
Berlangsung daripada cubaan untuk meningkatkan sokongan Melayu terhadap PAS, PAS terpaksa mengeluarkan semula senjata yang dianggap paling ampuh sekalipun pada masa yang sama, ia akan membunuh mereka kembali.
Senjata yang dimaksudkan adalah TRAGEDI MEMALI yang menyaksikan 14 orang terbunuh, berpuluh-puluh yang lain tercedera dan beratus-ratus yang lain ditahan oleh pihak berkuasa. Tragedi yang berlaku pada 19 November 1985 merupakan manifestasi daripada masalah TAKFIR yang menjadi barah kesan daripada FATWA 1963 oleh Dewan Ulama PAS yang mengkafirkan UMNO kerana bekerjasama dengan MCA dan MIC dalam menguruskan pentadbiran negara.
Semuanya bermula apabila Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya diburu polis kerana tindak-tanduknya yang dianggap sebagai subversif. Ibrahim Libya juga dituduh melindungi penjenayah yang sangat dikehendaki oleh polis iaitu Yusof Che Mit dan Ramli Che Mit. Bagaimanapun sewaktu polis melakukan serbuan, kedua-dua penjenayah tersebut tiada di madrasah yang menjadi kubu pertahanan Ibrahim Libya dan para pengikutnya.

Syahid atau tidak Ibrahim Libya serta para pengikutnya, dipulangkan kepada Allah Taala yang lebih mengetahui. Bagaimanapun, dua orang ahli Majlis Fatwa Kedah, Tuan Guru Haji Yahya Junid dan Ustaz Azahari Abdul Razak menyatakan Ibrahim Libya dan para pengikutnya syahid berdasarkan mereka yang mempertahankan diri dan harta mereka adalah syahid. Dan bertitik tolak dari situ serta daripada fatwa PAS sendiri, jenazah Ibrahim Libya dan para pengikutnya tidak dimandikan sebaliknya dikebumikan sebagaimana pensyahid.
25 tahun telah berlalu. Selepas senyap seketika, TRAGEDI MEMALI kembali diungkit oleh kepimpinan utama PAS. Pun begitu, masalah sebenar terutama yang dihadapi oleh kaum keluarga Ibrahim Libya dan para pengikutnya masih tidak diselesaikan sehingga kini. Bahkan ia ditutup dan disenyapkan seolah-olah semuanya telah selesai.
PAS telah memanipulasikan tragedi ini untuk mengutip derma dan sumbangan ikhlas daripada masyarakat Islam di seluruh negara, khususnya dari kalangan penyokong PAS. Iklan-iklan tentang Tabung Mangsa Memali disiarkan dalam akhbar rasmi PAS, Harakah. Bahkan para pengikut PAS turut menerbitkan pelbagai bahan bacaan seperti buku dan makalah untuk menarik simpati ahli-ahli PAS dan orang ramai untuk menghulurkan derma.
Secara tidak langsung, dari pandangan mata kasar, segala-galanya berjalan lancar dan waris mangsa kerakusan seorang Menteri Dalam Negeri pada waktu itu, benar-benar telah mendapat pembelaan.
Apa yang berlaku selepas itu, amat memalukan. Pada 27 Julai 2000, sekumpulan waris mangsa Tragedi Memali telah membuat aduan polis tentang wujudnya penyelewengan dan salah guna kuasa dalam pengurusan tabung berkenaan. Waris mangsa yang diketuai oleh Zainon Ismail berkata, PAS telah menutup semua pintu untuk penyelesaian bagi masalah yang dicetuskan oleh penyelewengan dengan mencemarkan nama baik mereka.
Presiden PAS pada waktu itu, Fadzil Noor tidak mengendahkan pendedahan mereka, sebaliknya memihak kepada para penyeleweng. Ekoran daripada peristiwa itu, balu Ibrahim Libya, Soleha Hussin telah dijadikan mangsa penghinaan oleh para penyokong PAS. Dia dilabelkan sebagai isteri syuhada murahan.
Mereka yang terlibat dalam pendedahan itu turut diugut oleh para penyokong PAS dari luar Memali. Lebih teruk lagi, ada yang menfatwakan bahawa darah mereka ini halal kerana mereka dianggap telah menderhakai PAS.
29 Ogos 2000, Fadzil Noor mengadakan pertemuan dan dialog dengan 25 orang waris dan mangsa TRAGEDI MEMALI di Madrasah Islahiah Diniah, Kampung Memali untuk memberi penerangan tentang perkembangan Tabung Memali. Di madrasah ini jugalah, Sambutan 25 Tahun Tragedi Memali akan dirasmikan oleh Presiden PAS kini, Abdul Hadi Awang pada 19 November jam 9.00 malam bersama-sama Anwar Ibrahim dan kepimpinan utama PAS Kedah serta Pusat.
