Transisi kuasa di dalam UMNO berjalan secara 'paksa' meskipun para pemimpin parti tersebut seringkali mengatakan, perubahan kuasa dan kepimpinan berlaku mengikut tradisi. Barangkali tradisi yang dimaksudkan adalah terus memegang kuasa meskipun telah ditolak oleh rakyat terbanyak. Dan kepimpinan sedia ada pula, tidak berkeinginan untuk menurut kehendak akar umbi sebaliknya terus perasan bahawa mereka sangat-sangat dikehendaki oleh para pengundi.UMNO sebenarnya tidak ketandusan pemimpin-pemimpin dari generasi muda. Namun seringkali mereka ini tidak begitu menonjol. Kalau menonjol pun, kerana fakt0r-faktor tertentu seperti keserakahan dan bernafsu besar.
Ia seakan-akan menjadi satu ketakutan kepada pemimpin-pemimpin tua yang berada di dalam saf kepimpinan utama. Sekalipun melaung-laungkan masa untuk kerajaan serba tahu telah berakhir, namun itu jugalah yang mereka sedang lakukan dan terus lakukan. Terlebih-lebih malang apabila pemimpin pelapis, sangat takut bertindak kerana 'tidak ada arahan orang atasan'.
PKR sungguhpun merupakan parti 'penjahat' dan 'pemberontak', namun perlu difahami bahawa parti tersebut merupakan parti orang muda sungguh pun Presiden dan Ketua Umum adalah orang tua yang sudah keriput dan kecut. Dek kerana itulah, PKR dilihat gopoh dan gelojoh... sama seperti orang muda yang lain....
Namun perlu diakui bahawa PKR sebenarnya menarik banyak golongan muda, iaitu golongan yang menjadi majoriti pengundi dalam tempoh dua atau tiga pilihanraya umum lagi. Jauh berbeza berbanding UMNO, pemimpin-pemimpin muda PKR turun ke akar umbi dan menjalankan peranan mereka sebagai anggota pembangkang, sungguhpun pada masa yang sama, mereka lebih banyak menggunakan emosi berbanding menggunakan otak. Sedangkan para pemimpin UMNO pula, sukar dilihat bersuai kenal mahupun beramah mesra dengan akar umbi. Kalau mereka turun pun, mereka akan disambut bagaikan sang dewa turun dari kayangan.
Daya tarikan kepada UMNO sebenarnya semakin lama semakin hilang. Ketika parti-parti pembangkang memperkenalkan barisan kepimpinan mereka yang jauh lebih dinamik, muda dan tidak berperut gendut atau berpunggung bagaikan buah pear, UMNO dan Barisan Nasional masih lagi bergantung harap kepada barisan kepimpinan tua yang pemikiran mereka masih lagi pada zaman komputer peribadi sebesar bilik tidur.
Lebih malang, barisan kepimpinan muda pula sekadar pak angguk dan tukang 'ya'. Dan sama seperti si tua-si tua yang berada di kerusi atas, mereka juga mengamalkan sikap yang sama, terlalu menampilkan diri sebagai pemimpin yang berdaulat dan perlu disembah.
UMNO tidak akan berjaya untuk terus hidup selagi amalan sebegini tidak dihentikan. Kepimpinan UMNO sendiri perlu melakukan perubahan drastik, bukannya mengharap dogma dan doktrin akan terus berjaya mempengaruhi para pengundi pada masa hadapan.
Golongan muda yang pro-UMNO sebenarnya ingin melihat pemimpin yang mampu berfikir dengan cara mereka berfikir, dan hidup pada zaman mereka hidup, bukannya pemimpin yang jauh lebih tua daripada komputer Pentium 1.


1 comments:
Dah banyak kali dah kita keluarkan artikel mereka yang tua bangka masih tak faham, tak kan nak pegang jawatan sampai mati kot. Parti mesti didahulukan jika tidak agak susah majoriti 2/3 diperolehi
Post a Comment