Sunday, March 6, 2016

NAK JATUHKAN NAJIB? MEREKA INI SEMUA PERLU DIBAWA SEKALI DALAM DEKLARASI ANTI-NAJIB YANG DIKETUAI MAHATHIR!!!



KENYATAAN MEDIA
YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Timbalan Perdana Menteri/Naib Presiden UMNO Malaysia

Apa yang berlaku petang kelmarin antara tokoh-tokoh politik utama negara seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Azmin Ali, Lim Kit Siang ,Ambiga dan ramai lagi ternyata memeranjatkan banyak pihak terutamanya rakyat kebanyakkan.

Sememangnya tidak terjangkau dibenak fikiran rakyat kebanyakkan akan tindakan yang sebegitu dalam dan keras yang diambil oleh tokoh-tokoh berkenaan terutamanya yang berstatus negarawan yang hanya semata-mata cuba untuk mempengaruhi rakyat bagi menukar barisan kepimpinan negara sedia ada yang dipilih secara sah melalui pilihanraya melalui “jalan belakang” yang ternyata bertentangan dengan amalan demokrasi berperlembagaan. Ia adalah satu tindakan yang tidak masuk akal dan tidak berpaksikan kepada kebenaran.

Sebagai rakyat Malaysia yang percaya kepada sistem demokrasi berparlimen yang telah diamalkan sejak negara ini mencapai kemerdekaan pada 1957, perlu akur bahawa sistem berkenaan mengizinkan rakyat memilih kerajaan menerusi proses pilihan raya.

Justeru, tindakan mahu menggulingkan kerajaan menerusi sistem di luar perundangan seperti yang berlaku pada 'Deklarasi Rakyat' adalah lebih kepada kehendak sekumpulan orang tertentu yang pernah memegang jawatan tinggi dalam parti dan pernah mengetuai parti kompenan BN sendiri, yang secara jelas mempunyai agenda tersendiri yang tidak sulit untuk rakyat tafsirkannya.

Perseikatan politik dengan mereka yang pernah berdemonstrasi di jalanan, menyokong pencerobohan dalam negara ini termasuk bersekongkol dengan kumpulan pengganas yang menceroboh di Lahad Datu, Sabah adalah suatu yang tidak boleh diterima sama sekali oleh rakyat.

Justeru, saya menyeru kepada semua ahli parti tidak kira dalam UMNO mahupun dalam Barisan Nasional (BN) agar tetap bersatu dalam memperkukuhkan ikatan.

Kepada rakyat keseluruhannya, yakinlah bahawa kerajaan sentiasa komited dan fokus kepada usaha memastikan agenda pembangunan negara yang telah dirancang dapat dilaksanakan sebaiknya walaupun dilanda sedikit badai politik.

Sesungguhnya, kebajikan rakyat akan tetap menjadi keutamaan pimpinan negara dalam mendepani polemik politik kebencian melampau yang sengaja diwujudkan seperti ini yang boleh disifatkan sebagai satu keganasan persepsi yang dirancang secara tersusun oleh pihak-pihak terbabit.


Kenyataan Media
YB. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein
Naib Presiden UMNO Malaysia

Sidang Media Tun Dr Mahathir Mohamad Bersama Pembangkang

Kuala Lumpur, 04 Mac 2016

1. Ramai yang terkejut dengan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad serta beberapa pemimpin UMNO yang sanggup bekerjasama dengan pihak pembangkang hari ini semata-mata untuk menumbangkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak.

2. Tun Mahathir serta beberapa pemimpin UMNO ini seharusnya sedar bahawa tindakan sebegini bukan sahaja memberi kesan kepada Perdana Menteri, tetapi juga kepada parti, kerajaan dan negara.

3. Di saat kita di saf kepimpinan sedang bertungkus-lumus memastikan ekonomi dan keselamatan awam dijamin demi kesejahteraan rakyat, Tun Mahathir, beberapa pemimpin UMNO dan pihak pembangkang terlalu rakus dengan agenda menjatuhkan Perdana Menteri.

4. Kestabilan yang selama ini menjadi tonggak kekuatan kita cuba dihakis semata-mata untuk menjayakan agenda politik penuh kebencian.

