Wednesday, December 8, 2010

NIK AZIZ SAKIT? INI ADAB KETIKA MELAWATNYA...


Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Muslim, An-Nasaai dan At-Tirmidzi, Al-Barra' bin 'Azib r.a menjelaskan bahawa Nabi s.a.w telah memerintahkan tujuh perkara dan melarang tujuh perkara iaitu menjawab undangan, menolong orang yang dizalimi, berbuat baik bagi orang yang bersumpah, menjawab salam dan menjawab orang yang bersin. Larangan baginda pula adalah memakai bekas yang diperbuat daripada perak, cincin emas, kain sutera, kain yang bercampur dengan sutera, al-qissi dan al-istibraq.

Banyak atsar yang menyatakan keutamaan tentang menjenguk orang sakit. Orang yang menziarahi orang sakit akan mendapat rahmat, apabila dia duduk di sebelah si sakit, dia tetap di dalam rahmat, dan apabila dia meninggalkan orang sakit itu, dia tetap akan mendapat rahmat sehinggalah dia sampai ke rumahnya. (Hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari di dalam Al-Adab Al-Mufrod).

Antara saranan ketika menziarahi orang sakit adalah mendoakan si sakit agar sakitnya diringankan dan meruqyahnya dengan ruqyah syarie.

Perlu diketahui, mengunjungi lelaki yang sakit, dibolehkan kepada wanita walaupun mereka bukan mahram dengan syarat aman daripada fitnah, adanya sitar (hijab), tidak berlaku khalwat (berdua-duaan).

Sebahagian orang cuba menjauhkan diri daripada menziarahi orang sakit yang tidak sedar atau dalam keadaan pengsan atau koma. Alasannya orang yang sakit itu tidak menyedari kehadirannya. Jadi tidak perlulah si sakit itu diziarahi. Ini adalah pemahaman yang salah dan debat yang tidak ada dalilnya, bahkan dalil yang sahih sangat bertentangan dengan kefahaman seperti ini.

Dari Jabir bin Abdullah r.a, dia berkata, "Aku pernah sakit, maka Nabi s.a.w dan Abu Bakar r.a menziarahiku dengan berjalan kaki. Maka mereka mendapati aku dalam keadaan pengsan. Maka Nabi s.aw berwuduk seraya memercikkan wuduknya kepadaku. Aku pun tersedar dan mendapati Nabi s.a.w berada di hadapanku. Segera aku berkata, "Wahai Rasulullah, apa yang harus aku perbuatkan dengan hartaku, bagaimana aku memutuskan warisan hartaku?" Baginda tidak menjawab pertanyaanku sehinggalah turunnya ayat tentang perwarisan." (Hadis riwayat Al-Bukhari, Muslim, Ahmad, At-Tirmidzi, An-Nasaai, Abu Daud, Ibn Majjah dan Ad-Darimi)

Menurut Ibn Hajjar di dalam Fathul Baari, sekadar mengetahui keadaan si sakit dengan menjenguknya, tidak menjadikan pensyariatan menjenguknya terhenti. Sebaliknya, ziarah itu dilakukan agar dapat menenangkan kekhuatiran ahli keluarga si sakit, dan daripada ziarah itu, adanya berkah doa yang dilimpahkan oleh si penziarah dan si penziarah meletakkan tangannya di atas badan orang yang sakit, mengusap badannya, meniupkan bacaan kepadanya ketika memohonkan perlindungan dan sebagainya.

Sebahagian ulama berpendapat, makruh hukumnya menziarahi orang kafir yang sakit kerana perbuatan menziarahi itu terkandung perbuatan memuliakan. Bagaimanapun, sebahagian ulama lainnya membolehkan menziarahi mereka kerana ziarah tersebut diharapkan si kafir tadi masuk Islam dan pendapat ini lebih sesuai dengan perbuatan Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a. Baginda s.a.w telah menziarahi seorang hamba seorang Yahudi yang pernah membantu baginda. Ketika baginda menziarahinya, baginda telah menyeru hamba itu memeluk Islam dan seruan Rasulullah s.a.w akhirnya membuatkan si sakit itu masuk Islam.

