Sunday, December 5, 2010

MULUT KETAWA, HATI MENANGIS... SIAPA YANG TAHU?

Semenjak penulis terlibat dalam dunia blogging 3 tahun lampau, bermula dengan DEPAKATA, sehinggalah membina laman blog sendiri, terlalu banyak cerita yang penulis dengar tentang blogger. Malah sewaktu penulis terlibat sepenuh masa dengan dunia buku, malah sehingga sekarang pun buku tetap menjadi pendapatan utama, penulis juga banyak mendengar cerita tentang penulis-penulis buku, terutama buku-buku politik yang dibela oleh orang politik.

Selepas meninggalkan angkatan Reformasi dan melakukan retreat, penulis langsung tidak pernah menyentuh sebarang cerita tentang politik. Bahkan di dalam forum-forum yang penulis sertai pun, penulis cuba mengelak seboleh mungkin daripada berdebat tentang hal politik.

Menjadi pejuang atas apa yang kita percaya, bukanlah perkara mudah. Kalau Syaidina Abu Bakar r.a mendermakan keseluruhan hartanya untuk Perang Badar dan Syaidina Uthman Affan r.a, separuh daripada keseluruhan hartanya, mungkin pada zaman sekarang, ingin penulis katakan berkorban sebegitu sudah tidak relevan. Sebabnya, pengorbanan hanya sebelah pihak manakala pihak yang satu lagi sekadar mengutip ghanimah dan kemudian ber yeh yeh dengan kaum kerabat dan kroni mereka.

Cerita tentang orang tu bela, orang ni bela, letak jari di keyboard sudah ada yang menerpa bawa beg berisi duit dan menyerahkan pelbagai kemudahan lain, mungkin itu cerita Raja dan Ratu, Putera dan Puteri serta kaum bangsawan, hanya wujud dalam cerita-cerita dongeng semata-mata. Bukan tidak ada, tetapi bilangan manusia yang berkulit muka setebal lemak babi, sangat kurang dan terlalu sedikit di Malaysia ini.

Penulis berkawan dan berkenalan dengan beberapa orang penulis buku politik. Sememangnya penulis berasa sangat kagum dengan mereka. Dengan bermodalkan isi kandungan yang hendak ditulis, atau dengan sekadar mock-up kulit muka atau cover buku baru mereka, mereka boleh bertemu dengan ahli-ahli politik yang dirasakan lembik leher. Dan dengan menggunakan sedikit ugutan atau ampu mahupun bodek, mereka akan memperolehi apa yang mereka hajatkan.

Mendapat modal besar, mereka biasanya akan cetak buku berkenaan, tetapi jumlahnya terlalu sedikit berbanding jumlah dana yang diperolehi. Dan lebihan dana berkenaan akan terus masuk ke akaun bank atau dibelanjakan dengan senang hati.

Apakan daya, penulis cuma seorang penulis buku kanak-kanak, bukannya penulis buku politik. Apatah lagi penulis tidak ada keberanian setelah apa yang berlaku pada 1997 yang dirasakan terlalu sia-sia, terutama dengan kehilangan segala usaha penulis sepanjang 7 tahun sebelum itu sehingga anak-anak hampir seminggu tak makan nasi melainkan menyekik cucur kodok dan air teh kosong.

Kemudian apabila penulis terbabit dalam dunia blog, penulis masih lagi menulis kerana suka menulis. Bezanya penulis tidak lagi menulis seperti pada tahun 1997-1998, sebaliknya beralih kem. Sama seperti sebelumnya, tiada bayaran dikenakan sebab penulis masih tidak tahu di mana nak sakau atau siapa yang penulis boleh cekik atau pau untuk dapatkan duit!

Apabila seorang sahabat menceritakan rancangannya untuk mendapatkan dana daripada seorang ahli politik di Sabah dengan membina sebuah blog, penulis masih terpelongo dan tidak percaya, bagaimana sebuah blog boleh mendatangkan duit. Penulis adalah seorang pengikut aliran buku yang tegar dan tidak percaya dengan media baru, terutama sekali blog di mana hasilnya boleh dipertikaikan, terutama menerusi Cut & Paste yang tidak beretika.

