Tidak ada satu peruntukan pun dalam Perlembagaan Malaysia bahawa Perdana Menteri Malaysia wajib dilantik dari kalangan Melayu dan beragama Islam. Sebaliknya perlantikan tersebut sangat terbuka dan bergantung kepada parti mana yang menjadi dominasi di Parlimen. Perlantikan 6 orang Perdana Menteri dari kalangan Melayu dan beragama Islam sehingga kini hanyalah disebabkan oleh kontrak sosial yang telah dipersetujui ketika awal mula kemerdekaan dan pembentukan negara. Berbeza dengan undang-undang tubuh beberapa buah negeri yang mengkhususkan bahawa Menteri Besar perlu dilantik dari kalangan ahli DUN yang partinya menang dalam pilihanraya negeri, berbangsa Melayu dan beragama Islam. Malahan negeri seperti Kelantan dan Johor, mempunyai spesifikasi yang lebih mendalam tentang Melayu sehinggakan mereka yang berketurunan Melayu-Arab atau peranakan Melayu-India atau Melayu-Cina tidak dibenarkan menjadi Menteri Besar!
Sudah berulang-ulang kali, perkataan KONTRAK SOSIAL diperkatakan, khususnya dari kalangan mereka yang membangkang. Nurul Izzah, anak sulung Anwar Ibrahim yang merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai pernah mencabar UMNO agar mengemukakan bukti tentang kontrak sosial yang memperkatakan tentang lebihnya menjadi Melayu di negara ini sehingga mereka sahaja yang boleh menjadi Perdana Menteri.
Dan sudah pastilah kontrak sosial dalam bentuk hitam putih tidak dapat dipersembahkan kerana kontrak sosial tersebut hanyalah kefahaman lisan antara ketua-ketua kaum imigran dengan para pembesar Melayu ketika persetujuan memberi kerakyatan 1 juta dalam bentuk jus-soli dan hak mengundi kepada kaum imigran.
DAP melihat peluang ini untuk melakukan sesuatu yang sebenarnya tidak bersalahan dengan Perlembagaan Malaysia. Mereka telah cuba melakukannya di Perak apabila Ngeh Kor Ham enggan mengiktiraf Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak pada mulanya tetapi akhirnya menyedari, bantahannya tidak akan memberikan sebarang kesan kerana Undang-Undang Tubuh Negeri Perak sangat jelas menyatakan bahawa Menteri Besar perlulah orang Melayu dan beragama Islam.
Selama manakah konsep persefahaman KONTRAK SOSIAL akan berkekalan, sedangkan kalau kita lihat sekarang, generasi muda tidak peduli pun tentang kontrak sosial. Bahkan pemimpin politik dari generasi baru pun, turut tidak mengendahkan tentang kontrak sosial mahupun peruntukan jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri seperti yang diamalkan sekarang.
Tidak mustahil, suatu masa nanti, untuk menjamin undi daripada keturunan imigran, isu ini akan perbesar-besarkan dan kegagalan membuktikan memang wujudnya KONTRAK SOSIAL akan menyebabkan Melayu-Islam kehilangan jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
Berita tentang Jeff Ooi mengadakan pertemuan dengan 100 orang pastor di Pulau Pinang, sebenarnya adalah lohong pada Perlembagaan ini. Walaupun ianya salah dari segi menggantikan agama rasmi Persekutuan sekarang dari Islam kepada Kristian, namun desakan untuk menggantikan Perdana Menteri dari kalangan bukan Melayu dan bukan Islam, tidak bertentangan langsung dengan Perlembagaan Negara. Dan apabila Perdana Menteri sudah menjadi milik bukan Melayu-Islam, jawatan Timbalan Perdana Menteri juga bukanlah satu masalah besar kerana jawatan berkenaan adalah lantikan daripada Perdana Menteri.
Sampai bila UMNO akan terus bergantung kepada kepercayaan bahawa persefahaman lisan tentang KONTRAK SOSIAL akan terus dihormati dan dipegang? Sedangkan DAP secara berterus-terang telah banyak mempersoalkan tentang peruntukan kepada umat Islam dan kaum Bumiputera di negara ini tanpa sebarang tindakan pun!


1 comments:
Jawatan Perdana Menteri tidak dinyatakan dalam Perlembagaan Negara. Ianya adalah budi bicara Perdana Menteri bagi membantu nya dari segi pentadbiran.
Post a Comment