Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya, Ong Boon Hwa atau lebih dikenali sebagai Chin Peng gagal dalam usaha menghidupkan semula saman sivilnya ke atas Kerajaan Malaysia. Permohonannya itu telah ditolak oleh hakim kerana ia tidak menepati Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (CJA). (MSTAR ONLINE)Antara lain ialah, Chin Peng mahukan Kerajaan Malaysia membayar mereka gantirugi selain menuntut agar Kerajaan Malaysia atau agennya tidak mengeluarkan kenyataan berbau fitnah terhadap Chin Peng dan PKM.
Sebaik-baik sahaja Pakatan Rakyat memenangi 81 kerusi Parlimen, suara beberapa orang pemimpin mereka cukup lantang untuk membenarkan Chin Peng masuk ke negara ini semula dan menghabiskan sisa-sisa usianya di sini. Saranan tersebut tidak sahaja keluar daripada mulut para pemimpin Pakatan Pembangkang, bahkan turut disuarakan oleh seorang pemimpin sebuah parti komponen BN di Pulau Pinang.
Gambaran yang diberikan oleh kakitangan komunis ialah PKM ialah pejuang kemerdekaan negara. PKM adalah penghalau British dan mengambil nama Datok Bahaman pahlawan Melayu Kuala Semantan, Pahang, mereka cuba menghalalkan PKM di negara ini sekalipun hakikatnya PKM adalah entiti penjajah komunis yang berkiblatkan Mao Tse Tung. Manakala Rejimen Ke-10 yang dianggotai seratus peratus Melayu pula adalah himpunan para pejuang berhaluan kiri yang cuba mendapatkan kemerdekaan negara ini tetapi akhirnya terpedaya dengan perangkap PKM dengan menjadikan mereka sebagai balaci demi memudahkan aktiviti PKM terutama di kalangan orang Melayu.
Dan disebabkan itulah, khabarnya Rejimen Ke-10 tidak diberikan senjata api oleh PKM kerana tugas mereka hanyalah propagandakan keperwiraan PKM dan Chin Peng di kalangan orang Melayu!
Agak aneh apabila terdapat sebilangan orang yang masih cuba menafikan kekejaman PKM ke atas rakyat dan penduduk negara ini sekalipun sejarah telah membuktikan, PKM memperolehi bekalan senjata, peluru, ubat-ubatan dan wang daripada British dalam perjanjian mereka untuk menentang dan menyukarkan pentadbiran tentera Jepun di Tanah Melayu pada Perang Dunia Kedua. PKM yang berang apabila British enggan menyerahkan Tanah Melayu kepada mereka, akhirnya melancarkan pemberontakan dan menggunakan taktik kejam untuk mendapatkan sokongan paksa daripada penduduk Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.
Kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957 sebenarnya berlaku pada tempoh darurat di mana PKM memperhebatkan kemusnahan dan vandalisme harta benda dalam usaha menakut-nakutkan orang ramai. Mereka dengan bantuan para simpatisan telah melancarkan HARTAL. Mereka juga berjaya menyelinap masuk ke dalam beberapa buah parti politik Chauvinist dan mencetuskan Tragedi 13 Mei 1969.
Maka tepat benarlah alasan yang diberikan oleh penghakiman untuk menolak tuntutan komunis tua itu bahawa namanya dan PKM sudah lama tercemar akibat perbuatan kejam mereka memerangi penduduk negara ini dan usaha berterusan mereka untuk menimbulkan kekacauan.
Sepatutnya keluarga anggota-anggota perajurit negara yang dibunuh dan dicederakan oleh pengganas komunis sudah boleh memulakan saman untuk mendapatkan gantirugi daripada PKM dan Komunis Tua bernama Chin Peng. Mungkin Chin Peng dan PKM tidak akan berhadapan dengan masalah pembayaran jikalau mereka kalah dalam penghakiman nanti memandangkan pasti ramai pemimpin-pemimpin parti politik yang berebut-rebut menghulurkan bantuan kepada Chin Peng dan PKM.
Kalau mereka berebut-rebut untuk mendesak kerajaan membenarkan Chin Peng masuk ke Malaysia dan menghabiskan hayat terakhirnya di Sitiawan, tidak mustahil juga mereka sanggup menyediakan dana khusus untuk membayar gantirugi kepada keluarga perajurit-perajurit negara yang telah dibunuh kejam oleh komunis dalam usaha PKM untuk menjajah negara ini.


2 comments:
Kalaulah PKM & Chin Peng diangkat pejuang kemerdekaan.. maka tak tahulah apa pulak nak diklasifikasikan pengorbanan perajurit, mangsa & rakyat yg terbunuh dek kekejaman komunis
ramai yang putus kaki kerana kekejaman komunis bila nak beri penghormatan atau pampasan?mungkin boleh dapat bila DAP memerintah kot?
Post a Comment