Permatang Pauh, Bukit Gantang, Kuala Terengganu dan dua lagi pilihanraya kecil yang berakhir dengan kemenangan kepada Pakatan Rakyat, menarik minat penulis untuk mencuba secara aktif penulisan politik di dalam blog.

Anehnya, penulis tetap tidak disapa oleh sesiapa pun yang ada duit atau penyuapan peralatan untuk menulis atau berblog. Sedangkan pada masa yang sama, dari puak-puak yang menulis yang menggelarkan diri mereka sebagai pro-UMNO, riuh-rendah dengan kisah Nizar Jamaluddin yang pada waktu itu menjadi Menteri Besar Perak mengeluarkan sejumlah besar dana untuk membentuk pasukan siber...

Penulis menunggu-nunggu juga kalau-kalau dipanggil... kemudian muncul BPN dan segala macam ikatan bloggers yang lain, terutama dari kalangan pro-UMNO yang tumbuh bagaikan cendawan yang penulis kira, kalau mereka hadir pada tahun-tahun 1997-1998 lalu, tidak mungkin senario negara seperti sekarang. Malah penulis juga mungkin tidak beralih kem seperti sekarang.

Sehinggalah sekarang, penulis masih aktif menulis tanpa sebarang dana kecuali atas tulisan-tulisan yang dihantar ke beberapa tempat yang diminta khusus dengan harga akadnya sekali. Bukannya belaan atau ternakan. Pun begitu, untuk meneruskan kelangsungan hidup, penulis terpaksa membahagikan masa antara blog dengan penulisan yang sememangnya penulis memperolehi pendapatan daripadanya iaitu penulisan buku kanak-kanak dan untuk tender-tender Perpustakaan Negara Malaysia, Buku Bacaan Tambahan dan buku kanak-kanak yang lain serta kolum di beberapa buah tabloid nyamuk yang bukan politik terasnya. Kali terakhir penulis hasilkan sebuah novel adalah pada tahun 1995, sekarang penulis sedang berusaha untuk menghabiskan penulisan sebuah novel untuk seorang kawan yang telah pun menjadi seorang penerbit dari seorang budak pejabat di syarikat lama penulis.

Dan novel penulis, bukannya novel-novel politik mahupun novel-novel percintaan yang sudah pasti harga dan royaltinya tidaklah selebat mana....

Sepanjang berblogging, penulis telah menemui pelbagai jenis blogger. Anehnya, ada antara mereka yang bekerja sebagai pelayan di Restoran McDonald dan seringkali mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk ke tempat-tempat yang membolehkan mereka memperolehi skop berita. Kalau ada orang yang sudi membawa ke tempat-tempat jauh sedikit, menaja makan minum atau menyediakan tempat tidur atau memberikan sedikit wang tambang (yang sememangnya hanya ngam-ngam untuk tambang dan tol), bolehlah bernafas sedikit.

Selalunya, kosong pergi, kosonglah balik.

Jadi apabila ada orang yang beriya-iya menuduh penulis dibela oleh UMB atau mana-mana pihak dari UMNO untuk menulis menghentam kesongsangan fahaman bekas kaum kerabat mahupun KEABNORMALAN Anwar Ibrahim dan budak-budak PKRnya, atau niat jahat DAP untuk menjajah negara ini dengan melaga-lagakan Melayu-Bumiputera-Pribumi, penulis sememangnya terasa hati.

