
Sejarah HARTAL yang paling diingati adalah pada tahun 1947 iaitu sepuluh tahun sebelum kemerdekaan. HARTAL juga dilakukan pada tahun-tahun 1950-an dan 1960-an. Dalam bahasa yang tersusun, HARTAL bermaksud tunjuk perasaan tetapi penggunaan istilah HARTAL di Malaysia membawa maksud PEMBOIKOTAN AKTIVITI PERNIAGAAN.
Dalam tempoh beribu-ribu tahun kewujudan Melayu dan Bumiputera di negara ini, tidak pernah berlaku HARTAL. Namun HARTAL yang dilakukan pada 1947 merupakan salah satu daripada PERJUANGAN PARTI KOMUNIS MALAYA yang berselindung di sebalik nama AMCJA yang berkoloborasi dengan PUTERA, sebuah pergerakan kiri yang condong kepada revolusi yang kalau pada zaman sekarang lebih popular sebagai REFORMASI.
PUTERA merupakan himpunan beberapa pergerakan kiri Melayu yang meninggalkan UMNO setelah sama-sama menubuhkan UMNO pada 1946.
Kita singkap balik sejarah Komunis yang cuba mendabik dada bahawa mereka adalah pejuang kemerdekaan dan pembebasan negara ini. Pada tahun 1936 para pemimpin masyarakat India kelahiran Malaya telah menuntut penjajah British agar membenarkan mereka terlibat dalam pentadbiran dan politik Malaya di Pulau Pinang. Bagaimanapun, desakan mereka ditolak oleh British.
Pesuruhjaya Tinggi British, Thomas Shenton berkata, dia tidak pernah tahu ada mana-mana negara di dunia ini yang membenarkan atau melantik orang asing atau pendatang ke jawatan-jawatan pentadbir. Orang asing atau pendatang yang dimaksudkan oleh Thomas Shenton adalah kaum imigran, sama ada yang datang terus dari India dan China mahupun keturunan mereka yang dilahirkan di Tanah Melayu.
Apabila Perang Dunia Kedua tercetus dan Tanah Melayu berjaya ditawan oleh Tentera Jepun, British menggunakan komuniti Cina yang sememangnya mempunyai sentimen kebencian yang sangat mendalam terhadap Jepun sebagai alat mereka. British tidak begitu berminat dengan Melayu kerana orang Melayu telah terpesona dengan slogan tentera Jepun, 'Asia Untuk Asia', apatah lagi kebanyakan orang Melayu pada peringkat awal kedatangan tentera Jepun, langsung tidak memberikan tindak balas yang memberangsangkan.
Sebagai hukuman kepada orang Melayu, British memperlengkapkan tentera revolusi Parti Komunis Malaya dengan senjata, latihan, perubatan dan sebagainya. Janji British kepada PKM, seandainya Jepun dapat dihalau keluar dari Tanah Melayu, negara ini akan diserahkan kepada PKM. Apabila tentera Jepun menyerah kalah, PKM keluar dari hutan dan merayakan 'kemenangan' tersebut dengan menyatakan kerana merekalah, tentera Jepun berundur dari Tanah Melayu walaupun sebenarnya tentera Jepun terpaksa berundur setelah Hiroshima dan Nagasaki digugurkan bom atom.
British tidak menunaikan janji mereka kepada PKM kerana bukan PKM yang menghalau Jepun. Sebaliknya British kembali ke Tanah Melayu sebagai tuan besar dan cuba memperkukuhkan cengkaman menerusi Malayan Union. Orang Melayu mulai bersatu dan 200 wakil-wakil daripada pelbagai pertubuhan Melayu daripada semua aliran, akhirnya membentuk UMNO di Kelab Dewan Sultan Sulaiman, Kampung Bharu, Kuala Lumpur.
Penyatuan orang Melayu tidak disenangi oleh Komunis. Hasutan dibuat dan akhirnya kumpulan yang pro revolusi menyertai mereka biarpun sebagai PUTERA dan bukannya ahli PKM biasa.
Dan perlu diingat, sepanjang sejarah kehadiran imigran di negara ini, mereka tidak pernah menganggap Tanah Melayu sebagai negara mereka, sebaliknya sebagai tempat mencari rezeki dan akan pulang semula ke tanah leluhur atau ke Britain atau Kanada untuk menikmati kekayaan yang diperolehi dari negara ini. Dek kerana itulah, sebelum diberikan kerakyatan 1 juta dalam tempoh 24 jam, mereka lebih dikenali sebagai rakyat ratu berbanding rakyat raja yang dirujuk kepada orang Melayu-Bumiputera.
Setelah PKM gagal diterjemahkan sebagai penjajah baru yang dinaungi British dan Komunis China, bermulalah kempen hasutan terutama di kalangan masyarakat Cina yang menguasai jajaran ekonomi yang berteraskan perniagaan. HARTAL atau pemboikotan dilakukan secara besar-besaran dengan tujuan melumpuhkan ekonomi dan melakukan tekanan terhadap British agar menuruti kehendak mereka.
