
PAS menjadikan Islam sebagai perjuangannya. Dan disebabkan itu, PAS sentiasa 'mengislamkan' apa-apa sahaja tindakan mereka, sekalipun pada hakikatnya mereka sedang menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. 'Pengislaman' yang dilakukan oleh PAS sekadar untuk menarik perhatian dan pengaruh dari kalangan orang Islam yang kurang berakal dan kurang berilmu. Pun begitu, mereka yang inginkan Islam mencapai martabat sepatutnya di negara ini, sebenarnya tidak ada pilihan lain kecuali memilih PAS sebagai tempat menaruh harapan, dengan jangkaan apabila sudah berkuasa, PAS akan kembali ke jalan yang benar dan menggunakan uslub yang dikehendaki oleh Islam, bukannya menghalalkan cara untuk mencapai matlamat sebagaimana yang dilakukannya kini.
Semenjak awal penubuhannya, UMNO pula dilihat kurang menitik beratkan kerohanian, sebaliknya lebih menumpukan kepada keperluan jasmani. Sekalipun wujud biro agama dalam UMNO, Biro Agama UMNO sekadar untuk menjadi pembaca doa selamat atau pembuka majlis dan kemudian membaca doa ketika majlis berakhir. Biro Agama UMNO sebenarnya sangat pincang, dan tarafnya tidak pernah ditinggikan melebihi Majlis Tertinggi UMNO pun, manakala mereka yang diletakkan dalam Biro Agama UMNO hanyalah pemimpin-pemimpin agama rejected yang diambil oleh UMNO untuk menutup mulut mereka, atau sebagai topengan bagi mengurangkan rasa cuak terhadap UMNO dalam hal agama.
Diakui atau sebaliknya, Biro Agama UMNO sebenarnya hanya wujud di atas kertas, sedangkan biro berkenaan langsung tidak mendatangkan sebarang fungsi pun. Ada pun menyemak, tak ada lagi baik!!!
Dan kerana itulah, apabila PAS berhujah agama untuk membenarkan perbuatan mereka, orang UMNO sekadar terjerit-jerit mengatakan salah, manakala Biro Agama UMNO hilang entah ke mana. Nik Abdul Aziz mengeluarkan pelbagai pandangan agama yang karut-marut, bahkan sehingga menghina Nabi Muhammad s.a.w yang dikatakannya sebagai budak kampung biasa kalau bukan kerana wahyu, Biro Agama UMNO tidak pernah keluar satu patah kenyataan pun tentang hal yang sebenarnya, tentang Muhammad bin Abdullah s.a.w yang telah pun ditetapkan oleh Allah Taala sebagai Rasul ummat akhir zaman, sebagai orang yang menerima wahyu dan tidak ada ruang langsung untuk perkataan, 'kalau bukan kerana wahyu'.
Ada yang berpendapat, politik sedia ada yang diamalkan sekarang bukan politik Islam. Justeru, tidak wajar agama Islam diperdebatkan, sama ada membabitkan masalah furu' atau syariat mahupun akidah.
Pendapat itu sebenarnya salah sama sekali!
Mereka yang mengaku beriman kepada Allah Taala dan Muhammad s.a.w, sebenarnya wajar mempertahankan Islam dengan apa cara sekalipun dan pada sebarang masa dan tempat. Seandainya ada musuh yang cuba menghina Rasulullah s.a.w, seandainya ada syaitan yang cuba menimbulkan keraguan kepada Kebijaksanaan Allah Taala menerusi Af'al dan Iradat-Nya, menerusi taqdir dan qadar-Nya, maka golongan yang berpegang teguh kepada kalimah Thoiyibbah itu seharusnya menentang dan memerangi sekalipun yang diperangi adalah ibu bapa sendiri, apatah lagi orang yang menyamar sebagai Tok Guru dan seangkatan dengannya.
Di sinilah Biro Agama UMNO perlu bertindak. Malangnya, ia tidak menjadi kenyataan. Biro Agama UMNO terlalu takut dengan ustaz-ustaz karut PAS. Malah apabila Khalid Samad yang juga digelarkan ustaz dan pernah berkuliah mengajar kepada orang ramai dengan membaca kitab walhal dia pun tahu, apa yang membolehkan seseorang itu mengajar, apa yang menyebabkan seseorang itu menyimpan untuk dirinya atau pun mendiamkan diri dan menjadi pelajar, melakukan onar besar, Biro Agama UMNO tetap kekal sebagai si tua bisu, yang pekak, tuli dan lumpuh.