Siapa tahu, sudah lebih empat bulan sewa rumah tidak dibayar. Siapa tahu, hutang bedah pintasan koronari di Hospital Serdang, tidak terusik walau satu sen pun. Siapa tahu, hutang buat Engioplasti di HUKM masih lagi RM12,000 tanpa dimundurkan walaupun satu sen sungguhpun dah 7 tahun. Siapa tahu, hutang dengan Pusat Rawatan Islam, masih lagi berbaki RM2,892.40 semenjak tahun 2001 tanpa terusik. Malah, siapa yang tahu, hutang-hutang dengan HKL, Hospital Kluang, Hospital Tunku Aminah Johor Bahru, mahupu Hospital Batu Pahat dan Hospital Ampang, langsung tidak pernah berbayar. Begitu juga dengan bil elektrik yang sudah masuk bulan ke-5 dengan jumlahnya melebihi RM700. Mujur jugalah penulis tidak mempunyai kenderaan walaupun sebiji basikal... kalau tidak, lagi haru... tu belum lagi kira bab makan, susu anak, duit belanja anak-anak dan rumah...

Pinjaman daripada AA berjumlah RM1200 pun sehingga kini masih tidak berbayar walaupun tarikh yang dijanjikan sudah lepas tiga hari.

Terpulanglah kepada sesiapa pun untuk menilai kerana setiap mulut sangat sukar ditutup dan didiamkan. Apa yang penulis lakukan sekarang adalah kerana minat semata dan tidak disuruh oleh sesiapa pun. Penulis tidak mempunyai permit akhbar yang boleh disandar atau dipajakkan kepada pihak-pihak tertentu dengan jumlah jutaan ringgit. Penulis juga tidak pandai bercampur-gaul dengan orang-orang politik sambil menggosok-gosok punggung mereka untuk sakau duit. Penulis tidak pernah tahu dan belajar SENI MINTA DUIT daripada orang-orang politik dengan janji-janji tertentu.

Sememangnya, penulis sangat kecil hati apabila The Flying Kick dan Cucu Tok Wan dituduh dibela oleh orang-orang tertentu kerana artikel-artikel yang disiarkan tidak berpihak kepada mereka. Dan kalau tak percaya sangat, mari duduk dengan penulis di Pandan Mewah dan tengok sendiri kehidupan BLOGGER yang dikatakan Mesra BN... bandingkan pula kehidupan Blogger Pro-BN ini dengan Blogger Pro-Pakatan yang hebat-hebat segala perkakasannya!!!

Maaf, kulit muka penulis tidak cukup tebal setebal kulit babi untuk menyerendeh meminta peruntukan atau dibayar kerana kerja yang tidak disuruh dan penulis juga tidak cukup berani untuk MEMINTA SEDEKAH dengan mempamerkan nomb0r akaun mahupun memberikan penjelasan bagi mewajarkan penulis menjadi seorang PENGEMIS dan PEMINTA SEDEKAH.

Semoga selepas ini, tidak ada lagi tekaan atau tuduhan-tuduhan bodoh sebegitu sebab penulis tidak berminat hendak mendedahkan 'kelemahan diri' di dalam blog ini. Kalau perlu sangat, hubungi penulis di alamat e-mail; smcucutokwan@gmail.com dan penulis boleh bawa anda ke rumah penulis dan saksi sendiri kedaifan BLOGGER pro-UMNO yang dikatakan menerima suapan dan dana yang sangat besar ini!!!!

6 comments:

Double-Y on December 5, 2010 2:42 AM said...

Salam bro..

Agaknya mereka ini fikir setiap blogger pro BN ini dibayar dan hidup mewah agaknya. Cuma kita lebih mulia sikit dari blogger pro PR yang tidak habis2 mengadakan kutipan derma, malah ada juga yang kutip derma untuk membeli tiket kapal terbang.

Apapun berjuang tanpa balasan akan menghasilkan satu kepuasan.. InsyaAllah..

MPP on December 5, 2010 2:52 AM said...

Salam Tuan. Saya amat memahami apa yang Tuan luahkan kerana saya juga mengalami situasi yang sama. Saya mengenali DepaKata melalui JeanBara. Dan saya juga senang dengan penulisan cucu tok wan ketika tu.

Sepanjang saya menulis, tak pernah saya mewah dengan hasil penulisan saya. Cukup hanya sekadar cukup makan saja. Dan memang saya bergantung sepenuhnya pendapatan melalui penulisan yang tak seberapa ini (bukan dari blog).

