
Kalau memperkatakan tentang politik dan kalau terlibat dengan politik, sesuatu yang harus diterima hakikatnya ialah kewujudan makhluk-makhluk parasit yang sentiasa mendabik dada mereka adalah pemain sebenar, pembolehubah (pinjam kata-kata Aduka Taruna), andul momentum dan sebagainya.
Ini sebenarnya bukan masalah UMNO sahaja. Ini masalah universal. Masalah semua parti politik, malah masalah semua organisasi. Kewujudan makhluk-makhluk parasit yang sangat bersifat oportunis, sentiasa ada dalam kehidupan makhluk di dunia ini. Dan mereka ini sangat agresif untuk menunjukkan mereka relevan dalam operasi organisasi. Mereka ini tidak akan segan silu untuk mengambil kesempatan atas kerja orang lain. Malah dengan muka tebal bertampal kulit babi, mereka akan mengakui kerja orang lain sebagai kerja mereka, lebih-lebih lagi jikalau kerja tersebut dilihat berjaya.
Tak payah pergi jauh... di dalam PAS, inilah perangainya yang menyebabkan ramai ahli memilih untuk tidak bersuara apabila berhadapan dengan 'so-called' pemimpin. Perangai suka merendah-rendahkan orang lain, terutama golongan tidak berjawatan, bukan dari bidang agama, menjadi sasaran mudah untuk dikecam terutama daripada yang mempunyai ijazah Jordan, Syria, Mesir, Arab Saudi, apatah lagi dari Pakistan dan India.
Berbanding PAS, UMNO mendapat lebih banyak perhatian. Sebabnya, dari segi organisasi, UMNO jauh lebih besar. Jauh lebih kompleks, dan jauh lebih mengarut seni politiknya. Seperti juga PAS, kepimpinan UMNO bukanlah berdasarkan kepada MERIT tetapi berdasarkan faktor birokrat dan keturunan.
Bagi yang tidak faham, mungkin penjelasan ini lebih mudah...
Kebanyakan pemimpin di dalam UMNO, bukanlah berasal dari golongan marhein. Kebanyakan mereka adalah daripada spesies yang lahir-lahir sahaja sudah ada cop PEMIMPIN di dahi mereka. Walaupun sebahagian daripada mereka tidak mempunyai kredibiliti sebagai pemimpin, tetapi terlalu juak-juak yang akan YES MAN untuk membolehkan golongan ini menjadi pemimpin.
Dan kerana itulah, contoh terbesar yang menyumbang keburukan dan palitan imej negatif kepada UMNO pada 2008, dihasilkan oleh MENANTU PERDANA MENTERI. Dan MENANTU PERDANA MENTERI itu mempunyai jaringan YES MAN yang sehingga kini masih berakar umbi di dalam UMNO walaupun MENANTU BEKAS PERDANA MENTERI itu sebenarnya tidak faham langsung dengan tatacara serta corak kehidupan masyarakat Melayu, baik Melayu bandar, apatah lagi Melayu luar bandar.
Satu masalah besar kepada pemimpin UMNO ialah, mereka sentiasa perasan mereka kekal relevan untuk sepanjang masa. Dan kalaupun mereka sedar mereka tidak lagi relevan dengan perjalanan parti, mereka akan berusaha juga untuk dilihat relevan menerusi sikap memuji-muji diri, atau entiti yang mereka kuasai sekalipun semua orang hatta SEMUT YANG BERWARNA HITAM pun nampak dengan jelas kegagalan fungsi entiti yang diketuai itu gagal total. Dan antara cara yang digunakan untuk dilihat relevan adalah dengan melakukan cantasan, kerosakan imej, pemburukan peribadi, merendah-rendahkan pihak yang dilihat sebagai saingan dan cuba mengawal secara total golongan yang dilihat menjadi saingannya.
Zaman di mana pemimpin semuanya betul sudah berlalu. Zaman di mana para pemimpinnya berbuat sesuka hati, sudah kian pupus. Zaman di mana para pemimpin berasa mereka tidak diperhatikan, sudah mula dilipat dalam indeks sejarah.
Sekarang zaman semua orang boleh melihat dan bersuara. Sekarang adalah zaman di mana semua orang boleh bersuara dan menyuarakan pendapat. Sekarang adalah zaman di mana para pengundi mengetahui setiap undi mereka adalah sangat berharga dan mereka tidak akan mudah menyerahkan undi mereka untuk sebarangan pemimpin terutama sekali pemimpin yang tohor akalnya, pendek jari-jarinya dan zalim benar serakahnya.
