Thursday, November 4, 2010

KEBAIKAN HANYA UNTUK CALON, RAKYAT HANYA DAPAT HAMPAS

Berakhirlah sudah kempen pilihanraya di Batu Sapi dan Galas. Pelbagai janji, pelbagai pembongkaran, pelbagai kerenah, pelbagai fatwa dan pelbagai permainan politik telah disajikan bukan sahaja kepada para pengundi di Galas dan Batu Sapi, sebaliknya kepada seluruh rakyat Malaysia. Pilihanraya di kedua-dua tempat tersebut seolah-olah cerminan kepada pilihanraya umum.

Yang pastinya, di kedua-dua tempat tersebut, para pemimpin dari pusat, berkumpul dan berbincang, berjanji dan bersembang Ada janji-janji yang boleh dipakai. Ada janji yang nampak macam boleh dipakai. Ada janji macam janji nak kutip bintang dan tukarkan jadi berlian. Malah ada janji yang sekali dengar, macam dah nampak pintu syurga dengan bidadari melambai-lambai sambil tersenyum simpul.

Segala-galanya dilakukan hanyalah untuk menaikkan calon. Sekalipun rakyat dilibatkan, penglibatan rakyat secara realistiknya adalah membuang undi dan memilih calon masing-masing. Keadaan tidak banyak berbeza dan rakyat akan kembali hidup seperti suasana sediakala.

Suka atau tidak, sesiapa pun yang menang nanti di Batu Sapi dan Galas, masalah utama yang membelenggu penduduk di kedua-dua tempat tersebut sangat sukar untuk diubah. Sesiapa pun yang menang, tidak akan diberikan tongkat sakti Harry Porter atau jampi mentera Batara Guru. Apa yang dijanjikan sebelum hari pengundi akan kekal sebagai janji.

Dan dari tahun 1955, keadaan seperti itu tidak pernah berubah....

Sebelum hari pilihanraya, calon-calon wakil rakyat akan datang berkunjung. Budak hingus hijau meleleh sampai ke dagu pun, mereka akan sanggup dukung dan cium. Orang tua bertubuh hamis dengan daki bertakung pun, mereka sanggup peluk sambil tersengih.

Lepas pilihanraya dan lepas menang atau kalah, batang hidung mereka hilang. Mereka tidak ubah seperti burung nasar botak yang menunggu untuk makan bangkai. Apa yang mereka cetuskan sehingga di kalangan rakyat biasa, saling cuak dan curiga, malah lebih teruk lagi mulai menaruh prasangka, tidak mereka pedulikan. Itu adalah permainan dan itu juga adalah pelaburan akan datang.

Sesiapa pun calon yang menang, mereka tetap akan sama tanpa mengira parti apa pun yang mereka wakili. Mereka sudah terikat dengan PERJANJIAN DEMOKRASI ROM. Biarpun rakyat melihat mereka seperti bercakaran, hakikatnya segala apa yang mereka ucapkan, lakukan dan fikirkan hanyalah berpandu kepada skrip yang diberi. Mereka tidak akan melangkaui skrip berkenaan, malahan bersungguh-sungguh untuk mematuhinya.

Masyarakat Asli tetap kehilangan tanah rayau dan tanah adat mereka di Gua Musang. Orang Bajau Laut tetap menjadi kelompok termiskin di Malaysia di Batu Sapi. Populasi tenaga kerja di Gua Musang dimonopoli oleh rakyat asing. Majoriti penduduk di Batu Sapi dan Sandakan pula adalah rakyat Filipina dan Indonesia.

Ahli-ahli politik dari semasa ke semasa akan terus bermain-main dengan emosi rakyat marhein. Rakyat yang paling beremosi adalah aset paling besar untuk mereka. Rakyat sebegitulah yang akan menjadi pengikut tegar. Apa yang dilakukan oleh ahli-ahli politik tersebut ialah memberikan cetusan dan selepas itu mereka boleh sama-sama bersandar sambil minum kopi dan makan roti mayat sambil menyaksikan rakyat bercakaran dan bergaduh sesama sendiri, terutama sekali kaum Melayu yang sangat peka apabila memperkatakan tentang politik dan agama.