Tidak terdapat di dalam nas-nas daripada al-ma'shum s.a.w yang menjelaskan waktu-waktu tertentu untuk menziarahi orang yang sakit. Selagi mana ziarah tersebut tidak membebankan dan menyusahkan si sakit, maka Islam membenarkannya. Sebabnya, ziarah itu sendiri merupakan usaha meringankan derita si sakit dan untuk menyenangkan hatinya, bukan menyusahkannya.

Bagaimanapun waktu berziarah itu bergantung kepada perbezaan zaman dan tempat. Adakalanya berziarah pada waktu malam merupakan waktu yang paling afdal. Namun adakalanya ia menjadi makruh pada waktu yang lain bergantung kepada budaya setempat dan peraturan yang ditetapkan.

Sepatutnya orang yang berziarah tidak berlama-lama duduk dan berada di sisi orang sakit kerana si sakit pastinya derita dengan kesakitannya. Orang berziarah yang berada di sisi si sakit dalam keadan lama, pasti akan menyusahkan si sakit bahkan menambahkan kesakitannya. Oleh kerana itu antara perkara yang baik ketika menziarahi orang sakit adalah dengan meringankannya.

Namun sekiranya si sakit menyukai orang yang berziarah, lebih lama di sisinya dan terus-menerus menziarahinya, maka lebih utama bagi orang yang berziarah untuk memenuhi keinginan si sakit memandangkan perbuatan tersebut dapat menimbulkan kebahagiaan kepada si sakit. Inilah yang berlaku sewaktu Nabi s.a.w menziarahi Saad bin Muadz ketika ditimpa bencana pada Perang Khandak.

Nabi s.a.w telah memerintahkan agar sebuah khemah didirikan untuk Saad di dalam masjid agar baginda s.a.w dapat menjenguk Saad secara lebih kerap dan dekat. Sahabat r.a mana yang tidak menyenangi kehadiran Nabi s.a.w di sisinya dan berulang-ulang menziarahinya?

Disunatkan bagi orang yang berziarah untuk duduk di sisi kepala orang yang sakit. Hal ini dilakukan oleh Nabi s.a.w dan Solafus-Soleh. Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a yang menceritakan tentang ziarah Nabi s.a.w ke atas seorang hamba seorang Yahudi dan memintanya untuk masuk Islam, Nabi s.a.w duduk di sisi kepala hamba tersebut. Malah dalam sebuah hadis yang lain, Ibn Abbas r.a menceritakan bahawa Nabi s.a.w apabila menziarahi orang sakit, akan duduk di sisi kepala si sakit itu.

Antara hikmah orang berziarah duduk di sisi kepala orang yang sakit ialah, perbuatan tersebut menunjukkan sikap ramah kepada si sakit. Apabila berada di sisi kepala si sakit, si penziarah bolehlah meletakkan tangannya ke badan si sakit, mendoakan kesembuhan baginya dan meniupkan ruqyah kepadanya dan perbuatan yang semisal dengan itu.

Termasuk juga perbuatan yang dianjurkan ketika berziarah adalah bertanya si sakit keadaannya dan apa yang menimpanya. Ucapkanlah kepada si sakit;

Laa ba'sa alaika satasyfi biiznillah (sakit ini tidaklah mengapa atasmu, kamu akan sembuh dengan izin Allah), atau sesungguhnya penyakit ini bukan penyakit yang merbahaya nescaya Allah akan memberikan kesihatan kepadamu, insya-Allah.

Ucapan seperti ini dilakukan selama tidak kelihatan tanda-tanda dekatnya ajal si sakit!

Seharusnya orang yang berziarah tidak mengucapkan suatu ucapan kecuali yang baik-baik kerana malaikat mengaminkan atas ucapannya itu. Disunatkan juga bagi orang yang menziarah agar mendoakan orang yang sakit dengan memohon rahmat dan keampunan dan agar dibersihkan dosa-dosa serta keselamatan dan kesihatan si sakit.

