Kegagalan PAS mentadbir dan menguruskan negeri Kelantan walaupun telah diberi peluang lebih dari 20 tahun, sememangnya amat memalukan. Bagaimanapun, berbanding mengakui kelemahan diri, sebaliknya PAS mencari-cari kes-kes terpencil di Sabah. Asal ada gambar-gambar yang menunjukkan Sabah ketinggalan lebih dari Kelantan, maka ia dibesar-besarkan.
Benarkah Sabah lebih mundur dari Kelantan dan negeri-negeri lain sepanjang Sabah merdeka di dalam Malaysia?
Sudah tentulah, hanya golongan yang benak otak, tidak pernah keluar dari kepompong dan cekupan tempurung dan hanya mendengar cerita serta sembang daripada pemimpin-pemimpin mereka yang berotak kuno, akan percaya bahawa Sabah lebih mundur dari Kelantan atau negeri-negeri lain di Semenanjung.
Hakikatnya, bagi sesiapa yang pernah berkunjung ke Sabah, walau di ceruk mana sekalipun, termasuklah di Kundasang yang hanya berpekan koboi, kemajuan dan pembangunannya jauh lebih baik berbanding Kelantan.
Dek kerana kemajuan dan pembangunan itulah, Sabah menjadi tempat lambakan pekerja-pekerja dan pendatang-pendatang asing, sama ada yang masuk secara halal mahupun secara haram.
Di Kundasang sendiri, kebun-kebun sayurnya yang saujana mata memandang, terpaksa menggunakan tenaga kerja import dari Indonesia memandangkan permintaan terhadap tenaga kerja amat tinggi. Bahkan di Ranau juga, tenaga kerja import amat diperlukan kerana kekurangan tenaga kerja dari kalangan penduduk tempatan.
Bagi sesiapa yang pernah ke Sabah, perjalanan dari Kota Kinabalu ke merata-rata bandar dan pekan kecil akan membuatkan kita berpuas hati dengan tahap serta mutu jalanrayanya. Meskipun tidak mempunyai lebuhraya seperti di Kuala Lumpur, hakikatnya keadaan jalan raya di Sabah jauh lebih baik berbanding jalan raya di Selangor sendiri!
Biarpun suatu ketika dahulu, politik di Sabah sering bergolak kerana perangai pemimpin-pemimpin politiknya, namun selepas Musa Aman menjadi Ketua Menteri, gandingannya dengan Salleh Said Keruak ternyata begitu menjadi.
Kota Kinabalu sendiri, meskipun wakil rakyatnya adalah dari DAP, menjadi produk pelancongan yang jauh lebih hebat, malah berkali-kali ganda lebih hebat daripada Kota Bharu mahupun Alor Star. Dengan gabungan pantai, laut, sungai, gunung dan hutan, Sabah ternyata sedang mengoptimumkan persaingan produk pelancongannya dengan lancar.
Para pemimpin PAS yang sibuk menyatakan bahawa Sabah mundur dan menghasut para penyokong mereka agar percaya dengan momokan dan angan-angan mereka itu, seharusnya malu apabila menyatakan Sabah lebih miskin dari Kelantan dan prasarananya lebih teruk.
Perlu diingat, keluasan Sabah jauh lebih besar berbanding mana-mana negeri di Semenanjung. Dengan keadaan geografi serta masih wujud perkampungan-perkampungan terpencil, pastinya akan ada keciciran pembangunan seperti gambar yang digunakan oleh jentera propaganda Pakatan Rakyat.
Apa sebenarnya yang diinginkan oleh Pakatan Rakyat selain undi daripada rakyat Sabah?
Sudah tentulah hasil mahsul negeri tersebut serta simpanan tunai tertinggi berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.
Pakatan Rakyat mahu membawa kemajuan kepada Sabah?
Rentikanlah pembohongan itu? Kalau Kelantan yang lebih 20 tahun pun, masih lagi mengharapkan geran dan dana Kerajaan Pusat sepenuhnya untuk kos pentadbiran dan pengurusan negeri, nak sembang apa kononnya mahu memajukan Sabah.
Kalau dah hebat sangat pentadbiran Pakatan Rakyat, terutama apabila mereka menguasai Selangor dan Pulau Pinang yang disifatkan sebagai Mangkuk Emas Malaysia, mengapa mereka tidak mampu menyaingi simpanan tunai Sabah sebanyak RM3 bilion pada tahun lepas? Kalau dah hebat sangat, mengapa bajet mereka tidak pernah berjaya mengatasi Sabah yang melebihi RM4 bilion pada tahun ini?
Dan yang paling penting kepada para penyokong Pakatan Rakyat yang mengatakan Sabah negeri termiskin berbanding Kelantan, mengapa pula agaknya Kelantan dan Kedah tidak mampu menarik pelaburan swasta sebanyak RM10 bilion untuk suku pertama 2012 seperti Sabah?
Berbanding Sabah, Kelantan yang cenoit itu pun, terlalu ramai rakyatnya yang jauh lebih miskin meskipun jalan perhubungannya lebih banyak berbanding Sabah yang bentuk muka buminya menjadi halangan utama pembinaan jalan raya mahupun lebuh raya.
Mengapa itu tidak dititik beratkan?
Sebelum mengata Sabah, lebih baik cermin muka sendiri!!!