Social Icons

Pages

BULETIN 247

Monday, August 31, 2015

DARI JADI PARTI ISLAM ALTERNATIF, GHB TUKAR JADI PARTI PELBAGAI KAUM UNTUK TUTUP KEGAGALAN TARIK MELAYU KE BERSIH 4.0!!!



Gerakan Harapan Baru (GHB) tidak boleh dipersalahkan kerana gagal membawa orang Melayu ke perhimpunan Bersih 4 kerana mereka kini bukan hanya berjuang untuk satu kaum itu sahaja tetapi semua kaum, kata Salahudin Ayub.

Timbalan pengerusi GHB itu mengakui, memang kerana Umno dan PAS, yang mewakili orang Melayu dan Islam, tidak mengerahkan ahli mereka menyertai himpunan itu maka majoriti peserta perhimpunan adalah daripada kaum Cina.

"Memang benar pada hari pertama peserta himpunan boleh dikatakan 80-90% Cina. Namun pada hari ke-2 semalam, kehadiran orang Melayu sangat jelas, di mana 40% peserta merupakan orang Melayu," kata Salahudin.

GHB didakwa gagal membawa peserta Melayu dan Islam ke perhimpunan Bersih 4 hujung minggu lalu dan ekoran itu, kumpulan pecahan daripada PAS itu juga dibimbangi akan gagal membawa pengundi Melayu kepada Pakatan Rakyat 2.0 dalam pilihan raya umum nanti setelah ketiadaan PAS dalam gabungan itu.

Namun, Setiausaha GHB Dr Dzulkefly Ahmad menolak dakwaan itu kerana katanya kedatangan orang Melayu sangat ketara pada hari ke-2 perhimpunan 34 jam itu terutamanya malam tadi.

"Orang Melayu ini takut dengan pelbagai propaganda untuk datang pada hari pertama selepas ugutan daripada pelbagai pihak.

"Namun selepas suasana berjalan dengan baik pada hari pertama, pada hari ke-2 mereka mula turun dalam jumlah yang sangat signifikan," katanya kepada The Malaysian Insider.

Kejayaan besar GHB dalam himpunan ini kata Dzulkefly, adalah mereka berjaya mengambil alih tempat PAS di pentas utama politik negara selepas parti Islam itu tidak menyertainya.

"Kejayaan besar kita adalah berada di pentas utama politik negara dalam memperjuangkan isu nasional," katanya.

Berbanding hari pertama perhimpunan iaitu pada Sabtu, orang Melayu mula memenuhi Dataran Merdeka dan Jalan Tuanku Abdul Rahman pada petang Ahad sehinggalah perhimpunan berakhir pada tengah malamnya.

Salahudin mengakui, ketika berada dalam PAS, merekalah yang mengerahkan ahli dan penyokong parti menyertai perhimpunan seperti itu, namun kali ini parti Islam itu tidak mengerahkan ahlinya menyatakan sokongan mereka.

"Semasa kami bersama PAS dahulu, kamilah yang membawa mereka ke himpunan Bersih. Sekarang kami berjuang untuk semua kaum, bukan untuk Melayu sahaja," katanya kepada The Malaysian Insider.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua pula mengakui kekurangan peserta Melayu dalam perhimpunan kali ini adalah kerana PAS tidak menggerakkan ahlinya menyertainya.

"Berilah masa kepada GHB ditubuhkan secara rasmi," katanya ketika berucap berhampiran Menara Maybank di Kuala Lumpur.

GHB dijadualkan mengumumkan penubuhan sebuah parti baharu berasaskan Islam yang terbuka untuk semua pada satu sidang media petang ini. Manakala pada 16 September ini, ia akan dilancarkan secara rasmi. – 31 Ogos, 2015. (TMI)

NOTA:

Alasan terpaksa dicipta... daripada memperjuangkan Islam Progresif yang pendaftarannya tidak diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan kerana kekangan kepada perkataan 'Islam' yang gagal ditelek oleh GHB, sekarang puak-puak ini terpaksa menyalahkan PAS bagi menutup kegagalan temberang mereka kononnya, GHB akan mengumpulkan lebih ramai penyokong untuk BERSIH 4.0 berbanding PAS.

Kesian....


No comments:

 
Blogger Templates