Bagi orang yang faham agama, kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat, sememangnya sangat merimaskan. Bahkan pada peringkat menyamakan Sifat-Sifat Allah Taala dengan sifat-sifat makhluk seperti Allah Samseng, Allah mencarut, telah mewujudkan perpecahan taqwa kepada-Nya. Sangat ramai yang jatuh ke lembah kesyirikan apabila membuat ulasan membuta tuli tanpa faham maksud serta beza antara Khaliq dan hamba kerana ketaksuban dan pemujaan melampau terhadap Nik Abdul Aziz Nik Mat.Biarpun secara peribadi penulis beranggapan, kata-kata Nik Abdul Aziz wajar dinilai secara rasional dan berlandaskan kepada ilmu Islam terutama bab Tauhid, namun golongan awam atau golongan mubtadi di luar sana, mengambil secara luaran dan membuat kesimpulan yang bukan sahaja menjahanamkan akidah mereka, bahkan menjadikan mereka kafir secara mutlak sehingga perlu memperbaharui syahadah mereka dan bertaubat nasuha.
Bertahkik tanpa ilmu dan sandaran yang cukup, hanya akan menyebabkan kita lebih jauh daripada Allah Taala!
Justeru, pendedahan demi pendedahan penyelewengan yang dilakukan terhadap Nik Abdul Aziz, telah menjadi satu kewajipan. Bukan kerana yang mengeluarkan kenyataan tersebut adalah Nik Abdul Aziz Nik Mat, sebaliknya kerana kata-kata tersebut menyesatkan lebih ramai umat. Bukan kerana yang menyesatkan adalah Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana penulis percaya, Nik Abdul Aziz Nik Mat bukan seperti itu, tetapi tanggapan kaum waham dan penjahil yang teringin hendak menjadi orang agama yang menyebabkan kerosakan menjadi lebih besar.
Sebenarnya kaum waham dalam PAS sudah terlalu lama menggunakan dan menyalahgunakan kata-kata Nik Abdul Aziz Nik Mat. Kalau anda perhatikan dan perhalusi, Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak akan diberikan tempat oleh puak-puak waham dalam PAS sekiranya dia bercakap lurus, tetapi sebaliknya tempat untuknya disediakan secara besar-besaran sekiranya ada kata-katanya yang kelihatan 'sangat boleh dipakai' dalam menjadikan PAS lebih berpengaruh di kalangan pengundi.
Anaknya sendiri, Nik Abduh telah menyelar sikap pewaham dan penjahil di dalam PAS yang kerap memutarbelitkan ayahnya. Namun apa yang berlaku seterusnya ialah Nik Abduh ditekan, dibelit dan disepak terajang. Mereka mengancam Nik Abduh dengan menggagalkan usahanya untuk menjadi Ketua Pemuda PAS Kelantan sehingga menyebabkan Nik Abduh akhirnya terpaksa tunduk melutut kepada mereka memohon kemaafan hanya semata-mata bercakap benar.
Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah nama besar. Suka atau tidak, orang ini adalah tokoh dan mempunyai pengaruh yang bukan kecil. Dan kerana ketokohannya itulah, dia dipergunakan secara optimum oleh pewaham dan penjahil yang berhati serigala di dalam PAS untuk kepentingan peribadi mereka.
Meletakkan dan menaikkan Nik Abduh sebagai benteng menentang pewaham dan penjahil di dalam PAS adalah satu kewajipan bagi mereka yang ingin melihat perubahan besar di dalam parti kedua Melayu itu. Setidak-tidaknya kerana keberanian Nik Abduh untuk bercakap benar dalam beberapa perkara serta tiada bengkok keledoknya dalam fahaman Islam, menjadikan dia sebagai tokoh muda yang wajar diberikan peluang.
UMNO tidak perlu bercakap besar kononnya tidak memerlukan orang seperti Nik Abduh. Memberikan kemenangan besar kepada UMNO tanpa ada penimbang, hanya akan memudaratkan kerana jauh di dalam UMNO, wujud golongan yang sangat kreatif kalaupun mereka tidak berani menyentuh bab agama, tetapi sangat pintar 'mengira kewangan'. Seandainya di dalam Islam pun, memerlukan segolongan yang menegur kepimpinan, bagaimana pula UMNO boleh menolak kepentingan berkenaan. Biarkan Nik Abduh di dalam PAS dan tidak perlulah mengejek-ngejek Nik Abduh dan PAS kerana bimbang UMNO gagal menguasai Kelantan.
Seandainya Muawiyyah bin Abi Suffian r.a masih memerlukan golongan ulama yang lebih condong kepada Syaidina Ali r.a, bahkan pendapat Syaidina Ali r.a sendiri, mengapa pula UMNO di Malaysia perlu menolak suara dari PAS, walhal hikmah Allah Taala mengeluarkan PAS dari dalam UMNO adalah sebagai penimbangtaraan atau bahasa mudahnya 'check-and-balance'.
Nik Abdul Aziz perlu dibawa turun. Dia perlu digantikan oleh pemimpin baru yang lebih bijak menangani kerumunan penasihat-penasihat yang sebenarnya musibat. Sudah tentu akan wujud tentangan daripada pentaksub-pentaksub Nik Abdul Aziz yang terdiri daripada golongan pewaham dan penjahil, tetapi menolak mudarat yang kecil bagi mendatangkan kebaikan yang lebih besar kepada umat, merupakan perkara yang wujud dalam penyelesaian fiqh Islam.


1 comments:
Korang jangan mimpi lah Nik Aziz akan letak jawatan...kan dia dah kata dia masih boleh mentadbir Kelantan dengan baik dengan buah fikiran je...jadi tak payah lah desak dia letak jawatan....jadi pemimpin2 PAS yang ada niat nak gantikan dia baik korang lupakan je lah niat tu ..hehe...
Post a Comment