Pengerusi baru Melayu DAP Cawangan Lembah Kinrara, Azhar Shapawi menolak kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Pengerusi DAP Melayu cawangan tersebut, Haron Abdul Wahab bahawa DAP Melayu Lembah Kinrara telah pupus terutama dengan keluarnya 64 orang ahli Melayu DAP dari cawangan tersebut. Kenyataan akhbar oleh Azhar Shapawi, Pengerusi Cawangan Lembah Kinrara DAP pada 6 Jun 2011 di Kg Lembah Kinrara, Puchong
Ahli DAP Melayu di Lembah Kinrara Masih Bersama Dengan DAP
Saya sebagai Pengerusi baru Cawangan Lembah Kinrara DAP ingin menyampaikan kekesalan kami terhadap Harun bin Abdul Wahab, bekas pengerusi Cawangan Lembah Kinrara DAP yang telah keluar daripada DAP dan menyertai UMNO, dan mengikut laporan media, beliau dikatakan menyertai UMNO bersama dengan 64 ahli Melayu DAP di Lembah Kinrara.
Di sini, saya bersama dengan rakan-rakan Melayu DAP di Lembah Kinrara ingin menegaskan bahawa kami langsung tidak pernah dimaklumkan tentang penyertaan kami ke dalam UMNO, dan kami merasa hairan kenapakah Pak Harun bin Abdul Wahab mengheret kami tanpa kebenaran dan pengetahuan kami.
Mengikut siasatan kami, hanya beberapa ahli sahaja yang menjejaki Pak Harun untuk menyertai UMNO, iaitu keluarga dan beberapa kawan terdekatnya, tetapi kami yang lain masih kekal keahlian kami di dalam DAP.
Selepas berita tentang Pak Harun keluar daripada DAP disebarkan, ia sebaliknya telah menarik lebih ramai orang kampung di Lembah Kinrara untuk menyertai DAP. Ini menunjukkan ramai orang kampung memang tidak setuju dengan pendirian bekas pengerusi Cawangan Lembah Kinrara ini. Ramai orang Melayu di Kg Lembah Kinrara memang tidak ada masalah dengan YB Teresa Kok dan juga DAP.
Mengikut laporan akhbar, Pak Harun berkata tidak ada sebarang peruntukan diberikan kepada Kampung Lembah Kinrara dan YB Teresa Kok tidak memberi bantuan kepada orang kampung. Ini adalah kenyataan yang tidak benar kerana YB Teresa Kok memang pernah turun padang ke kampung kami dan prihatin dengan keadaan Kampung Lembah Kinrara.
Di antara program yang YB Teresa Kok pernah anjurkan untuk orang Kg Lembah Kinrara termasuk:-
1. Majlis Berbuka puasa di Kg Lembah Kinrara
2. Sambutan Hari Raya dan sumbangan kepada warga emas dan orang-orang miskin
3. Sumbangan buku latihan sekolah(600 naskah buku) sempena program ‘ Back to School’
4. Seminar Keusahawanan untuk orang Melayu dari Kg Lembah Kinrara dan Puchong di Bukit Jalil Golf Club
5. Tuisyen Percuma kepada pelajar SPM di Lembah Kinrara
6. Bantuan Skim Mikrokredit untuk peniaga kecilan (11 orang daripada Kg Lembah Kinrara mendapat bantuan ini termasuk Harun sendiri
7. Sumbangan kepada ibu-ibu tunggal sempena Hari Ibu
Selain daripada program di atas, YB Teresa Kok juga telah membaikpulih longkang yang telah roboh di Kg Lembah Kinrara demi mengelakkan banjir. Selain itu, YB Teresa Kok juga telah membuat permohonan kepada kerajaan negeri untuk membaikpulih jalan yang rosak di Kampung Lembah Kinrara dengan menggunakan peruntukan MARRIS. Kerja pembaikan dijangka akan dilakukan dalam 3 bulan yang akan datang.
Saya sebagai Pengerusi baru Cawagan Lembah Kinrara DAP menegaskan bahawa kami akan mempelawa lebih orang Melayu di Kg Lembah Kinrara untuk menyertai DAP dalam masa terdekat. Kami ahli DAP Melayu amat berterima kasih kepada segala bantuan dan keprihatinan YB Teresa Kok dan YB Gobind Singh kepada penduduk kampung. Kami ahli Melayu DAP tetap tolak UMNO yang asyik memainkan isu kaum dan agama dan merosakkan masyarakat di Negara kita ini. Kami sokong perjuangan DAP yang menjaga kepentingan semua kaum dan kami akan terus bersama dengan DAP.
Azhar Shapawi


0 comments:
Post a Comment