
Kalau ikut cakap Khalid Ibrahim, semua peningkatan duit tunai agensi-agensi atau syarikat-syarikat kerajaan negeri adalah disebabkan kecekapan pentadbiran dan pengurusan kerajaan negeri yang dipimpinnya.
Peningkatan mendadak simpanan tunai tetapi pada masa yang sama, pengurangan jumlah aset terutama sekali tanah yang dimiliki oleh agensi atau syarikat-syarikat kerajaan negeri, menyebabkan para pemimpin Pakatan Rakyat, khususnya PKR bercakap besar tentang kehebatan Khalid Ibrahim mentadbir Selangor.
Bagaimanapun, Noh Omar mendedahkan bagaimana peningkatan tersebut berlaku. Kerajaan Khalid Ibrahim telah menjual aset-aset agensi atau syarikat kerajaan negeri terbabit, menyebabkan berlakunya peningkatan mendadak.
Contoh terbaik ialah bagaimana Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor yang menurut Laporan Ketua Audit Negara telah mengalami kerugian besar dalam projek jus buah-buahan tropika dan baja organik pada tahun lepas. Bukan sahaja rugi, kilang serta peralatan yang menggunakan wang rakyat pula, terbiar begitu sahaja.
Tiba-tiba sahaja Selangor Kini melaporkan tentang peningkatan simpanan PKPS meningkat dari RM8.3 juta menjadi RM114 juta.
Khalid Ibrahim tidak menceritakan bahawa peningkatan tersebut sebenarnya dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional terdahulu yang mana pembayaran akhir dibuat pada tahun 2010 kepada PKPS. Sebaliknya Khalid Ibrahim mendabik dada kononnya dialah yang merealisasikan hal berkenaan. (BACA DI SINI)
Kerana celupar mulut Noh Omar yang memecahkan tembelang Khalid Ibrahim dan Kerajaan Negeri Selangor sekarang, dia telah diancam untuk disaman. Bagaimanapun, Noh Omar menyatakan, dia tidak gentar dengan saman berkenaan, sebaliknya mencabar Kerajaan Negeri untuk menyamannya. Pada masa yang sama, Noh Omar juga berkata, pendedahan dan pembongkaran akan terus dilakukan untuk menunjukkan bagaimana Khalid Ibrahim dan Pakatan Rakyat terus menipu rakyat Selangor dari semasa ke semasa.


0 comments:
Post a Comment