Selepas Asar, penulis tiba di rumah Ibrahim Ali di Taman Melawati bersama-sama Wira PERKASA, Sdr. Armand dan kami disambut mesra oleh Ibrahim Ali yang sedang berehat memandangkan itulah nasihat doktor yang perlu dipatuhinya. Berdasarkan keadaannya, penulis tidak melihat sebarang kekurangan padanya, apatah lagi tempoh berehat bagi mereka yang baru menjalani pembedahan pintasan koronari biasanya akan mengambil masa, terutama atas faktor badan, usia dan penyakit lain seperti kencing manis. Namun melihat kepada parut di dada dan betisnya, Ibrahim Ali tidak menunjukkan sebarang masalah. Apatah lagi, suaranya sudah hampir pulih seperti suaranya yang asal.
Berdasarkan pengalaman penulis sendiri, Ibrahim Ali sebenarnya lebih cepat sembuh berbanding daripada jangkaan. Perbualan kami banyak berkisar tentang PERKASA dan sejarah jatuh bangunnya dalam politik, bermula sebagai pemimpin kesatuan pelajar di ITM (sekarang UiTM), sehinggalah ke zaman Tan Chee Koon, V. David dan P.Patto serta Yusof Rawa, sehinggalah ke zaman sekarang, serta naik turunnya bersama BERJASA, UMNO, Semangat 46 dan kemudian UMNO sebelum digugurkan sebagai Ketua Bahagian UMNO tanpa bersebab dan kemudian melepaskan keahliannya pada zaman Abdullah Badawi.
Ternyata berita tentang 'kematian' dan 'ketenatannya' yang sedang dimainkan di dalam beberapa buah blog Pakatan Rakyat, tidak langsung menyinggung perasaannya. Pun begitu, dia kesal dengan sikap segelintir manusia di Malaysia yang menggunakan medium penulisan sebagai bahan hujah apabila kematian dan kehidupan seseorang bagaikan tidak menjadi apa-apa hal kepada mereka.
Sama seperti sebelumnya, Ibrahim Ali masih mempersoalkan beberapa dasar kerajaan terutamanya yang berkaitan dengan orang Melayu.
"Kampung Bharu bukan show-case."
"Apa kaitan Sun Yat Sen dengan sejarah Malaysia, sekalipun untuk produk pelancongan kerana produk pelancongan biasanya bercirikan tempatan? Tempatan sangat ke Sun Yat Sen."
"Mana muzium pahlawan-pahlawan Melayu? Mana muzium Mahajaralela Perak, mana muzium Tok Janggut Kelantan, mana muzium Mat Kilau Pahang, mana muzium Rosli Dhobi Sarawak, mana muzium Panglima Mat Salleh Sabah?"
"Apa motif Koh Tsu Koon menghadiahkan RM150,000 untuk pembinaan Muzium Sun Yat Sen di Pulau Pinang?"
Itu adalah antara beberapa persoalan yang dibangkitkan oleh Ibrahim Ali yang masih bersemangat memperkatakan tentang Melayu dan idealisme perjuangan PERKASAnya. Malah pertanyaan-pertanyaannya turut menjurus kepada kepentingan dan retoriknya kerajaan dengan Bulan Bahasa Kebangsaan serta kepentingan Bahasa Kebangsaan kerana terlalu takut dicop sebagai RASIS.
Turut dibangkitkan ialah persoalan tentang orang Melayu di rumah pangsa yang menurutnya tidak begitu sihat untuk masa hadapan, terutama terhadap pegangan ekuiti serta pelaburan hartanah untuk jangkamasa panjang.
Namun paling menarik apabila dia mengupas tentang PENDERHAKAAN ANAK kepada IBU DAN BAPA merujuk kepada kes yang sedang berlaku di Kelantan.
Apa-apa pun pertemuan dengan Ibrahim Ali YANG MASIH HIDUP DAN SEMAKIN SIHAT serta bukti pertemuan tersebut, diharap dapat menutup mulut-mulut bacul dan ketegar untuk mempercayai bahawa manusia bernama Ibrahim Ali itu tidak seperti yang mereka sangka.
"Cakapkan kepada mereka, saya semakin sihat dan tidak lama lagi akan comeback. Jangan pula tak senang hati bila saya dah muncul kembali."
Itu adalah pesanannya tatkala kami melangkah keluar sebelum azan maghrib berkumandang.