5. Saya tidak faham bagaimana Tun Mahathir serta beberapa pemimpin UMNO ini boleh duduk semeja dengan pemimpin PKR, PAS, DAP, AMANAH serta NGO-NGO lain semata-mata untuk menumbangkan Perdana Menteri.

6. Lupakah mereka bahawa NGO-NGO inilah yang bermati-matian mahu menjatuhkan kerajaan sebelum ini melalui beberapa siri demonstrasi jalanan.

7. Lupakah mereka bahawa pemimpin-pemimpin pembangkang inilah suatu ketika dahulu yang menggelarkan Tun Mahathir sebagai ‘Firaun’.

8. Sebilangan pemimpin-pemimpin UMNO ini seolah-olah cuba mengambil alih peranan pembangkang untuk menumbangkan kerajaan yang sah ketika ini. Mereka harus menghormati sistem demokrasi yang kita junjung. Tindakan mereka hari ini jelas bertentangan dengan nilai dan prinsip perjuangan yang mereka pegang selama ini.

9. Saya harap ahli-ahli UMNO faham bahawa Tun Mahathir sudah keluar dari UMNO dan kini mula bergabung dengan pembangkang, justeru tindak-tanduknya sudah pasti tidak lagi mengambil kira kepentingan UMNO.

10. Malah, tindakan Tun Mahathir hari ini, tidak langsung mencerminkan sifat-sifat seorang negarawan yang menghormati sistem demokrasi, cintakan perpaduan dan mementingkan kesejahteraan rakyat.

=tamat=


KENYATAAN MEDIA

YBHG DATUK SERI PANGLIMA SHAHRIZAT ABDUL JALIL,
KETUA PERGERAKAN WANITA UMNO MALAYSIA

WANITA UMNO TOLAK DEKLARASI RAKYAT TUN MAHATHIR

KOTA KINABALU, 4 Mac 2016 – Saya rujuk kepada Deklarasi Rakyat Tun Mahathir di mana Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin dan beberapa pihak yang lain yang sekian lama menjadi musuh ketat mereka antaranya Lim Kit Siang daripada DAP, Dato’ Seri Azmin Ali daripada PKR serta beberapa ahli pembangkang berkumpul petang tadi dalam cubaan untuk menjatuhkan Perdana Menteri Malaysia.

Pergerakan Wanita UMNO Malaysia dengan penuh rasa kecewa dan kesal mengecam tindakan Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin dan yang lain sanggup bersekongkol dengan pemimpin pembangkang untuk menjatuhkan kepimpinan utama Negara hanya kerana dendam kesumat dan kepentingan peribadi.

Deklarasi ini membuktikan Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin telah mencabul semua prinsip yang dipegang dan diperjuangkan semasa menjadi pemimpin di dalam UMNO.

Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia yang bersidang pada malam ini bagi mewakili ahli Pergerakan Wanita UMNO seluruh Malaysia mengambil ketetapan sebulat suara memberikan sokongan penuh dan tidak berbelah bagi kepada YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia merangkap Presiden UMNO Malaysia yang dipilih secara demokrasi untuk terus mentadbir dan memimpin Negara serta UMNO.

Wanita UMNO meminta Dato’ Sri Najib untuk terus memberi perhatian beliau kepada agenda pembangunan Negara dan kesejahteraan rakyat.

Biarlah rakyat Malaysia menentukan siapa yang akan dipilih meneraju Negara sekali lagi pada PRU-14 yang akan datang dan bukan segelintir bekas pemimpin yang mempunyai agenda tersendiri.

SHAHRIZAT ABDUL JALIL 
Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia


Kenyataan Media Badan Perhubungan UMNO Selangor (BPUNS)

1- BPUNS menzahirkan sokongan padu kepada kepimpinan YAB Dato Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO dan Dato Seri Zahid Hamidi selaku Timbalan Perdana Menteri untuk terus menerajui saf kepimpinan negara.

2- BPUNS  mahu supaya semua rakyat dan ahli UMNO khasnya bersatu dan menghormati mandat yang telah diberikan kepada YAB Perdana Menteri untuk menerajui negara ini.

3- BPUNS melihat tindakan Yang Berbahagia Tun Mahathir bersengkokol dengan pembangkang untuk memaksa Perdana Menteri meletak jawatan adalah satu perkara yang tidak menghormati mandat yang telah diberikan oleh rakyat kepada UMNO BN.