Orang PAS boleh berkata apa-apa sahaja, boleh mengarut macam-macam tentang agama, boleh berbidaah dan mengkhawarijkan orang ramai yang kurang ilmu, jawapan atau penjelasan daripada UMNO menerusi Biro Agamanya amat payah diperolehi. Nik Abdul Aziz boleh mengeluarkan cakap-cakap kufur seperti Allah Taala samseng berisbatkan asma-Nya, Al-Qahhar, Allah Taala mencarut kerana Nik Abdul Aziz buat-buat tak faham antara perkataan carut dan cela atau dia mengambil faham daripada totok Kelantannya bahawa cela itu adalah carut... Biro Agama UMNO tetap kekal menjadi Hubal, Al-Latta dan Al-Uzza!!!
Dalam apa juga dari segi agama, UMNO sebenarnya telah lama dikalahkan oleh PAS. UMNO mengatakan mereka berjuang untuk agama, bangsa dan negara.... malangnya itu hanyalah slogan kerana UMNO sentiasa gagal menjaga agama, mempertahankan agama, menjunjung kalimah Allah Taala dan rasul-Nya dengan terus mendiamkan diri dalam banyak perkara kufur dan kuffar yang dilakukan oleh PAS.
Dek kerana caca-marbanya UMNO dalam hal UMNO, maka terkeluar jugalah beberapa kebodohan mereka dalam menanggapi hukum. Mereka cuba mengutuk PAS dan memalukan PAS tetapi ia sebenarnya lebih kepada boomerang untuk diri mereka sendiri.
Contoh terbaik adalah kes membabitkan Teo Nie Ching yang bersenamrobik di pekarangan masjid. Ia sebenarnya bukanlah isu yang perlu diperbesar-besarkan. Malahan ia tidak menjadi kudis pun yang mencacatcelakan kesucian masjid selagi anak Cina itu tidak masuk ke dewan solat utama dalam keadaan seperti dia bersenam robik di pekarangan masjid. Lebih malang lagi apabila para pembidas UMNO pula sekadar membidas kerana Teo Nie Ching, tetapi gagal melihat golongan sendiri yang tidak menghormati masjid dan gagal mengimarahkannya.
Kesucian sesebuah masjid bukan sahaja kerana adab berpakaian ketika memasukinya, tetapi juga kerana imarahnya. Masjid yang cantik, berhias indah dan bersenibina anggun, tidak memberikan sebarang erti dalam kekuatan agama, selagi mana masjid berkenaan hanya digunakan untuk berkhutbah Jumaat dan khutbah Jumaat juga sekadar diadakan kerana ia rukun wajib Solat Jumaat!
Ada perkara lain yang lebih besar daripada Teo Nie Ching yang membabitkan penyelewengan akidah yang perlu diberikan perhatian. Sekalipun sikap Teo Nie Ching boleh dipersoalkan kerana dia adalah kafir daripada kelompok yang sebelum ini sangat takut jikalau umat Islam bersatu, namun perkara membabitkan kerosakan agama, perlu lebih dititik beratkan. Contohnya ialah gejala mensyirikkan Allah Taala sama ada syirik khafi mahupun syirik jalli.
Menolak Af'al Allah Taala sahaja sudah cukup untuk menjadikan seseorang itu syirik jalli. Mengapa itu tidak dipersoalkan oleh UMNO? Menyembunyikan kebenaran adalah syirik khafi. Mengapa itu tidak dijadikan senjata oleh UMNO untuk membongkar pembohongan dan penyelewengan PAS?
UMNO sebenarnya tidak kurang orang alim dan ulama di dalam parti mereka, malangnya yang sentiasa menjadi tumpuan dan jurucakap atau tukang mengeluarkan suara adalah orang yang tidak layak... seperti Mahfuz Omar, Khalid Samad dan beberapa orang pemimpin PAS yang lain apabila timbulnya maslahat agama.
Sampai bila sebenarnya UMNO hendak berubah dan Biro Agama UMNO benar-benar menjalankan tugas mereka untuk memartabatkan Dinnul-Islam sebagaimana yang tertera dalam perlembagaan parti tersebut? Dan sampai bila orang-orang berkuasa dalam Biro Agama UMNO akan kekal menjadi berhala-berhala yang diperbuat daripada tamar, disembah bila dikehendaki tetapi dimakan apabila perut lapar....
Dan sampai bila sebenarnya Biro Agama UMNO kekal sebagai BIRO PENGECUT, PENAKUT dan BACUL walaupun untuk membela Allah Taala dan Rasul-Nya?