
Semalam kecoh tentang video lucah melibatkan Anwar Ibrahim dalam dunia Internet. Maka berkokoklah sebilangan penganut atau pembebal Anwar Ibrahim yang cuba memperkatakan tentang nilai-nilai moral, etika, murni, ikhlas dan sebagainya, yang bagi mereka perlu ada pada setiap orang politik atau yang terlibat dengan politik.
Anehnya, ia sekadar untuk mereka yang menyerang Anwar Ibrahim. Untuk Anwar Ibrahim, dibolehkan sahaja, bahkan golongan ini turut sama menyerang senada dengan Anwar Ibrahim, walaupun pada masa yang sama, golongan yang berlagak seperti pak lebai masjid, sekalipun perangai tidak bertanggungjawab mereka diketahui oleh semua orang.
Sekali imbas, perjuangan untuk mewujudkan suasana harmoni dan tulus di dalam perjalanan politik di negara ini, sedang diperjuangkan walaupun ianya hanya membabitkan serangan terhadap Anwar Ibrahim dan sekalipun apabila pihak Anwar Ibrahim pula yang melakukannya, maka ia dibolehkan. Atau sekiranya mereka sendiri yang membuat aib sama ada yang berbentuk porno atau sebagainya, ia dibolehkan!
Pembalikan keaiban tersebut dibimbangi berlaku. Benarkah?
Dalam politik yang diamalkan di Malaysia, nilai-nilai aib dan porno tidak boleh dipisahkan sama sekali. Matlamat menghalalkan cara telah lama menjadi darah daging, bahkan semenjak Pilihanraya Pertama lagi iaitu pada tahun 1955, kempen memburukkan calon telah dilakukan oleh semua pihak, termasuklah tuduhan tidak setia kepada bangsa, agama, dan tanahair, memakmurkan judi dan membudayakan arak dalam kehidupan rakyat Tanah Melayu, perampasan tanah-tanah adat untuk kepentingan pemimpin tertentu, leluhur pemimpin seperti Fuad Stephen, Tun Datu Mustapha, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan sebagainya.
Pilihanraya pada pertengahan 1960-an semakin menyerlahkan keaiban dan kepornoan itu. Cerita-cerita aib tentang calon yang dikatakan merampas isteri orang, gemar berbini banyak, tidak bertanggungjawab terhadap anak, isteri dan ibu bapa, mewarnai pilihanraya yang turut disertai oleh PAP, selain isu-isu sensitif lain, termasuklah tuduhan Lee Kuan Yew bahawa Melayu adalah pendatang dari Indonesia, sekalipun Indonesia dan negeri-negeri di Malaysia hanya menjadi dua buah negara asing bermula pada tahun 1947 sahaja.
Apa yang berlaku kepada Anwar Ibrahim sekadar satu pusingan dan cerminan perbuatannya sendiri sebelum ini. Apa yang Anwar Ibrahim tidak lakukan, sehinggakan dia sanggup melakukan fitnah besar, kononnya Tun Mahathir berkahwin dengan anak Sammy Vellu, malah berkahwin juga dengan seorang wanita Yahudi, berkahwin juga dengan anak buah Lee Kuan Yew dan sebagainya... cerita-cerita sebegini cukup masyhur pada tahun 1998 terutama dalam kem Barisan Alternatif pada waktu itu.
Terbaru dan terkini adalah serangan terhadap Shahrizat Jalil yang tidak lain hanyalah ingin memastikan dia melepaskan jawatan selaku Ketua Wanita UMNO dan tidak terlibat langsung dalam politik UMNO. Semuanya semata-mata kerana syarikat NFCorp Sdn. Bhd. dimiliki oleh suami dan anak-anak Shahrizat... dan bagi puak-puak ini, ia merupakan satu kesalahan yang sangat besar, apatah lagi syarikat tersebut yang diwujudkan oleh kerajaan sendiri, mendapat pembiayaan pinjaman bagi memajukan industri daging halal dalam negara bagi menggantikan penguasaan kartel-kartel daging yang kebanyakannya dimiliki oleh bukan Islam.
Dan untuk mewajarkannya, maka terciptalah perkataan ETIKA!
Golongan yang beria-ia memperjuangkan nilai-nilai murni dalam perang politik sekarang ini, merupakan sebahagian daripada golongan yang turut menyertai serangan terhadap Shahrizat Jalil.
Persoalan sama ada Anwar Ibrahim gagal ditumbangkan atau sebaliknya dengan isu moral, merupakan persoalan subjektif. Keputusannya boleh dilihat pada keputusan PRU13 nanti, sama ada ianya memberi kesan atau tidak. Namun yang pastinya, banyak temberang Anwar Ibrahim sudah dapat dipatahkan dan dijangkakan.
Bayangkanlah kalau apa yang dilakukan oleh Anwar Ibrahim, tidak ditangani, apakah sambutan dingin terhadap ceramah Anwar Ibrahim di serata tempat, akan berlaku sebagaimana sekarang?
Dan yang menariknya, golongan yang beria-ia tidak mahu menyerang Anwar Ibrahim pula, bertindak memancing di dalam timba dan kolam yang memang ada ikan, berbanding mencuba mata kailnya di dalam sungai, parit, mahupun paya!!!
Ia samalah sepertimana yang dilakukan oleh PAS. PAS menakluki masjid, surau dan pengajian agama selama lebih 50 tahun sebelum akhirnya mereka boleh 'diterima' di beberapa negeri seperti Selangor, Pahang, mahupun Johor. Biarpun PAS tidak mengajar selain daripada dogma dan doktrin politik mengejar kuasa, kebanyakan orang terutama sekali ahli-ahlinya beranggapan PAS memperjuangkan agama Islam. Lebih malang, ada yang melihat, menganggap bahkan melabelkan PAS sebagai JUNDULLAH walaupun hakikatnya, kemewahan dan kuasa yang mereka tumpukan, sebagaimana yang berlaku di Kelantan dan Kedah.
Kejayaan memacakkan bendera parti dan menarik sebilangan orang daripada keseluruhan orang yang diketahui menyokong parti atau individu tertentu jauh lebih besar makna dan nilainya, berbanding terlalu sibuk berangan-angan hendak jadi PLAYMAKER.
Pokok yang ditebang, tidak ditakik sekali sahaja untuk tumbang, melainkan perlu ditakik berkali-kali sehinggalah batangnya menjadi genting!