3- BPUNS menzahirkan rasa kesal atas tindakan Tun Mahathir yang mahu menukar Perdana Menteri yang jelas memperlihatkan kehendak nafsu politik beliau melebihi ketetapan yang pernah beliau perkatakan tentang DAP dan PKR.

4- Sebagai mantan Perdana Menteri beliau pasti memahami keperluan mempertahankan  demokrasi dan tindakan beliau sekarang tidak seharusnya dilakukan oleh seorang bekas pemimpin negara. Dalam proses menukar Perdana Menteri ianya perlu melalui perlembagaan dan bukannya melalui demonstrasi jalanan ataupun melalui memorandum.

5-BPUNS mengucapkan tahniah kepada YBhg Tun kerana telah berjaya memperdayakan barisan pembangkang untuk bersama beliau dan mengiktiraf Tun sebagai pemimpin mereka. Tun Mahathir perlu bersedia untuk dipergunakan kembali oleh pembangkang untuk melengkapkan perjuangan mereka untuk membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada penjara yang kita sedia maklum masalahnya berpunca ketika pemerintahan beliau.

Datuk Seri Noh Omar
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor

#scs
#smss


KENYATAAN MEDIA UMNO PAHANG

1. Apapun suasana dan kemelut politik yang melanda Parti dan Negara sekarang ini, UMNO Pahang tetap memberikan sokongan padu dan berdiri teguh di belakang Presiden Parti, Dato' Sri Najib Tun Razak.

2. Sejarah dunia dan negara membuktikan bahawa krisis,  perselisihan, pertelingkahan, kemelut, kegawatan dan darurat adalah perkara biasa yang dialami oleh sesebuah negara. Apa yang penting ialah langkah-langkah pro-aktif dan munasabah wajib diambil untuk mengurus dan mengatasi masalah yang timbul. Ini semestinya memerlukan sokongan padu dari rakyat khususnya ahli Parti semua peringkat

3. Sebagai Presiden dan Perdana Menteri, DS Najib sedang memberikan perhatian serius menguruskan ekonomi negara yang tidak menentu disebabkan suasana ekonomi global yang juga tidak menentu. Langkah seterusnya ialah untuk menangani kenaikan kos hidup yang membebankan kehidupan rakyat. Semua Ahli sewajibnya menyokong penuh Presiden Parti dan Perdana Menteri supaya setiap langkah yang diambil mencapai matlamat.

4. UMNO Pahang berasa sedih, dukacita, marah dan mengecam keras tindakan bekas Perdana Menteri dan bekas Presiden UMNO dan lain-lain pemimpin dan bekas pemimpin UMNO yang bersekongkol dengan Pembangkang dalam cubaan menjatuhkan Perdana Menteri. Mereka lupa bahawa menjatuhkan Perdana Menteri bermakna menjatuhkan juga UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional dan inilah juga matlamat Pembangkang. Ini sesuatu yang sangat tidak wajar dan merupakan sabotaj besar kepada Parti, Kerajaan dan Negara.

5. UMNO Pahang berpendapat bahawa dalam perjuangan, apapun tindakan hendaklah berpaksikan prinsip, nilai, maruah dan harga diri dan bukan berpaksikan nafsu dan emosi.
Perbuatan dan tindakan Tun Mahathir, Tan Sri Muhiyuddin, Dato' Sri Shafie Afdal dan Dato' Sri Mukhriz berpakat dan bersekongkol dengan  Pembangkang atas apa juga tujuan adalah dikecam oleh ahli-ahli UMNO di Pahang. Ini merupakan satu tindakan mensabotaj UMNO, BN dan kepercayaan majoriti rakyat.

6. UMNO Pahang sentiasa bersikap terbuka dan mengalu-alukan perbezaan pendapat dan perbahasan yang teratur dan beradab kerana ianya memberi peluang kepada wujudnya prinsip dan dasar perjuangan yang lebih teratur dan mantap.

7. Ada saluran demokratik menukar Perdana Menteri dan Kerajaan, yakni menerusi Pilihanraya. Menukar Perdana Menteri dan Kerajaan menerusi tekanan umum dan demonstrasi cuma berlaku di negara pemerintahan kuku besi yang dibayar melalui pertumpahan darah rakyat. Jangan pula cara ini cuba di bawa ke negara kita, Malaysia tercinta.