Tuan, kenapa orang kata kita sebagai blogger pro kerajaan ni diupah dan ditaja oleh UMNO? Ini adalah kerana dananya memang ada tetapi disalahguna dan disonglap oleh pihak tertentu.

Maksudnya ia tak sampai ke tangan kita. Dikalangan blogger pro pembangkang, pemimpin mereka deal secara terus dengan penulis. Tapi warlord UMNO menggunakan orang tengah untuk memberi bantuan kepada pejuang sibernya.

Jadi persoalannya, kitakah bodoh kerana dipermainkan ataupun kita memang bodoh kerana tak sedar usaha kita dipergunakan oleh orang lain? Sama-samalah kita fikirkan Tuan.

p/s:Anak saya pun pernah berlapar dua tiga hari dek kerana duit penulisan saya lambat diterima. Apakah ada orang peduli? Kalau diupah, tak perlulah saya tinggal dirumah buruk yang disewa RM 150 sebulan ni lagi. Betul tak Tuan?

CUCU TOK WAN on December 5, 2010 3:10 AM said...

susah nak tutup mulut orang... depa akan bercakap sesuai dengan apa yang diarahkan oleh nafsu depa.

mungkin kerana pasukan depa rata-rata dapat upahan dan belanja besar, maka dianggap pasukan sebelah sini pun, dapat juga, malah lebih besar daripada apa yang depa terima sebab di sebelah sini kan UMNO... UMNO kan penyakau duit?

sukar untuk depa terima, hampir 95% budak-budak blogger UMNO yang relatifnya usia layak mengundi pun baru lepas dua atau tiga tahun, begitu bersungguh-sungguh berblog.

memang ada yang menyakau. Adatlah dalam mana-mana bidang sekalipun dan mana-mana pasukan sekalipun... tapi jumlahnya terlalu kecil. kalau buku dulu, saya boleh tunjuk muka masing-masing dengan telunjuk saya, termasuklah yang KONON-KONONNYA berjuang atas nama Islam, Hudud, Qisas dan Reformasi Demokrasi WALHAL masing-masing mengalahkan biawak lapar daging reput.

blog ini susah sikit, apatah lagi kebanyakan blog meletakkan jumlah visitors yang datang membaca... nak tipu amendernya kalau yang datang membaca pun tak sampai tiga ratus orang sehari walaupun blog dah diwujudkan lebih tiga tahun malah blog budak-budak baru pun jauh lebih ramai pelawatnya berbanding blog puak-puak yang cakap hebat sangat nih!

Apa pun, inilah perjuangan saya. Setidak-tidaknya saya boleh berbangga dengan anak cucu kalau ditanya apa sumbangan saya kepada umat Islam, Melayu dan rakyat Malaysia sungguhpun kain kafan saya nanti, mungkin terpaksa disedekahkan oleh jiran sebelah rumah!!!

melayurayadaily on December 5, 2010 3:40 AM said...

sdr, saya membaca keluhan sdr.tidak patut jika ada yang mengecilkan hati kawan seperjuangan. Memang ramai penulis blog dalam keadaan menderita sebenarnya. Tetapi mereka menulis juga kerana minat yang dalam. Apabila kita tumpu pada penulisan sebahagian besar masa kita tidak bernilai ekonomi.Baguslah sdr tumpu pada penulisan yang boleh masuk rezki.

Blog sdr saya pautkan ke http://melayurayadaily.blogspot.com
moga sdr tidak keberatan memautkan mrd kelaman sdr jika masih ada ruang. TQ salam perjuangan.

House PK on December 5, 2010 4:44 AM said...

Salam Cucu Tok Wan,

Aku pun sama dituduh oleh pelbagai pihak bahawa aku dibela orang itu dan ini, dan naik bernanah telinga dengar macam2 fitnah. Ada ynag datang dari pembangkang dan lebih menyakitkan hati apabila datang dari yang kita sangkakan sahabat selama ini.

