak ramai kerana beranggapan itu adalah salah satu daripada kaedah berdakwah!!!
Ramai yang bercakap pandai, tetapi mereka sama sahaja seperti anak muda yang menetak kepala ibu kandungnya sendiri dengan kapak dengan alasan, ibunya telah lama mati dan yang hidup itu adalah saka yang menyerupai ibunya... dengan berpandukan kepada kitab yang dibacanya tanpa guru hidup.
Anda boleh merayap di dalam dunia siber, khususnya dalam blog-blog yang menyokong sebuah parti politik berjenama Islam dan melihat sendiri kesan berguru tanpa bersanad ini....


1 comments:
nak buat lagu mana..sekarang ni kalau nak carik ustaz2 kebanyakannya pasti memberi hujah yang bias kepada parti tu....
dari sekolah lagi sampai la ke universiti...ustaz2 yg ngajar agama islam seakan mnjadikn kelas agama pusat menyebar dakyah mereka...
susah nk carik ustaz yang pandangannya neutral dan x bias pada mana2...mana2 pihak kalau tak betul dia tegur...
Post a Comment