Kisah orang UMNO berlumba-lumba untuk jual nama Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri bagi membolehkan mereka terpilih sebagai calon wakil rakyat dan sekarang ini, untuk pemilihan jawatan dalam UMNO akan datang, bukan cerita rahsia lagi. Sudah ramai para pemimpin UMNO yang mula mempersiapkan askar-askar dan para panglima mereka menyelinap ke serata tempat untuk berkempen, sama ada dengan cara memuji kalau tidak pun dengan menunjukkan para pemimpin tersebut bekerja untuk UMNO.
Itu kisah UMNOlah... kisah yang tidak lagi menghairankan kerana kapasiti UMNO sendiri sebagai tulang belakang pentadbiran negara dan kerana saiz UMNO yang lebih besar berbanding parti-parti politik lain di negara ini.
Namun pertemuan dengan beberapa orang Sahabat dari blok seberang sungai pun, tidak sunyi daripada kisah-kisah yang sama. Bezanya puak-puak ini berlilit serban, berjubah dan berjanggut kambing. Kaedahnya sama, tetapi dengan cara yang lebih 'bawah tanah' sifatnya.
Sudah ramai yang mula menjual nama Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk pemilihan jawatan dalam muktamar agung yang akan berlangsung tidak lama lagi. Berjawatan di dalam PAS sama ada sebagai Yang Dipertua Kawasan apatah lagi berjawatan penting dalam organisasi di peringkat negeri, akan memudahkan mereka menjadi calon wakil rakyat. Hierarki amat penting di dalam PAS sekalipun dari kawasan lain walaupun seringkali dilaungkan bahawa PAS tidak pandang hierarki dalam pemilihan sebagai calon.
Nama Nik Abdul Aziz Nik Mat jauh lebih laku berbanding nama Abdul Hadi Awang dan Nasharuddin Mat Isa. Sebabnya, Mursyidul Am PAS itu kelihatan lebih popular berbanding Presiden dan Timbalan Presiden PAS. Membawa nama Nik Abdul Aziz Nik Mat, bermakna akan turut membawa Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat ke dalam pengukuhan nama mereka.
Berbanding dengan membawa nama Abdul Hadi Awang dan Nasharuddin Mat Isa yang bermakna membawa agenda KERAJAAN PERPADUAN.
Dalam bab ini, tiada bezanya UMNO dan PAS. Anjing-anjing lapar akan sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk meletakkan nama mereka agar dikenali oleh ahli-ahli yang mempunyai kuasa untuk memilih.
Dan biasanya dalam keadaan ini, mereka akan mencari 'umpan' terbaik untuk disangkut pada mata pancing masing-masing. Sebarang isu akan digunakan untuk ditimbulkan, sekaligus membolehkan mereka dilihat dan disedari kewujudan di dalam arus politik parti. Masing-masing juga mencari tempat di media-media, baik di media lawan mahupun dalam media sendiri.
Satu perkara yang akan menjadi ketara ialah, akan wujud lebih banyak ketidaksefahaman, akan wujud juga caci mencaci antara satu sama lain, akan wujud juga lebih banyak berita-berita negatif yang merendahkan lawan dan akan wujud juga cerita-cerita menarik tentang pemimpin tertentu yang gaya kepimpinannya sangat diragui.
Ini adalah masanya... tempoh untuk berebut jawatan sudah tidak lama lagi. Tempoh untuk menempatkan diri sebagai calon wakil rakyat juga sudah semakin suntuk. Apa-apa sahaja yang dirasakan boleh menaikkan nama mereka, pasti akan digunakan, walaupun akhirnya yang kecundang nanti adalah rakyat dan ahli-ahli parti mereka sendiri!!!


0 comments:
Post a Comment