Nabi s.a.w telah mengajarkan beberapa doa yang boleh dibaca oleh si penziarah. Doa-doa ini bersumber daripada al-ma'shum yang telah diberi jawami al-kalim (kalimat yang ringkas lagi penuh hikmah), yang tidak diucap daripada hawa nafsu sebaliknya merupakan wahyu yang diturunkan kepada Nabi s.a.w.

Antara doa-doa tersebut (terjemahan);

(a) Mudah-mudahan tidak apa-apa, mudah-mudahan dapat mensucikan, Insya-Allah (Hadis riwayat Al-Bukhari (3616))

(b) Ya Allah, sembuhkanlah... fulan.. (sama sekali atau tiga kali) (Hadis riwayat Al-Bukhari [5659], Muslim [1628] dan Ahmad [1443], dan At-Tirmidzi [2116], An-Nasaai [3616], Malik [1495], Ad-Darimi [3196] tanpa menyebutkan doa)

(c) Aku memohon kepada Allah Yang Maha Agung Penguasa Arsy Yang Agung Agar Berkenan Menyembuhkanmu (sebanyak tujuh kali) (Hadis riwayat Ahmad [2138], At-Tirmidzi [2083] dan Abu Daud [3106] dan lafaz ini daripada baginda s.a.w.)

(d) Ya Allah, sembuhkanlah hamba-Mu yang membunuh musuh untuk-Mu dan sentiasa berjalan menuju solat (dalam riwayat yang lain: berjalan menuju jenazah yang hendak dikubur) (Hadis riwayat Ahmad [6564] dan lafaz hadis darinya, dan Abu Daud [3107] dan Al-Albani mensahihkannya.)

Disunatkan juga si penziarah meruqyahkan (menjampikan) si sakit sebagaimana yang Nabi s.a.w lakukan. Antara ruqyah yang dilakukan oleh Nabi s.a.w adalah dengan Surah Al-Muawwidzatain (Al-Falaq dan An-Nas), Fatihatul Kitab (surah Al-Fatihah) dan beberapa ruqyah yang lain yang boleh diperolehi daripada hadis-hadis baginda.

Pada zaman ini, sudah menjadi kelaziman si penziarah akan membawa sejambak bunga dan sebahagiannya yang lain menuliskan ungkapan-ungkapan dan harapan-harapan kesembuhan yang segera. Sedangkan sebahagian besar pula mengetahui bahawa taqlid (ikut-ikutan) ini datangnya dari negeri orang-orang Nashara, yang mana kita dilarang bertasyabbuh (menyerupakan diri) dengan mereka dan bertasyabbuh kepada orang Yahudi dan Nasrani merupakan perkara yang diharamkan.

Jauh lebih afdal sekiranya doa penyucian dosa, rahmat, ampunan dan kesihatan bagi orang yang sakit dibuat berbanding memberikan ungkapan-ungkapan kosong, dan harapan-harapan yang tidak dapat mempercepat dan tidak pula mengakhirkan penderitannya. Dan menggantikan ruqyah (jampi) yang syarie daripada ayat-ayat al Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w dengan sejambak bunga yang mungkin layu tidak lama kemudian, adalah perbuatan yang sia-sia.

Ya Allah, tunjukkanlah kami jalan-Mu yang lurus, bukannya jalan orang-orang yang dimurkai dan bukan pula orang-orang yang sesat. Amin....

1 comments:

Anonymous said...

Semoga Allah merahmati saudara diatas artikel yg baik.

IKLAN BERBAYAR

PORTAL ISTIMEWA

BLOG-BLOG PRO KERAJAAN

TAK TAHU KIRI KE KANAN

BLOG PEMIMPIN

SAPA DIA

Top Commenters

Powered by Disqus

Recent Comments

Senarai Laman Web WAJIB

 

Blog Archive

Labels

Blog Caca Marba

THE FLYING KICK Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template