Wednesday, January 6, 2016

SURAT TERBUKA KETUA LUJNAH DAKWAH PEMUDA PAS KEPADA TUN MAHATHIR BERHUBUNG ISU PATUH SYARIAH RAYANI AIR!!!



Kewujudan syarikat penerbangan dalam sistem pengangkutan menjadi satu perkara yang penting dalam kehidupan terutamanya dalam mendepani dunia tanpa sempadan dengan tuntutan masa yang semakin padat. Kehadiran syarikat penerbangan Rayani Air dengan pakej penerbangan patuh syariah pertama dalam pentas penerbangan di Malaysia telah menarik minat pelanggan muslim dan bukan muslim yang ingin turut mencuba.

Saya menilai kenyataan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed dengan beberapa pandang sudut. Mungkin ada kebenarannya terdapat individu yang menggunakan nama Islam bagi mempromosikan barangan dan jualan mereka. Namun begitu, bukan bermakna semua yang berorentasikan Islam atau patuh syariah boleh dituduh sebagai mempergunakan agama.

Tun Dr. Mahathir menyatakan pemilik Rayani Air cuba menggunakan nama Islam bagi mengaut keuntungan. Persoalannya apakah ada syarikat penerbangan di Malaysia yang mematuhi panduan syariah sebelum ini? Walaupun pemilik Rayani Air bukan beragama Islam, namun kecenderungan pada pengamalan Islam itu harus dipuji.

Dalam kenyataan tersebut juga, beliau menyatakan mengapa kita hendak tunjuk kita ini lebih Islam dari orang lain. Isunya bukan menunjukkan siapa lebih Islam tetapi bagaimana kita menjadikan sistem Islam sebagai cara hidup dan membuktikan bahawa Islam adalah penyelesai terhadap segala permasalahan yang berlaku di dunia ini.

Pengarah Urusan Rayani Air, Jaafar Zamhari menyatakan Rayani Air mewajibkan anak kapal yang beragama Islam untuk berpakaian menutup aurat malahan polisi ‘tiada alkohol’ dan menyediakan makanan yang halal serta pengamalan membaca doa naik pesawat pastinya akan menghadirkan keberkatan dalam penerbangan tersebut.

Tun Mahathir seharusnya melihat sudut pandang yang positif tentang penerbangan patuh syariah yang dibawa oleh Rayani Air. Keindahan Islam dapat dilihat apabila segalanya berpandukan syariah Islam. Arak merupakan ibu kepada maksiat, aurat pula merupakan maruah bagi seorang muslimah manakala doa pula merupakan ikatan kehambaan dengan Tuhan yang maha mencipta. Perkembangan teknologi dan pembangunan tidak cukup dengan material, ianya harus seiring dengan pembangunan rohani dan emosi.

Isu pramugari Islam tidak dibenarkan menutup aurat dan terpaksa menghidangkan arak bukanlah isu yang baru dan ia juga bukan isu yang remeh, namun begitu isu ini masih tidak diselesaikan dengan baik.

Usaha Kerajaan memperkenalkan Model Indeks Syariah Malaysia yang dilancarkan tahun lalu seharusnya dilaksanakan secara menyeluruh di setiap sektor perindustrian terutamanya dalam perkhidmatan penerbangan ini.

Seandainya dilaksanakan dengan baik, tidak timbul isu siapa lebih Islam dan menjual agama demi kepentingan peribadi malahan dengan perlaksanaan berpandukan syariah ia dapat membentuk negara yang berintegriti dan dirahmati.

Hafeez Sabri

Hafeez Sabri adalah Ketua Lujnah Dakwah Dewan Pemuda PAS Malaysia dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Perak

4 comments:

Anonymous said...

Ko nak lobikan haron din jadi penasihat

gabenor johor said...

Sbb tu bini dan ank beranak dia x patuh syariah

Anonymous said...

kita x tahu mungkin dengan cara ini Allah nak beri hidayah kpd tuanpunya Rayani Air ini.sama samalah kita berdoa semoga Allah berikan taufiq dan hidayah NYA kpd tuanpunya Rayani Air

Anonymous said...

Konsep sebegini bukanlah pertama tetapi telah lama digunapakai oleh beberapa syarikat penerbangan di ME. Kenapa sekarang dipandang negatif, hanya empunya diri yang tahu.

top