Yang pakai serban dan jubah dah boleh tanggalkan dan sangkut ke dinding. Yang pakai songkok berbaju batik pula, sudah boleh gantung baju batik masing-masing dalam almari, dan songkok mereka dimasukkan ke dalam kotak bagi mengelakkan terkena habuk. Mereka hanya perlu menunggu pelaburan yang dibuat untuk tempoh terdekat ini sambil berdoa moga-moga ada lagi wakil rakyat yang mati.

Keadaan itu tidak akan berubah! Itu adalah kepastian!

Walaupun pilihanraya baru akan datang, situasi berkenaan tidak akan lebih baik. Ia tidak akan dibaikpulih kerana ia adalah modal untuk calon-calon daripada parti-parti yang bertanding untuk jaja-jajakan.

Yang berubah cumalah calon-calon wakil rakyat. Ada sesetengahnya yang dapat jawatan dan dapat habuan. Ada sesetengahnya yang sudah mampu main tarik tali dengan parti sendiri terutama dengan sokongan dan undian yang agak memberangsangkan sekalipun tidak menang. Ada juga calon yang terus melompat parti sebab parti lawan melihat potensi pada dirinya....

Paling ketara adalah pemimpin-pemimpin tertentu yang mengejabkan kedudukan mereka di dalam parti setelah berjaya menampilkan keistimewaan mereka. Ada yang berjaya menampilkan diri sebagai pejuang rakyat yang tidak kisah dengan bau busuk getah sekerap. Ada yang menjadi wali dunia dengan berpakaian zuhud agar pengaruh yang diperolehi dengan mempergunakan agama, terus kekal dan semakin bertambah. Ada juga yang mengasah bakat untuk berdebat dan melakukan provokasi agar dicopmohor sebagai 'gedebe'.

Yang tidak berubah dan akan terus kekal sampai bila-bila adalah kehidupan rakyat marhein yang kekal bermain selut dan ombak kotor!

3 comments:

Anonymous said...

agak pesimsitik tetapi boleh difahami memandangkan senario politik dan sosial semasa.saya bersetuju walaupun tidak semuanya.ahli politik dan parti politik adalah golongan yang paling mendapat faedah dari sistem ini.mungkin ada baiknya jika satu sistem pemerintahan baru yang lari dari konsep semasa patut diterokai kemungkinannya seperti entiti pemerintahan yang didasarkan pada kelayakan dan bukannya jawatan atau kedudukan dalam parti.mungkin dengan cara ini keghairahan untuk berpolitik akan berkurangan kerana ganjaran yang tidak begitu mengujakan.mungkin juga boleh diwujudkan kerajaan yang terdiri dari ahli politik parti pembangkang dan parti pemerintah yang jawatannya diagihkan mengikut peratusan jumlah kerusi yang dimenangi.mungkin ianya dapat meredakan apa yang kini menjadi pertikaian dan perebutan.

Anonymous said...

setuju bro, itu la realiti hari ni tak kira parti mana, dah namanya pun masa berkempan jadi segala yg perlu dilakukan utk meraih undi kena buat la. ada menteri membonceng kap cai, ada menteri duduk atas pelantar rumah yg kusam, tapi sikit sebanyak rakyat tenang dgn keamanan dan kemakmuran tu je lain tak tau le, jamauan makan dan ceramah tok sah kira la memang betul2 murah rezeki.

CUCU TOK WAN on November 4, 2010 9:46 AM said...

yob, aku tak dapat call ko ler..aku hilang kad jemputan kawin mamat Johor tu..ko ada simpan lagi tak?
-selamat.

IKLAN BERBAYAR

PORTAL ISTIMEWA

BLOG-BLOG PRO KERAJAAN

TAK TAHU KIRI KE KANAN

BLOG PEMIMPIN

SAPA DIA

Top Commenters

Powered by Disqus

Recent Comments

Senarai Laman Web WAJIB

 

Blog Archive

Labels

Blog Caca Marba

THE FLYING KICK Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template