Sepanjang berada di Kerdau dan kemudiannya ke Merlimau, penulis melihat beberapa perubahan besar yang berlaku di kalangan pemimpin UMNO. Semakin ramai pemimpin UMNO yang sedar diri dan tidak lagi bersikap elitis dan berasakan mereka semua betul, sebaliknya mula menjadikan penggembelengan pelbagai usaha dan kepakaran dalam menjayakan kemenangan buat calon UMNO-BN.Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman dan Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Ahmad Maslan merupakan contoh terbaik bagaimana menjalankan tugas masing-masing dari ground... Mereka mudah didekati. Mudah diperolehi maklumat dan data serta fakta, selain kurangnya birokrasi dan protokol untuk bertemu mereka.
Penulis juga berkesempatan ke Rumah Kedah yang terletak tidak jauh dari pentas ceramah paling popular dan glamour di Kerdau iaitu di Felcra Rumpun Makmur. Daripada apa yang difahamkan pasukan dari Kedah dan Perak menggunakan pendekatan 'personal touch' di mana Kedah diberikan tanggungjawab untuk mengalihkan dan mengenalpasti sasaran utama di tiga buah FELDA. Mungkin sesuatu yang menjad kemujuran, ramai peneroka FELDA dan FELCRA merupakan anak Kedah yang merantau ke Pahang dan telah pun menjadi pengundi di tempat baru mereka.
Masyarakat pengundi di Malaysia masih lagi mengekalkan nilai-nilai tradisional yang memerlukan sentuhan daripada pasukan pengempen secara personal. Kaedah tersebut telah pun dilakukan oleh PAS semenjak zaman berzaman. Hanya kerana perasaan tidak selamat dan bimbang dengan kegalakan PAS menjatuhkan hukum, apatah lagi kecenderungan PAS untuk berkempen dalam kelompok sendiri, menjadikan masyarakat setempat seringkali melihat PAS sebagai sebuah entiti yang terpencil dan sumbang.
Pendekatan yang konon-kononnya profesional menerusi perdebatan di kaca televisyen, hujah ala-ala pilihanraya presiden Amerika Syarikat, tidak langsung memberi bekas. Malah kalau dibuat pun, barangkali ia tidak akan mendatangkan sebarang perubahan.
Dek kerana itulah, para pemimpin UMNO tidak seharusnya hanya rajin turun padang pada musim pilihanraya sahaja. Sebaliknya seringkali mengambil tahu tentang masalah rakyat yang mereka wakili di 'jajahan' masing-masing. Atau paling tidak pun menghantar pegawai masing-masing ke kawasan terbabit sebelum mereka sendiri kerap menunjuk muka.
Kemenangan calon UMNO-BN di Kerdau misalnya, memperlihatkan kecenderungan penduduk kepada calon yang lebih dekat dengan masjid dan lebih dekat dengan agama yang dianuti oleh majoriti pengundi. Walaupun hal ini disentuh dan diamalkan oleh PAS, namun PAS mempunyai terlalu banyak kelemahan untuk menarik sokongan dan pengaruh, terutama sekali dengan kecenderungan mereka menjatuhkan hukum dan melabel golongan yang tidak mahu berpihak kepada mereka.
Kata-kata Nik Abdul Aziz bahawa dia tidak 'menghalalkan' dua kemenangan UMNO-BN sudah cukup untuk menunjukkan bagaimana PAS lebih gemar menggunakan taktik menakut-nakutkan para pengundi. Kata-kata seperti itu tidak akan membantu PAS untuk menang. Melabelkan para peneroka FELDA yang enggan memangkah atau menyokong PAS sebagai 'STOK PENIMBAL BN,' 'LEMAH IMAN', 'KEMARUK DENGAN HARTA BENDA', 'MENTALITI MUNDUR' dan sebagainya, bukan sahaja tidak membantu, bahkan menjarakkan sokongan yang diperlukan daripada generasi kedua dan ketiga FELDA.
Bahkan apabila Nik Abdul Aziz menyatakan bahawa kemenangan berganda UMNO-BN sebagai demokrasi senget, berat sebelah, tidak adil, penggunaan media massa berlebihan terhadap UMNO, ia sudah cukup untuk menunjukkan kepincangan Nik Abdul Aziz atau pegawai-pegawainya yang gagal turun menyelami hati budi masyarakat.
Selama 21 tahun Nik Abdul Aziz mentadbir Kelantan, bukankah ianya disebabkan demokrasi? Bukankah Kelantan tidak berganjak dari tangan Nik Abdul Aziz menerusi tangan pengundi bukannya disebabkan oleh senjata?
Ada yang akan menyanggah pendapat penulis dengan mengatakan, para pemimpin UMNO kerap turun ke padang dan melawat kawasan. Tidak dinafikan, memang ada pemimpin UMNO yang rajin melawat kawasan namun impak yang berlaku tidak menyeluruh. Lawatan berpilih-pilih dan secara tidak bersungguh-sungguh selain terlalu KEBANGSAWANAN sifatnya, membuatkan para pengundi UMNO sendiri menjadi meluat dan akhirnya memilih pihak lawan.
Itu adalah bukti pada Tsunami 2008...
Sesudah 8 kemenangan yang dicatatkan oleh UMNO-BN, seharusnya para pemimpin UMNO sudah mula mencelikkan mata. Para pemimpin UMNO seharusnya sudah sedar bahawa mereka sentiasa diperhatikan dan KPI mereka sentiasa dipantau. Bahkan ia tidak hanya melibatkan wakil rakyat, bahkan para pemimpin UMNO sama ada di peringkat tinggi mahupun di peringkat akar umbi, akan terus dipantau bagi memastikan, mereka keluar daripada kepompong 'AKU SAJA YANG BETUL' dan 'AKU TIDAK BOLEH DITEGUR ATAU DIKRITIK'.


3 comments:
BN menang kerana faktor calon nya yg bersih.Kelulusan yang baik.Keduanya UMNO diMerlimau dan Kerdau stabil.Ketiga UMNO pimpinan Dato Najib yang menonjolkan wnieable candidate.keempat pengundi yang bijak dari pemimpin.Cuma satu.Jangalah menteri jadi lowprofil masa kutip undi je.Lepas ni jadi lain pula.
WA SOKONG LU BRO..TAPI MANA ITU KP PUTERI DENAGN PEMUDA..TIDOR LAGI KAH...
KALAU SEMUA PEMIMPIN MACAM TOK MAT...GERENTI PAS DAN PKR MAKAN TAIK SAMPAI BILA BILA
TAHNIAH DATO AHMAD MASLAN
Post a Comment