Inilah nasib kita bloggers pro kerajaan. Asal defend kerajaan je terus dicop berbayar, tapi depa tak tengok pulak parti kita dok hentam pemimpin UMNo yang tak betul sampaikan orang kata kita buat macam tu sebab nak cari duit la!

Takpe la bro, sabar jelah, Allah Maha Mengetahui apa yang kita buat ini, ingat satu je, apa mereka nak kata lantak la, janji nawaitu kita bersih.

Dan aku setuju dengan MPP, kalau ada pemimpin UMNO yang nak jumpa kita dah mesti ada orang tengah yang menjual nama, ni kalau nak cerita pun buat malu je la, tapi kami tahu benda ini memang berlaku.

Lebih menyedihkan lagi bilamana ada beberapa sahabat bloggers yangs anggup menebalkan muka dan menjatuhkan maruah bloggers dengan meminta-minta wang atau duit dari pemimpin UMNO, aku percaya MPP pun sedar akan hal ini dan ramai yang tahu perkara ini memang berlaku.

Tapi bila kita senyap dan jarang jumpa pemimpin UMNO atau BN yang lain maka kita dituduh dibela sesorang!

Sabarlah Bro Cucu Tok Wan. Yang penting kita tahu walau sesusah mana hidup kita sekalipun, kita sahaja yang tahu, ni belum aku cerita baba hutang aku lagi bro, kalau nak dicerita pun esok buat orang menghina kita je..

Memang blogger PR hidup lebih mewah dari kita, tetapi mereka selalu mengatakan bahawa kita menerima upah, sama macam anwar benda dia buat tapi dia kata dia suci dan menuduh orang lain.

Hanya kerana aku bantai seorang Pengkhianat Negara dalam UMNO maka budak2 suruhan individu terbabit menuduh aku macam2. Aku serahkan pada Allah, sebab Dia Maha Mengetahui, ada yang sampai kata aku ni dibela individu yang aku belasah selalu la bro, akai ada ka?

Tapi benda ni memang kita kena terima, memang akan ada pelbagai macam cerita sebegini yang akan terpacul dari manusia durjana yang pentingkan RM lebih dari Negara sendiri..

Bro, you lebih lama dari saya dalam bidang penulisan ini, saya teramat baru dalam bidang ini, namun tak kurang juga tohmahan dan fitnah dilempar kepada saya hanya kerana saya mahukan kebenaran...

Yang penting BRO, hati mau bersih dan bersabarlah bro, Allah akan membalas pada yang bermulut jahat ni nanti...

Salam

House PK

anti bohmau on December 5, 2010 8:44 AM said...

assalamu'alaikum cucu,

bersabar & berserah kpd Allah SWT. anti bohmau sgt2 bersimpati dgn apa yg cucu alami. anti bohmau juga mula berblog sejak 2007 melalui blog lain sblm memulakan blog sekarang. tidak ada sesiapapun yg mengupah @ membayar anti bohmau menulis krn minat datang dgn sendiri. menyedari bakat manulis ada dlm diri, anti bohmau membuka blog sendiri dgn niat utk mendepani apa jua isu yg ditimbulkan di ruang maya ini, terutamanya utk menyatakan fikiran sendiri. syukur krn anti bohmau mempunyai kerja tetap & menggunakan masa terluang utk membuat coretan di blog.

Insyaallah, jika kita berada di landasan yg benar, kita tidak perlu takut kepada sesiapapun melainkan Allah SWT. jgnlah kita gundah dgn tohmahan2 orang krn akhirnya Allah jua yg Maha Mengetahui...

IKLAN BERBAYAR

PORTAL ISTIMEWA

BLOG-BLOG PRO KERAJAAN

TAK TAHU KIRI KE KANAN

BLOG PEMIMPIN

SAPA DIA

Top Commenters

Powered by Disqus

Recent Comments

Senarai Laman Web WAJIB

 

Blog Archive

Labels

Blog Caca Marba

THE FLYING KICK Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template