PAS-Baru sememangnya sudah terbelah-belah. Penyertaan golongan profesional yang tidak mempunyai latar belakang pendidikan agama, bagaikan telah menghilangkan peluang kepada golongan yang berasal daripada institusi agama untuk menerajui parti tersebut. Malah kecenderungan golongan profesional PAS-Baru berkiblat kepada Anwar Ibrahim, menyaksikan parti kedua terbesar untuk umat Melayu di negara ini, bagaikan hilang pedoman dan arah.
Semenjak ditubuhkan, 8 Mac 2008 merupakan kemuncak tertinggi yang pernah dicapai oleh PAS-Baru. Semuanya hasil campurtangan Anwar Ibrahim yang bersungguh-sungguh untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia Ke-6 dengan menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional.
Kejayaan tersebut telah mengubah sikap barisan kepimpinan PAS-Baru. PAS-Lama yang bersungguh-sungguh membela dan cuba mengangkat darjat Islam, terperuk dan akhirnya tinggallah beberapa orang pemimpinnya yang masih menerajui kepimpinan utama. Jawatan dari Naib Presiden ke bawah, majoritinya dibolot oleh geng-geng PAS-Baru yang lebih dikenali sebagai golongan Erdogan.
Sekalipun menjadi dalang utama di sebalik keluarnya PAS dari Barisan Nasional pada 1974, Nik Aziz yang dilantik sebagai Mursyidul Am menggantikan Yusuf Rawa, lebih banyak menyebelahi golongan Erdogan yang menerima arahan Anwar Ibrahim berbanding Hadi Awang yang merupakan Presiden PAS. Dan tanpa berselindung, Nik Aziz menghalalkan semua cara untuk memenangkan Anwar Ibrahim, termasuklah kes liwatnya yang sedang dibicarakan.
Perubahan Majlis Syura termasuklah jawatan Mursyidul Am, menyebabkan peminat atau mereka yang mengikuti perkembangan PAS tertanya-tanya. Apabila Nik Aziz menyatakan, dia lebih berbahagia sekiranya tidak dipilih menjawat jawatan Mursyidul Am memandangkan kesihatannya yang semakin menurun dan kesukarannya untuk menghadiri mesyuarat, lebih ramai yang berpendapat, Nik Aziz sebenarnya ditekan oleh pelbagai pihak di dalam PAS sendiri agar melepaskan jawatan tersebut bagi membetulkan hala tuju sebenar parti berkenaan.
Nik Aziz tidak mungkin dapat mengenepikan begitu sahaja desakan daripada pemimpin-pemimpin Erdogan di dalam PAS yang mempunyai kepentingan tembolok dan perut. Biarpun berlakon menyalahkan Nik Aziz dalam kes Ariffahmi, kebanyakan daripada mereka pasti akan berhadapan dengan kesukaran seandainya Nik Aziz tiada sebagai Mursyidul Am.
Secara tidak langsung, PAS-Baru memperolehi PROMOSI dan MILEAGE menerusi tindak-tanduk dan kenyataan yang dibuat oleh Nik Aziz. Mampukah PAS terus hidup tanpa Mursyidul Amnya yang sangat popular itu?
Apa yang pasti, setiap pemimpin pasti akan ada pelapis dan penggantinya. Nik Aziz akan digantikan oleh seorang Mursyidul Am yang lain yang besar kemungkinannya adalah Dr.Haron Din yang lebih kukuh dan tegas prinsip perjuangan dan dakwah Islamnya. Atau boleh jadi juga, gerombolan Erdogan di dalam PAS akan terus mendesak agar Nik Aziz dikekalkan sebagai Mursyidul Am memandangkan khidmatnya masih diperlukan oleh mereka, selagi mana Hadi Awang dan Nasaruddin Mat Isa berada di puncak kepimpinan utama.