UMNO sebenarnya tidak boleh lagi dicuci dari dalam. Pemimpin UMNO sangat sukar membersihkan UMNO. Para pemimpin UMNO sebaliknya lebih bersifat melindungi sesama pemimpin untuk menjaga kedudukan dan status mereka. Ahli-ahli UMNO tidak boleh sesuka hati menegur pemimpin kerana dianggap tidak sopan dan tidak mengikut budaya UMNO walaupun sebenarnya alasan tersebut adalah untuk melindungi diri sendiri daripada tercampak dan tidak lagi disokong.
Tari gemalai pemimpin-pemimpin UMNO itu sebenarnya sedang mendatangkan kerosakan terbesar kepada UMNO. Walaupun konon-kononnya mereka mengatakan yang mereka sedang menyelamatkan UMNO namun sebenarnya, UMNO sedang dirosakkan dengan teruk dari dalam. Para pemimpin UMNO itu menjadi parasit dan anai-anai yang bukan sahaja sedang menghancurkan UMNO, tetapi juga sedang menghancurkan umat Melayu dan Islam secara keseluruhannya.
Perhatikan perangai pemimpin UMNO tertentu yang melenting-lenting kerana LABA tidak turun ke tangan. Perhatikan kerenah pemimpin UMNO tertentu yang sudah berasa bahang dipinggirkan. Mereka ini apabila peruntukan sudah beralih kepada orang lain, akan mula memperkatakan tentang perjuangan Melayu, kesepaduan umat Islam dan kesejahteraan rakyat Malaysia.
Namun apabila tangan mereka menggenggam laba, apa yang diucapkan terutama pada Persidangan Agung UMNO dengan ucapan yang berapi-api, tidak lain dan tidak bukan hanya berstatus retorik picisan semata-mata. Dan atas motif itulah, kebanyakan daripada mereka berusaha untuk terus kekal sebagai pemimpin. Menjadi pemimpin bagi mereka adalah jauh lebih penting untuk membawa naik UMNO. Bagi mereka, pemimpin adalah segala-galanya walaupun hakikatnya, Sejarah Melayu menerusi perjanjian Demang Lebar Daun dan Sang Seperba menyatakan bahawa raja (pemimpin) hanya jadi raja kerana rakyat yang menyokongnya.
Dan lebih penting, di dalam Islam, seorang pemimpin mempunyai tanggungjawab yang jauh lebih berat berbanding orang bawahan kerana pada mereka adalah AMANAH, bukannya jalan-jalan atau lorong-lorong untuk mendapatkan projek!!!
Justeru, pembersihan UMNO perlu dibuat dari luar UMNO. Tak guna berada di dalam UMNO kerana apabila berada di dalam UMNO, tangan dan kaki akan terikat. Wala' BANGANG akan terpaksa diberikan kepada pemimpin kerana pemimpin enggan turun jawatan dan mengakui kesalahan, sebaliknya ingin menjadi SANG MAHARAJA yang boleh mengawal semua orang dalam genggamannya.
Atau barangkali UMNO perlu dibiarkan sahaja supaya menjadi bangkai dan fosil tinggalan sejarah kerana lebih sayangkan pemimpin berbanding survival parti? Atau ahli-ahli UMNO sama ada yang terlibat secara aktif atau tidak aktif MELANTAKKAN pemimpin serta kempen-kempen bangga diri mereka, sebaliknya memilih untuk tidak mendengar sebarang cerita sedap pemimpin-pemimpin UMNO tersebut?
UMNO perlu dicuci kalau mahu kekal relevan. Seperti juga ahli-ahli PAS yang perlu mencari ilmu sebanyak-banyaknya untuk keluar dari wala' dan taqlid membuta tuli yang sebenarnya dipergunakan oleh pemimpin-pemimpin tertentu untuk terus kekal sebagai pemimpin yang dilihat tsiqah.
Contohi sahaja teladan Ibn Taimiyyah dan Ibn Atta'illah yang walaupun berseteru dalam ilmu dan ijtihad tetapi kedua-duanya memberikan kesan serta impak yang besar kepada umat Islam dan memajukan ilmu pengetahuan!
Apabila seorang pemimpin mula memburukkan peribadi marhein yang bertungkus lumus untuk pihaknya tanpa lorongan laba besar atau kekayaan untuk tujuh keturunan, maka pemimpin berkenaan sebenarnya sedang menempah nisan. Bukan kerana marhein berkenaan membalas dendam, tetapi pemimpin tersebut sudah tidak layak digelar pemimpin kerana sudah terlalu jelas otaknya ciput dan bersaiz otak ayam serama!