Fenomena rakyat Malaysia lari ke luar negara untuk bekerja dan kemudian menanggalkan kewarganegaraan mereka, bukan lagi. Ia adalah fenomena yang sangat popular terutama di kalangan rakyat Malaysia yang berketurunan imigran. Dan penghijrahan ini dikatakan sebagai fenomena BRAIN-DRAIN yang sedang melanda, sekaligus menjadikan negara ini kekurangan tenaga pakar dan mahir kerana telah dimiliki negara asing, khususnya Australia, Singapura, Kanada dan Amerika Syarikat.Faktor utama yang menyebabkan segelintir rakyat Malaysia mengambil sikap sebegitu adalah EKONOMI dan WANG. Namun apabila ditanya, mereka akan pantas menjawab bahawa sistem yang korup, kualiti graduan universiti tempatan dan 'red tape' yang diperlukan untuk mendapatkan bantuan kebajikan adalah antara sebab-sebab utama mereka lari.
Kuasa membeli yang rendah, rasisme, ketidakstabilan politik, berpendapatan rendah, polisi berdasarkan kaum, kadar jenayah dan undang-undang tidak membenarkan memiliki dua warganegara juga merupakan alasan-alasan yang digunakan oleh pelarian-pelarian ekonomi ini.
Agak aneh, golongan yang memberikan pendapat sebegitu adalah golongan yang telah pun menikmati dasar-dasar kerajaan yang disifati dengan pelbagai perkara negatif. Hanya kerana tidak mahu dianggap sebagai kacang lupakan kulit dan penderhaka, mereka memberikan alasan-alasan yang difikirkan mampu mewajarkan tindakan mereka.
Sememangnya fenomena kehilangan bakat-bakat penting dalam industri dan sebagainya, meresahkan Malaysia memandangkan Malaysia sedang memacu ke arah sebuah negara maju menjelang 2020.
Ketika alasan-alasan negatif diberikan, kebanjiran expatriate dan tenaga asing ke negara ini, terus berlaku. Kata-kata bahawa Malaysia tidak lebih baik daripada Burma bagaikan ternafi dengan sendirinya.
Tidak dapat dinafikan, 53 tahun UMNO berkuasa, menjadikan sebilangan rakyat dan bekas rakyat Malaysia yang lupa mengucapkan terima kasih, berasakan UMNO tidak berlaku adil kepada mereka, sebaliknya negara-negara asing yang sanggup mengambil mereka dan melayan mereka secara lebih 'istimewa' menjadi bidadari syurga di mata dan pemikiran mereka.Tidak mustahil juga kerana Artikel 152 dan Artikel 153 yang masih gagal dimansuhkan menjadi punca dan penyebab utama alasan-alasan yang diberikan untuk mewajarkan tindakan mereka. Tentangan terhadap Artikel 152 dan Artikel 153 bukan baru. Ia sudah berlaku semenjak kali pertama Perlembagaan Persekutuan diperkenalkan.
Berprasangka bahawa kerajaan Malaysia melebihkan orang Melayu dalam serba-serbi dan menafikan hak-hak kaum lain, menjadikan mereka sentiasa berdendam dan berazam untuk meninggalkan negara ini. Walhal apa yang berlaku adalah sebaliknya.
DEB yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk mendekatkan jurang (bukannya mengatasi) antara rakyat raja dengan bekas rakyat ratu, tidak menjadikan kaum bukan Melayu ketinggalan dan terpinggir, bahkan mereka turut sama menikmati skim berkenaan memandangkan merekalah vendor, mereka jugalah pemonopoli dan mereka yang memegang kuasa penawaran.
Keputusan kerajaan untuk menubuhkan Talents Corporation dua hari sudah, sebenarnya memerlukan komitmen yang bukan sedikit. Dengan kata lain, bukan sedikit juga PENGORBANAN yang perlu diberikan oleh Melayu-Bumiputera-Pribumi untuk kerajaan membawa balik tenaga-tenaga pakar yang sudah pun lari ke negara luar bagi mengejar pendapatan tinggi dan kehidupan yang mereka katakan, lebih baik dari di Malaysia.
Pasti akan ada tolak ansur yang merugikan Melayu-Bumiputera-Pribumi dalam usaha kerajaan mewujudkan pendapatan tinggi sekaligus mewujudkan kuasa belian yang mengukuhkan lagi aliran liquiditi domestik. Bagaimana pula dengan bakat-bakat tempatan yang sedia ada dan tidak pernah lari meninggalkan negara ini? Adakah mereka akan mendapat keistimewaan kerana kesetiaan mereka, atau mereka juga akan dilayan sama seperti rakyat marhein yang lain?
Ada pro dan kontra dalam hal ini... namun jarum suntikan bahawa Melayu itu lemah, Melayu itu cikai, Melayu itu bodoh dalam serba-serbi terus berkumandang. Lemparan tuduhan ke atas kelemahan kerajaan itu sendiri sudah cukup untuk mengenai Melayu memandangkan tulang belakang kerajaan adalah UMNO dan UMNO adalah parti yang mewakili orang Melayu.
Maka Melayu-Melayu marhein yang terdiri daripada pelbagai suku dan kacukan mempunyai tanggungjawab yang lebih besar untuk menaikkan pemimpin yang lebih bijak berbanding pemimpin-pemimpin yang duk ada la nih kerana kegagalan mereka menampilkan dan membuktikan bahawa Melayu itu bijak, Melayu itu bermaruah dan Melayu itu serba-serbinya hebat... tidak cukup dengan pembuktian bahawa Melayu itu hebat sebagai balaci kuasa lain atau Melayu itu hebat dalam politik semata-mata tetapi akhirnya menjadi budak suruhan kepada orang lain yang sekadar minum kopi sambil tersenyum-senyum memerhatikan generasi muda Melayu bergentayangan di tepi-tepi jalan berdemonstrasi sambil mandi air busuk water-cannon FRU.


0 comments:
Post a Comment