Majlis bersama Fadhil Noor bagaimanapun bertukar menjadi kecoh apabila kesemua mangsa terbabit dihalang daripada memberikan penjelasan tentang dakwaan mereka, berlaku penyelewengan dalam pengurusan tabung berkenaan. Kejadian pada pukul 6.00 petang itu, menyaksikan pihak jawatankuasa majlis hampir bergaduh dengan mangsa dan balu-balu TRAGEDI MEMALI selepas berlaku insiden cabar mencabar antara kedua-dua belah pihak.
Kesemua mangsa tidak berpuas hati dengan cara pihak jawatankuasa penganjuran majlis serta sikap Fadzil Noor yang dianggap tidak matang dalam menyelesaikan masalah pengurusan tabung berkenaan.
Kekecohan bermula apabila Zainon Ismail yang merupakan wakil yang dilantik oleh mangsa dan balu tragedi tersebut bangun untuk berucap bagi melahirkan perasaan tidak puas hati terhadap pengurusan tabung itu. Dia bagaimanapun dihalang atas alasan, BUKAN AHLI PAS.
Namun apabila Zainon Ismail atau lebih dikenali sebagai Cikgu Non menunjukkan kad keahliannya yang tertera bahawa dia adalah AHLI SEUMUR HIDUP PAS, Fadzil Noor dan ahli jawatankuasa tergamam. Pun begitu Cikgu Non tetap dilarang berucap menyebabkan balu-balu serta mangsa-mangsa tragedi mula melahirkan kemarahan mereka.
Akibat daripada peristiwa tersebut, PAS di Memali berpecah. PAS terpaksa menghantar Mat Sabu untuk mengendurkan keadaan. Ketika berceramah di Madrasah Islahiah Diniah Kampung Memali, Mat Sabu mengimbas kembali Tragedi Memali bagi tujuan mencetuskan semangat para pendengar dan mengalihkan tumpuan dengan mendakwa isu Tabung Mangsa Memali yang dihebohkan itu adalah hasutan MUSUH PAS. Malah dengan suara lantang, dia menyalahkan semua media kerana meuar-uarkan penyelewengan berkenaan dan pada masa yang sama, tidak langsung menjawab tandatanya balu-balu serta waris-waris mangsa Tragedi Memali.
Dalam ceramahnya juga, Mat Sabu menyifatkan para balu dan waris mangsa yang membuat laporan polis serta mendedahkan penyelewengan Tabung Mangsa Memali sama dengan perbuatan kaum Nabi Nuh dan Nabi Luth yang dilaknati Allah Taala dan bakal menjadi ahli neraka.
Dan sehingga kini, Tabung Mangsa Memali kekal dipolitikkan untuk serakah dan nafsu para pemimpin PAS. Setelah 10 tahun berlalu, isu berkenaan sentiasa cuba disenyapkan oleh para pemimpin PAS manakala sebahagian besar wang tabungan berkenaan, 'hilang tanpa dapat dikesan'.

Kini, PAS kembali ke Madrasah Islahiah Diniah, Memali untuk bermonolog, berpantomen, bernasyid dan sebagainya untuk terus mendapatkan wibawa daripada para penyokong mereka. Pada masa yang sama, uncang-uncang akan digerakkan oleh Unit Amal atas nama Tabung Mangsa Memali.
Hakikatnya, mangsa-mangsa Memali sekadar satu modal untuk PAS terus hidup di kalangan Melayu. Ada teori yang mengatakan tragedi tersebut sengaja dibiarkan dan Ibrahim Libya perlu dikorbankan agar PAS dilihat sebagai mangsa, sekaligus orang Melayu, khususnya di Baling dan Kedah secara keseluruhannya akan terus menyokong PAS sama ada atas dasar simpati mahupun atas sebab terpengaruh dengan dakyah para pemimpin PAS.
Pada masa yang sama, mangsa-mangsa dan ahli keluarga Ibrahim Libya serta para pengikutnya akan terus dipergunakan untuk mengumpulkan wang derma bagi pihak 'yang satu lagi'.
Takkan orang Baling dan Memali SEBODOH seperti yang disangkakan oleh kepimpinan PAS Pusat?
Nota: Kepimpinan PAS Pusat pada ketika itu tahu tentang KEGILAAN MUSA HITAM dan tindakan keras yang bakal diambil terhadap Ibrahim Libya apabila menghantar seorang pemimpin tertinggi PAS dan Haji Mohammad Hasyim, bekas pengarang Majalah Al-Ummah atau lebih dikenali sebagai BLOGGER IBN HASYIM, untuk memujuk Ibrahim Libya menyerah diri kepada pihak berkuasa beberapa minggu sebelum tragedi berkenaan. (
Rujuk DI SINI)