Hartal 1947 digagalkan. Orang Melayu-Bumiputera, sungguhpun berhadapan dengan kesukaran, mampu terus hidup dan tidak tersepit langsung kerana mereka adalah rakyat jati negara ini. Sumber alam yang banyak, menyebabkan Hartal yang dilancarkan oleh komunis gagal menarik orang Melayu untuk menyokong PKM dan penjajahan negara ini oleh Komunis.
Begitu juga Hartal pada 1950-an dan 1960-an, juga digagalkan kerana survival orang Melayu-Bumiputera yang tinggi. Tanpa kedai-kedai dan perniagaan Cina, orang Melayu-Bumiputera memperkembangkan ekonomi mereka biarpun sangat perlahan.
Kini, penguasaan ekonomi oleh masyarakat Cina terus berkembang tanpa dihalang atau dihadkan meskipun sejarah telah membuktikan, mereka akan sanggup melakukan Hartal berulang-ulang kali dalam cubaan untuk mendesak agar mereka diberikan kuasa politik. Orang Melayu-Bumiputera kekal sebagai mangsa yang digunakan untuk merealisasikan hasrat kelompok yang melakukan Hartal.
Maka, sudah tibalah masanya, kaum Melayu-Bumiputera pula melakukan Hartal yang lebih menyeluruh setelah sekian lama menerima imigran dan keturunan imigran itu sebagai tetamu dan tunduk serta akur dengan pelbagai tindakan mereka, termasuklah yang menekan Melayu-Bumiputera sendiri.
UMNO seharusnya sudah pun memulakan tugas untuk melengkapkan orang Melayu-Bumiputera dengan dunia perniagaan. Sebabnya UMNO adalah organisasi yang lengkap segala-galanya. UMNO memiliki banyak syarikat-syarikat besar yang mampu menjana pendapatan ratusan juta ringgit setiap tahun namun pada masa yang sama, pembabitan aktif ahli-ahli UMNO di dalam perniagaan syarikat-syarikat tersebut sangat terbatas.
Penyaluran sebahagian daripada keuntungan yang diperolehi oleh syarikat-syarikat UMNO seperti UEM, Media Prima dan sebagainya bagi membentuk jaringan perniagaan mikro seperti pembekal, peruncit dan pengedar sebenarnya boleh diwujudkan kalau benar para pemimpin UMNO benar-benar bertujuan ingin membantu Melayu-Bumiputera. Malah UMNO boleh membantu mewujudkan jaringan pemberi khidmat yang tidak hanya terhad kepada memberi khidmat nasihat atau motivasi sebaliknya perkhidmatan tayar, penyelenggaraan, perundingan dan sebagainya.
Setiap Ketua Bahagian UMNO mempunyai Ketua-Ketua Cawangan UMNO di bawahnya. Mengapa tidak diwujudkan kelompok-kelompok perniagaan yang terdiri daripada ahli-ahli UMNO sendiri di Bahagian-Bahagian UMNO dengan menggunakan dana-dana syarikat besar UMNO? Kalau semua Ketua Bahagian mengambil inisiatif menubuhkan unit perniagaan seperti yang dimiliki oleh MCA, GERAKAN dan DAP, pastinya tekanan yang sedang dihadapi oleh Melayu-Bumiputera sekarang dapat diserap dengan mudah.
Dan ia akan menjadi lebih kuat seandainya UMNO menguasai pembekalan dan pengedaran memandangkan kebanyakan daripada pekerja rencam, sama ada pemandu lori mahupun tukang angkat barang terdiri daripada orang Melayu-Bumiputera. UMNO barangkali tidak sedar, bahawa kekuatan ekonomi orang Cina sangat bergantung kepada buruh rencam ini. Tanpa buruh rencam, pastinya tidak ada satu perniagaan pun yang dapat dijalankan. Sedangkan pada masa yang sama, buruh rencam pula majoritinya adalah Melayu-Bumiputera termasuklah pembekal komoditi.
Kalau itulah yang berlaku, pastinya Melayu-Bumiputera tidak perlu risau dengan undi masyarakat bukan Melayu-Bumiputera lagi. Sebabnya Melayu-Bumiputera menguasai perniagaan mikro dan tanpa perniagaan mikro bererti taukeh-taukeh besar yang menyumbangkan dana pilihanraya kepada DAP dan rakan-rakan sekutunya akan sakit kepala.
Cuma satu sahaja yang jadi masalah... bersediakah orang UMNO untuk terjun dalam dunia perniagaan yang sebenar? Bukankah masih terlalu ramai Melayu yang beranggapan kerajaan yang baik adalah kerajaan yang menyuap mulut rakyatnya dengan rakyatnya hanya perlu menggoyangkan kaki tanpa perlu berbuat apa-apa?
Atau ianya akan berulang dengan perangai, pada peringkat pelancaran bukan main grand tetapi setakat itu sahajalah sebab lepas itu, sibuk buat proposal yang baru pula. Belum lagi yang dapat dana dan dihabiskan dana tersebut bukan untuk tujuan perniagaan sebaliknya untuk tujuan lain, dan apabila dana tersebut habis, mereka akan melalak lagi sambil menuduh UMNO tidak bantu apa-apa?