Setelah sekian lama saya menumpang di
DEPAKATA, barulah hari ini saya terfikir untuk membina blog saya sendiri. Sekalipun mungkin terlalu banyak blog-blog politik tempatan yang terdapat di alam siber, setidak-tidaknya saya mengharapkan kewujudan blog ini dapat menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat.
Saya pernah berhadapan dengan pelbagai rencah kehidupan, terutama dalam transformasi politik tanahair. Saya pernah berhadapan dengan kemelut yang berlaku di dalam masyarakat apabila politik menjadi segala-galanya. Apabila kematian dipisahkan oleh parti-parti politik. Apabila hubungan persaudaraan dan persahabatan dipaksakan atas dasar persefahaman politik. Malah saya melihat sendiri bagaimana mangsa-mangsa politik dendam menderita dan melupakan tentang keimanan sebenar kepada Allah Taala hanya kerana keinginan untuk menguasai tampuk kuasa.
Sekitar penghujung 1970-an, masyarakat Melayu sememangnya terbelah. Satu pihak yang menyokong UMNO dan satu pihak lagi yang menyokong PAS. Kesedaran beragama yang sangat rendah pada ketika itu, mendorong sebahagian penyokong PAS menjadikan parti mereka sebagai sebuah agama baru yang sangat ekstrim sehinggakan sesiapa sahaja yang tidak menyokong PAS dianggap menentang agama Islam.
Manakala UMNO pula pada ketika itu cuba mempertahankan sikap sekular mereka. Bagaimanapun, kehadiran seorang tokoh yang memegang tampuk kuasa, menyaksikan peralihan sikap UMNO yang lebih mesra agama berbanding zaman sebelumnya. Orang UMNO bingkas bangun menangkis dakyah para pengikut PAS sekalipun masih lagi berusaha untuk merapatkan saf dengan kelompok PAS yang telah bermufarakah.
PAS dan UMNO menghadapi pelbagai rintangan dan perubahan. Namun negara tetap dalam keadaan aman damai dan rakyat tidak perlu bersusah payah terutama apabila kos kehidupan yang semakin meningkat seiring dengan peningkatan tangga gaji serta corak hidup yang berubah dengan cara yang sangat drastik.
Perubahan ekonomi dan sosial itu turut menyaksikan perubahan sikap masyarakat Melayu yang terpaksa bersaing dengan kaum-kaum lain di samping mempertahankan hak-hak mereka yang termaktub di dalam Perlembagaan. Hanya pada 1988, satu lagi perubahan besar di dalam arus politik menyaksikan masyarakat Melayu terpecah lagi gara-gara UMNO diharamkan pendaftarannya. Penubuhan Semangat 46 memperlihatkan kuasa politik Melayu semakin lemah biarpun Melayu UMNO, PAS dan Semangat 46 masih kekal berkuasa sebagai kerajaan.
Dan saat itu, desakan dan tuntutan daripada pelbagai pertubuhan politik, organisasi dan NGO kaum pendatang, menghilangkan sebahagian hak orang Melayu-Islam, gara-gara kerajaan (sama ada kerajaan pusat atau kerajaan negeri) memerlukan undi kaum pendatang untuk terus kekal berkuasa.
Apabila Semangat 46 dimansuhkan dan ahli-ahlinya diserapkan ke dalam UMNO, ditambah pula dengan usaha-usaha pembaikan antara PAS dan UMNO, negara kembali tenang. Tumpuan dapat diberikan semula kepada usaha-usaha penambahbaikan ekonomi. Namun 10 tahun berselang, kemelut politik berulang lagi. Kali ini, negara gempar dengan pemecatan dan pembicaraan Anwar Ibrahim sebagai pelaku seks luar tabiie serta perasuah salah guna kuasa.
Dan sehingga sekarang, masyarakat Melayu tidak aman dan terus berpecah mengikut haluan politik. Keghairahan untuk menarik sokongan kaum pendatang yang menjadi penentu kuasa, menyaksikan Islam dan umatnya dikorbankan sedikit demi sedikit oleh penggila-penggila kuasa ini.
Tiada apa-apa yang boleh dilakukan, melainkan desakan dari akar umbi agar Islam dan umatnya terus dijaga dan dipelihara di negara berdaulat ini. Segala anasir yang cuba meruntuhkan ukhwah dan kesyumulan Islam, seharusnya ditentang.
Mungkin tidak ramai yang bersetuju dengan saya bahawa politik demokrasi tidak dapat menjaga agama, melainkan meruntuhkannya. Politik demokrasi juga tidak dapat menjamin kehadiran seorang pemimpin yang benar-benar berkualiti, melainkan seorang pemimpin yang sangat licik dan hanya pandai berhujah.
Dan kerana itu, lahirlah blog ini yang sangat saya harapkan, mampu memberikan sedikit sumbangan agar minda umat dapat diluruskan dan ekstrimist politik dapat dikurangkan.
Terima kasih kerana kesudian tuan-tuan melayari blog ini.