
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional atau lebih mudah disebut PTPTN telah ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) berkuatkuasa pada 1 Julai 1997 dan mula beroperasi pada 1 November tahun yang sama. Ia berfungsi sebagai sebuah badan yang menguruskan pembiayaan kewangan dan pinjaman pelajaran pengajian tinggi kepada mahasiswa yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan juga swasta.
PTPTN juga menyediakan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), di mana ia membolehkan pendeposit menyimpan wang bagi tujuan pendidikan anak-anak pada masa hadapan. Selain daripada itu, PTPTN juga turut melaksanakan apa-apa fungsi lain yang diberikan kepadanya oleh mana-mana undang-undang bertulis di Malaysia.
Adat pemberi pinjaman, PTPTN juga bertanggungjawab mengutip semula bayaran balik daripada peminjam yang telah menamatkan pengajian dengan mengenakan kadar 3% sebagai caj perkhidmatan. Namun begitu, bermula tahun 2010, PTPTN telah mengambil inisiatif bagi mengurangkan beban peminjam dengan menawarkan penukaran pinjaman kepada pembiayaan pendidikan ujrah dengan caj perkhidmatan sebanyak 1%.
Sejarah penubuhan PTPTN jika diperhalusi sebenarnya mendapat kelulusan daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anuar Ibrahim yang pada ketika itu menjawat jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.
























