
Dari semasa ke semasa, kerajaan Barisan Nasional atau lebih tepat lagi kerajaan UMNO-BN melakukan pelbagai kesilapan yang sebenarnya amat sukar untuk dipulihkan. Keyakinan rakyat yang amat berkurang selepas munculnya SI LEMBIK yang menjahanamkan ekonomi Malaysia dalam tempoh singkat sebagai Perdana Menteri selain perangai kronisme yang membuak-buak, masih lagi tidak mengembalikan keyakinan, ekoran kepimpinan sedia ada, tidak banyak berubah berbanding Kerajaan Abdullah Badawi.
Lambat bertindak, kurang peka, pekak badak dan membuta-tuli apabila bertindak, merupakan cerminan kepada kerajaan sedia ada. UMNO-BN yang ada sekarang, masih lagi mengulangi kesilapan-kesilapan besar dengan memilih korporat mengatasi rakyat.
Sembang bolehlah sembang kononnya korporat menyumbang perolehan negara, tetapi bagaimana pula dengan rakyat yang menyumbang kepada kuasa kerajaan? Tanpa rakyat, kerajaan sedia ada, tidak akan menjadi kerajaan sedangkan korporat pula, walau sesiapa pun menjadi Perdana Menteri dan kerajaan, mereka tetap akan memburu keuntungan. Sesiapa sahaja yang naik jadi kerajaan, korporat akan ditatang bagai menatang minyak yang penuh dan rakyat akan terus dihenyak dengan pelbagai kesulitan.
PENCAPAIAN DIDAHULUKAN, RAKYAT DIUTAMAKAN sudah menjadi SLOGAN PUAKA sepertimana puakanya slogan 1MALAYSIA. Slogan-slogan retorik seperti turun padang, bersama-sama rakyat, merasai denyut nadi akar umbi dan sebagainya, sudah layak dicampak masuk ke dalam tong taik. Ia tidak lebih daripada slogan-slogan yang langsung tidak bernilai lagi.
Sekarang, kerajaan sedia ada mengulangi kesilapan pentadbiran Abdullah Badawi yang melebihkan syarikat minyak berbanding rakyat biasa. Bayaran tambahan untuk 15 juta rakyat yang menggunakan telefon prabayar akan menyumbang kepada kemerosotan undi sebanyak lebih 60%.
Mungkin bagi sesetengah pemimpin yang tidak pernah hidup dengan RM10 sehari, jumlah 6% daripada cukai yang perlu dibayar oleh pengguna tidak akan terasa apa-apa. Bahkan bagi mereka ia tidak akan menjadi kudis dan menjejaskan. Namun tahukah TUAN-TUAN DI ATAS SANA, telefon prabayar bukan sahaja digunakan oleh remaja yang belum tahu mengundi tetapi juga digunakan secara meluas oleh golongan dewasa yang menjadi pengundi, layak mengundi dan berkira-kira untuk mengundi.
Dalam keadaan sekarang, tak perlulah bersembang tentang ekonomi. Ekonomi bagi rakyat ialah, berapa sen dalam tangan yang masih tinggal untuk dibelanjakan buat hari esok, bukannya cerita kemasukan pelaburan beratus bilion dalam negara. Ekonomi bagi rakyat ialah, beli barang dengan harga sedikit murah dan mudah dengan lebih wang di dalam dompet, bukannya lambakan barangan yang hanya boleh dipandang tetapi tidak boleh dipegang apatah lagi dibeli.
TUAN-TUAN DI ATAS SANA, FAHAM KE TIDAK?
Harga barang meningkat kerana ekonomi dunia, rakya tidak akan faham sebab mereka kebanyakannya hidup di bawah tempurung besi. Pendapatan menurun kerana inflasi di seluruh dunia, rakyat tidak mahu ambil tahu kerana kerajaan kata mereka mempunyai kuasa untuk menurunkan kadar inflasi tersebut dengan menambah subsidi atau menguatkuasakan larangan perintah tidak menaikkan harga selain hukuman yang sedia menanti.
Namun apa yang dilakukan oleh kerajaan sekarang?
Berkokok saban masa kononnya rakyat telah pulih keyakinan mereka terhadap kerajaan sedia ada. Padahal apa yang berlaku sekarang ialah, krisis ketidakpercayaan rakyat terhadap kerajaan semakin memuncak.
Sudahlah kerajaan tersangat lambat bertindak untuk menjaga keselamatan dan memastikan kesejahteraan rakyat, sekarang kerajaan membuat keputusan untuk angguk-angguk dan tunduk-tunduk kepada empat syarikat komunikasi yang tidak pernah berkurang untung mereka?
Perhatikan sahaja apa tindakan kerajaan terhadap ASTRO. Sekadar memberi amaran dan selepas itu bila ASTRO buat tidak peduli, apa yang kerajaan boleh buat? Menterinya yang bercakap dengan penuh teratur, terpaksa kembali mengatur cakap untuk tidak rasa bersalah dengan ketegaran ASTRO.
Agak-agaknya rakyat nampak ke tidak kelemahan kerajaan di situ?
UMNO-BN boleh menyalahkan PAS, PKR dan DAP secara berterusan terutama dalam isu komunis dan Mat Indera, tetapi pada masa yang sama, rakyat tidak peduli pun tentang komunis dan Mat Indera kerana itu adalah kehidupan silam, bukannya kehidupan sekarang. Kebanyakan generasi sekarang, tidak lagi mandi air telaga, atau belajar dengan pelita ayan. Kebanyakan generasi sekarang, tidak lagi berjalan kaki ke sekolah, sebaliknya dihantar atau menunggang motosikal kalau tidak pun memandu kereta ke sekolah.
Mat Indera dan komunis boleh terus digembar-gembur dan Mat Sabu boleh sahaja dijadikan peluru terbil, tetapi yang pastinya rakyat tetap akan menjengok dompet dan menekan butang ATM untuk melihat baki akaun mereka.
Antara Mat Indera dan kocek, kebanyakan rakyat akan memilih kocek!
Jangan salahkan sesiapa kalau menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri, pegawai-pegawai khas mahupun pemikir-pemikir yang duduk dalam bilik berhawa dingin dengan bermodalkan buku dan segala macam teori, dikalahkan oleh praktikal yang tidak pernah dijenguk oleh orang atasan yang bertali leher dan sentiasa hidup di dalam hawa dingin serta tilam empuk. Jangan sesekali menyalahkan salakan, tohmahan, dakyah mahupun dogma Pakatan Rakyat, kerana UMNO-BN sendiri yang menggali lubang liang untuk mereka dilahadkan pada PRU13 kelak!!!