Wednesday, March 23, 2016

DI PULAU PINANG, LIM GUAN ENG DAN PHANG LI KOON 'MENGGANAS'... DI SABAH, PENGGANAS SULU LANTIK PANGLIMA DI SETIAP DUN UNTUK MUSNAHKAN SABAH!!!



Majlis Permuafakatan Suluk Sabah (MPSS) menyifatkan tindakan pengganas Sulu melantik “panglima” di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah dalam usaha membentuk semula Kesultanan Sulu di negeri ini hanya sia-sia dan mencabar kedaulatan negara.

Setiausaha MPSS Mohd Zaki Harry Susanto berkata tindakan tersebut menggambarkan keadaan terdesak kumpulan pengganas berkenaan yang mencari sokongan untuk merealisasikan agenda songsang, memandangkan kewujudan Kesultanan Sulu tidak diiktiraf di Filipina.

“Kumpulan tersebut juga dilihat cuba memanipulasikan pemikiran masyarakat terutamanya masyarakat Suluk tempatan Sabah dengan menjaja kisah kegemilangan lampau Kesultanan Sulu.

“Mereka cuba mengaitkan 'nikmat' yang boleh dikecapi jika Kesultanan Sulu kembali terbentuk di Sabah. Mereka juga menjanjikan sebuah pemerintahan kesultanan yang berkonsepkan Islam sekaligus kononnya akan mengembalikan kewibawaan Kesultanan Sulu di peringkat nusantara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri mengenai perkara tersebut baru-baru ini.

Sehubungan itu, Mohd Zaki berkata pihaknya berharap tindakan tegas dikenakan terhadap individu yang secara terang-terangan serta berani mengaku terlibat dengan kerajaan Kesultanan Sulu.

Sementara itu, Mohd Zaki berkata pihaknya berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera dan tegas terhadap individu yang memegang dua kerakyatan kerana dikhuatiri terlibat dengan aktiviti yang boleh menggugat kedaulatan di negara ini khususnya di Sabah.

“Mereka bebas berulang-alik dari negara kita ke negara jiran dan sebahagian besar daripada mereka masih menganggap Selatan Filipina sebagai kampung halaman dan ia dikhuatiri terlibat dalam pelbagai aktiviti termasuk penyeludupan,” katanya. ― Bernama

No comments:

top