Kedatangan tahun baru 2011 tidaklah semeriah mana sekalipun kerajaan Najib Abdul Razak menyambutnya dengan meriah menerusi program Ambang Tahun Baru 2011 di Padang Dataran Merdeka dengan pancutan dan percikan bunga api menerangi angkasa di tengah-tengah bekas kebun sayur imigran Cina pada penghujung abad ke-19 itu.
Kenaikan harga barang makanan kurang dipedulikan sebaliknya yang disibukkan ialah doktrin negara maju, rakyat berpendapatan tinggi, FDI yang kembali meningkat, sasaran modal asing bertrillion ringgit dan sebagainya yang sekali dengar, sudah cukup untuk mencungapkan nafas bagaikan anak teruna menghilangkan statusnya pada malam pertama dia jadi pengantin.
Kemelut hilangnya minyak masak dari pasaran menghiasi sembang rakyat marhein. Namun ia sekadar sorakan kaum marhein yang masih lagi bercerita tentang upah tujuh lapan ringgit sehari atau bayaran kerja lebih masa RM4.50 yang diterima semenjak 1997 dahulu. Dan untuk menghilangkan susah hati rakyat marhein, maka cerita-cerita seronok dunia politik terus menghiasi negara.
Ia tidak ubah seperti seorang ibu merebus batu untuk memujuk anak-anaknya yang kemudian disuruh tidur sementara menantikan 'makanan' yang sedang direbus itu masak!
Segala faktor kemudiannya dikaitkan bagi MENGHALALKAN kenaikan harga barang makanan. Namun pada masa yang sama, cerita tentang gaji minimum pula disengapkan atau dikurangkan dari media-media arus perdana mahupun yang bersifat politik kepartian. Kalau ada pun yang menyebutnya, cebisan berita tersebut diletakkan di penjuru yang tidak menangkap perhatian para pembaca.
Ikan basah dari pelbagai jenis meningkat harga.... musim tengkujuh dipersalahkan. Harga ikan basah dan sayur-sayur naik, peningkatan harga diesel dan kotak ikan elektronik pula dijadikan alasan. Minyak masak tak ada di pasaran sekalipun Malaysia adalah pengeluar minyak masak terbesar di dunia, Menteri turun dan bawa kamera televisyen sambil memeriksa minyak yang sedang dibungkus oleh tukang paket yang berlesen, kemudian buat press conference dengan isinya, Kementerian sedang memantau dan mengkaji sambil mengulangi AMARAN-AMARAN KERAS yang sekadar sedap telinga mendengar tetapi ianya tidak ada sebarang erti pun.
Dan apabila sudah tidak mampu lagi menjawab, maka 'berpakatlah' sekalian ahli-ahli politik daripada parti pembangkang dan kerajaan untuk mewujudkan isu panas yang dapat melupakan rakyat marhein tentang isu sebenar yang membelenggu hidup mereka. Cerita orang politik jadi hiasan dan cerita ibu merebus batu kembali berlaku.
Sedar atau tidak, itulah yang berlaku di negara ini. Sedar atau tidak, peningkatan harga bukan setakat RON95, RON97, diesel, gula dan LPG, tetapi merangkumi semua harga barang termasuklah barangan kawalan. Malah telur ayam gred C yang hanya layak dihumban ke dalam sangkar ular di zoo pun, naik harga sekali ganda.
Maka perhatikanlah tingkahlaku orang politik. Yang menjadi pembangkang pun turut BERPADUAN dengan pemerintah dengan cerita-cerita politik yang tidak henti-henti. Kalau disentuh tentang susah payah rakyat pun, sekadar untuk mendapatkan mileage buat parti masing-masing, bukannya untuk rakyat pun. Mereka semua berkongsi satu sikap yang sama, rakyat biar mampus, asalkan mereka boleh mendapat kuasa dan merampas kuasa.
Cerita tentang orang politik diperhebatkan lagi apabila tiba sessi persekolahan dibuka. Sebabnya, cerita-cerita tentang politik perlu dihangatkan agar cerita tentang kesusahan akibat perangai pengetua-pengetua sekolah yang ingin mengisi tabung dan pendapatan sekolah dengan pelbagai yuran tambahan, tidak disentuh atau disebut.
Maka rakyat sekalian dihidangkan dengan kemelut SUK Selangor, perlantikan Pengerusi-Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri yang baru, perlantikan beberapa orang Ketua Pemuda, Erdogan cuba merampas kuasa, Cina suruh mamak balik India, menteri rogol amah, ADUN ditangkap berzina dan segala macam cerita yang sebenarnya LANGSUNG TIDAK PENTING KEPADA MANA-MANA RAKYAT MARHEIN PUN!!!
Sebenarnya kalau rakyat tak ambil kisah dengan apa yang dihamburkan kepada mereka, pasti puak-puak politik ini akan mencipta isu yang lebih besar. Selagi boleh, mereka tidak mahu langsung masalah kehidupan rakyat marhein, disedari oleh rakyat marhein sendiri. Mereka perlu didendangkan dengan pelbagai cerita orang politik agar fungsi kerajaan dan pembangkang di negara ini tidak diungkit-ungkit dan dicerca-cerca oleh rakyat!!!
Lebih aneh, apabila rakyat marhein sendiri pun sibuk nak turut serta dalam permainan orang politik dan menjadi Nabi serta Rasul golongan yang gila kuasa ini. Fenomena orang politik diangkat sebagai Wali, terus berleluasa dengan istilah yang mereka ungkapkan... PERJUANGAN!!!
Sedangkan perjuangan sebenar untuk hidup dan untuk terus hidup selain perjuangan untuk hidup bagai kehidupan abadi, langsung tidak dipedulikan. Maka cerita rakyat marhein yang masih hidup dengan gaji RM30 sehari, tidak langsung menyentuh hati dan perasaan puak-puak politik ini. Bahkan lebih sadis lagi, ada yang menjadikan fenomena kejam itu sebagai modal untuk mereka mendapat nama dan menonjolkan diri!!!
Anda boleh sokong sesiapa sahaja atau mana-mana parti politik pun, tetapi jangan lupa bahawa untuk makan nasi, anda perlu menyuapnya sendiri ke dalam mulut, anda perlu mengunyahnya, badan anda yang akan mengasingkan zat dan keperluan lain selain mengkumuhkan bahan buangannya, bukannya orang yang disokong, apatah lagi parti yang didokong!!!!
Golongan yang anda sokong itu tidak akan membantu anda sekalipun anda terpaksa merebus anak-anak batu untuk memujuk anak-anak anda agar berangan-angankan makanan sedap-sedap sebelum mereka terlelap dalam kelaparan!!!!
Atas sebab itulah, Allah Taala menyeru di dalam ayat-ayat al Quran... wahai orang-orang yang beriman... bukannya wahai negara yang beriman atau parti politik yang beriman atau jemaah politik beriman mahupun yang kafir atau fasiq atau kufur atau YANG TERLAKNAT... Allah Taala bezakan antara insan, manusia dan orang... Bahkan Nabi s.a.w juga sentiasa tekankan tentang insan, manusia dan orang, bukannya negara dan parti....
Namun seandainya anda tetap juga istiqomah dengan keyakinan bahawa pemimpin dan parti politik adalah MESSIAH atau MAHDI anda... 'untukmu agamamu, untukku agamaku' yang lebih sesuai...