Monday, January 3, 2011

PROJEK DENGAN MAT BANGLA, ANAK JADI UMPAN

Berita tentang seorang wanita yang membawa anaknya yang berusia dua tahun sebagai 'penyelamat' agar memudahkan dia 'berprojek' dengan Mat Bangla yang baru dikenalinya beberapa jam sempena sambutan tahun baru, beredar di beberapa buah akhbar. Wanita berkenaan yang berusia 40 tahun, diberkas oleh penguatkuasa JAWI di sebuah hotel murah di Jalan Raja Muda Abdul Aziz pada pukul empat pagi.

Ini adalah secebis kisah daripada jutaan kisah yang hampir serupa pada sambutan tahun baru yang turut membabitkan campurtangan kerajaan. Ini baru kisah tahun baru, belum lagi kisah malam Ambang Merdeka atau malam Hari Raya Puasa. Ini baru kisah di hotel murah, belum lagi di hotel-hotel bertaraf tiga bintang dan berbintang-bintang. Dan ini kisah orang marhein, belum lagi kisah VVIP, VIP mahupun golongan atasan yang turut melakukan perbuatan yang serupa.

Mencari-cari kesalahan orang lain, adalah satu kesalahan. Bagaimanapun, pihak berkuasa perlu membuat langkah pencegahan agar perkara seperti ini tidak berlaku. Di Malaysia, keadaan amat terbalik dan tunggang langgang. Mencari-cari kesalahan, mengintip-ngintip kesalahan dianggap perkara halal dan perkara biasa. Lebih teruk lagi, ada penguatkuasa yang datang bersama kamera dan video untuk mengambil gambar orang yang ditangkap melakukan perbuatan berkenaan.

Seharusnya kerajaan memperkasakan langkah-langkah pencegahan, bukannya hanya mengambil tindakan setelah berlakunya sesuatu natijah daripada galakan perkara maksiat seperti malam sambutan tahun baru. Sepatutnya pihak berkuasa, menggunakan ketegasan untuk menghentikan budaya hiburan yang berlebihan, bukannya memberikan galakan dan turut sama menyumbang tenaga dalam perkara-perkara syubhat.

Perkara-perkara syubhat seandainya tidak dibendung, pasti akan menjadi maksiat. Dan inilah teladan yang boleh dipelajari daripada peristiwa ini. Sememangnya memalukan. Dua orang pelaku berkenaan sudah tentu memalukan diri mereka sendiri, sedangkan pada masa yang sama, kumpulan penguatkuasa itu juga turut memalukan kerana sudah pasti, ada sebenarnya yang seronok dengan 'kejayaan' mereka menangkap si pelaku, apatah lagi dapat melihat aurat si pelaku dengan bebas yang konon-kononnya sebagai pengajaran.

lebih malang apabila operasi berkenaan turut sama melibatkan wartawan. Jangan terkejut seandainya orang yang menguatkuasakan undang-undang syariah dengan melakukan penangkapan, sebenarnya adalah manusia yang tidak pernah bersolat jemaah di surau atau di masjid. Lebih teruk lagi, ada yang tidak bersolat pun dan hidup mereka sentiasa kufur.

Jangan seronok dan berasa lega dengan operasi sebegini kerana ia turut melibatkan iman bukan sahaja kepada orang yang ditangkap, bahkan kepada orang yang menuliskan berita, yang menangkap dan yang paling penting, yang seronok sangat apabila ada pasangan yang ditangkap kerana berkhalwat.

Satu sahaja soalan yang wajar ditanya ialah, sejauh manakah kita telah menghudud dan mengqisaskan diri kita sendiri sebelum kita mahukan undang-undang itu dikuatkuasakan kepada seluruh rakyat? Dan sejauh manakah kejujuran kita kepada taqwa sendiri sebelum kita mempersoalkan maksiat orang lain?

1 comments:

Anonymous said...

Saya terpaksa kata saya bersetuju bila selalunya mereka yang bersungguh-sungguh mencari kesalahan orang lain juga melakukan kesalahan. Bayangkan mengambil gambar, kemudian disebarkan, dihina. Kononnya bawa kamera adalah untuk pembuktian, namun apa pembuktiannya bila pesalah kencing pun dirakam dan kemudian disebar.... Cuba kita pula sebarkan gambar mereka...baru padan muka.

IKLAN BERBAYAR

PORTAL ISTIMEWA

BLOG-BLOG PRO KERAJAAN

TAK TAHU KIRI KE KANAN

BLOG PEMIMPIN

SAPA DIA

Top Commenters

Powered by Disqus

Recent Comments

Senarai Laman Web WAJIB

 

Blog Archive

Labels

Blog Caca Marba

THE FLYING KICK Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template