Social Icons

Pages

BULETIN 247

Sunday, December 7, 2014

CAMERON HIGHLAND DIBERSIHKAN, BAGAIMANA PULA DENGAN PENEROKAAN HARAM DI BUKIT TINGGI DAN GENTING SEMPAH?


Selepas pendedahan demi pendedahan, termasuklah dua kejadian banjir kilat yang memusnahkan harta benda dan meragut nyawa, akhirnya pihak berkuasa mula bertindak dengan bertemankan sekumpulan wartawan dan kamera-kamera televisyen merobohkan kebun-kebun sayur yang diusahakan di atas tanah-tanah yang diteroka secara haram.

Ada banyak cerita yang boleh didengar termasuklah cerita yang membabitkan Ahli Parlimen Cameron Highland yang juga merupakan Presiden MIC sendiri. Namun cerita sekadar cerita dan ianya bertambah menarik apabila Menteri Besar Pahang turut mengambil tindakan undang-undang ke atas akhbar milik UMNO, Utusan Malaysia.

Penerokaan haram bukan sahaja melibatkan Cameron Highland tetapi turut berlaku di beberapa kawasan lain, termasuklah di Maran, Mentakab dan di seluruh Pahang. Lebih ketara di Bukit Tinggi dengan penerokaan dapat dilihat dengan jelas jikalau kita menggunakan Lebuhraya KL-Karak.

Ada penerokaan haram hanya melibatkan pengeluaran kayu-kayu balak. Tetapi lebih banyak penerokaan haram dibuat untuk pertanian, bahkan untuk perlombongan besi dan emas seperti yang berlaku di Maran.


Setakat ini, tindakan daripada pihak berkuasa, amat perlahan, malah PBT dan Pejabat Tanah dan Galian serta Pejabat Daerah seperti langsung tidak tahu apa-apa tentang penerokaan-penerokaan berkenaan.

Di Maran, atau lebih tepat lagi di Sri Jaya, kolam lombong besi yang terletak di atas bukit telah pecah dan kemudian membanjirkan lumpur di perkampungan di bawahnya tiga tahun lalu. Menteri Besar turut melawat kawasan berkenaan dan akhirnya diketahui bahawa perkampungan tersebut adalah perkampungan haram dengan hampir 99.9% daripada penduduknya adalah warga asing yang membuka tanah secara haram.

Tiada sebarang tindakan walaupun pendedahan dan laporan telah dibuat berkali-kali. Kadang-kadang tertanya-tanya juga, apakah pasukan keselamatan negara ini terlalu lemah sehinggakan untuk menangkap warga asing dan menguatkuasakan undang-undang pun, mereka tidak mampu melakukannya. Kadang-kadang tertanya-tanya juga, apakah Pejabat Daerah, Pejabat Tanah dan Galian, Pejabat Perhutanan langsung tidak tahu apa yang hendak dilakukan bagi kerja-kerja yang diamanahkan kepada mereka.

Harap-harap kerja pemusnahan dan pembanterasan yang sedang giat ditayangkan dan dipublistikan menerusi media massa di Cameron Highland, tidaklah bersifat bermusim dan hanya dilaksanakan di hadapan kamera televisyen semata-mata. Harap-harap jugalah, ia tidaklah sekadar di Cameron Highland sebaliknya turut dibuat di seluruh Pahang termasuklah lombong-lombong emas haram yang cukup banyak, terbuka dan terdedah di sekitar Maran.



No comments:

 
Blogger Templates