Tuesday, November 17, 2015

SIMPOSIUM PERDANA PARIS, YAPEIM SALAH TANG MANA? HABAQ MAI SAT!!!



[SIMPOSIUM PERDANA PARIS 2014 : Dari kacamata Penganjur/Urusetia (Pihak Pelajar)]

1) Tujuan post ini, bukan untuk menyokong atau membantah pendedahan yang dibuat oleh National Oversight & Whistleblowers (NOW). Sebaliknya ia merupakan perspektif peribadi saya sebagai penganjur/urusetia dari pihak pelajar.

2) Sebagai makluman, program 'Simposium Perdana Paris : Isu Perkahwinan, Kekeluargaan , Keusahawanan & Pengurusan' yang akan diulas ini langsung tiada kaitan dengan program ‘Kursus dan Kembara Santun 2014 Kelab Santun Eropah' dan ‘Program Transformasi Warga Santun (TAMRIN) Kelab Santun Eropah’. Simposium Perdana Paris yang telah dilaksanakan merangkumi dua aspek utama ; 'Kursus PraPerkahwinan' dan 'Kursus Keusahawanan dan Pengurusan' yang telah berlangsung pada 26-28 Disember 2014 di Paris.

3) Dalam usaha untuk memperkukuhkan asas-asas keagamaan di kalangan masyarakat Islam dan memberi ruang mendalami cabang ilmu pengetahuan agama, JAKIM mengambil inisiatif untuk menganjurkan satu program khas di Paris.


4) Menyedari keperluan semasa dan permintaan yang tinggi daripada pelajar Malaysia di luar negara, program ini dirangka bagi membantu memberi kemudahan kepada pelajar menghadiri Kursus PraPerkahwinan sebagai persediaan melangkah ke fasa seterusnya dalam kehidupan, membincangkan isu-isu semasa, memperkasakan diri menghadapi cabaran akidah, syariah dan akhlak serta memupuk silaturahim sesama insan. Dan sijil yang dikeluarkan adalah sah laku seumur hidup.

5) Program kali ini juga menawarkan kursus keusahawanan dan pengurusan yang bertujuan meningkatkan potensi diri dan mengenalpasti bakat untuk menjadi usahawan yang berjaya. Secara tidak langsung, ia dapat membangkitkan dan menanam semangat berdikari serta menyedarkan peserta kepada peluang perniagaan dan memberi pengetahuan asas pengurusan.

6) Program ini dikendalikan oleh Kelab SANTUN-YaPEIM Eropah dengan kerjasama Malaysian Students’ Association in France (MASAF) dan dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di Perancis, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), dan Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU).


7) Bagi melicinkan perjalanan program, pelbagai kemudahan (pengangkutan, penginapan dan makan minum) telah diberikan kepada para peserta (pelajar Malaysia) yang hadir dari negara-negara berdekatan seperti United Kingdom, Poland, Russia, Ireland dan tidak lupa juga pelajar dari Perancis.

8) Menurut JAKIM, YaPEIM tidak menyalahgunakan wang kerana segala pengeluaran perbelanjaan yang digunakan untuk penganjuran program adalah mengikut tatacara dan peraturan yang telah ditetapkan.

9) Alhamdulillah hampir seramai 10 orang peserta yang hadir telah mendirikan rumahtangga mereka beberapa bulan selepas program ini tamat. Mabruk serta selamat pengantin baru kepada kalian.

10) Selaku penganjur/urusetia program (Pihak Pelajar), saya merasakan program ini merupakan suatu program yang bermanfaat kepada semua pelajar dan berjaya memenuhi objektif yang telah ditetapkan. Dan mungkin dari sudut perbelanjaan, ianya perlu diteliti kembali walaupun tatacara pengeluaran perbelanjaan adalah mengikut peraturan.

11) Akhir kata, biarlah pihak berkuasa (yang bertanggung jawab) menyiasat dan menentukannya. Dan marilah sama-sama kita mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku dan berdoa yang terbaik untuk Malaysia.

16 November 2015

Nik Mohammad Izzul Azfar NIK RAZALI
Timbalan Pengarah Program
SIMPOSIUM PERDANA PARIS 2014

*Rujuk laporan SIMPOSIUM PERDANA PARIS oleh KLN :http://goo.gl/pbRR8Y


No comments:

top