8. UMNO Pahang mendesak Presiden Parti dan Perdana Menteri meneruskan perjuangan dengan penuh semangat dan dedikasi demi untuk rakyat. Jangan pandang kiri kanan atau toleh ke belakang. Buatlah yang terbaik untuk ugama Islam, bangsa Malaysia dan tanahair, Malaysia tercinta.

ADNAN YAAKOB,
PENGERUSI BADAN PERHUBUNGAN UMNO
NEGERI PAHANG.

KUANTAN.

5 MAC 2016.


KENYATAAN MEDIA
JAWATANKUASA UMNO BAHAGIAN TANJONG MALIM

1. UMNO Bahagian Tanjong Malim dalam mesyuarat Ahli Jawatakuasa malam ini (Jumaat 4hb Mac 2016) melafazkan taat setia tanpa berbelah bahagi terhadap Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak untuk terus menerajui kepimpinan negara.

2. UMNO Bahagian Tanjong Malim juga mengambil ketetapan untuk terus menyokong dan membantu YAB Presiden Parti dalam mengemudi parti UMNO.

3. Melahirkan rasa kesal dan kecewa atas sikap segelintir pemimpin dan bekas pucuk pimpinan parti UMNO yang hari ini bersekongkol dengan parti pembangkang dalam agenda untuk menjatuhkan Dato’ Sri Najib dari jawatan Perdana Menteri secara tidak demokratik.

4. Menggesa Majlis Tertinggi UMNO untuk mengadakan mesyuarat tergempar bagi mengambil tindakan tegas terhadap pimpinan dan ahli parti yang telah melanggar etika parti kerana bersekongkol dengan pembangkang untuk menjatuhkan Presiden parti.

5. Mengemaskini seluruh jentera parti di semua peringkat supaya mempersiapkan segala kemungkinan dalam memperteguhkan parti.

Dato' Mohd Khusairi Abdul Talib
Ketua UMNO Bahagian Tanjong Malim


Kepada semua KETUA PENERANGAN 4 PERINGKAT  SELURUH NEGARA....

Perkembangan terkini politik negara menuntut kita merapatkan Saf perjuangan dan meningkatkan SOLIDARITY PARTY.

..Saya syurkan semua kita bersama dgn PIMPINAN BAHAGIAN MASING MASING mengeluarkan statement media dan menyatakan pendirian kita utk BERISTIQAMAH BERSATU DALAM PERJUANGAN DAN BERSETIA BERSAMA PIMPINAN DAN TERUS BERKHIDMAT MENJUNJUNG AMANAH DAN MANDAT RAKYAT.

Mari kita perbaharui deklarasi BAHAWA DAP ADALAH MUSUH KITA...Barangsiapa memilih DAP sebagai sekutunya tak dapat tidak maka mereka adalah seteru yang nyata.

Kenyataan adalah bebas ikut budibicara PIMPINAN masing masing dan tiada paksaan mengenainya

Saya berbesar hati kiranya salinan dapat di forward ke Ibu pej Penerangan UMNO Msia Dan post juga di group whatsapp kita

Salam PERJUANGAN

Tan Sri Annuar Musa
KETUA PENERANGAN UMNO MALAYSIA.


KENYATAAN AKHBAR OLEH YB DATO' SRI ANIFAH HAJI AMAN, MENTERI LUAR NEGERI UNTUK CETAKAN SERTA MERTA.                     

1. Dua minggu yang lalu, saya telah mengiringi YAB Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak ke Amerika Syarikat bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin Amerika Syarikat-ASEAN di Sunnylands, California, untuk memperingati kenaikan taraf hubungan dialog ASEAN-A.S kepada perkongsian strategik.

2. Sidang Kemuncak yang penting ini telah berlangsung dengan jayanya dan produktif. Tanpa syak lagi, ia jelas merupakan pengiktirafan oleh Amerika Syarikat terhadap kepentingan diplomatik, ekonomi dan strategik ASEAN di rantau Asia Pasifik dan serterusnya di seluruh dunia.

3. Sebagai negara penyelaras bagi hubungan ASEAN-Amerika Syarikat, Malaysia telah memainkan peranan yang penting dalam memastikan penghasilan yang positif semasa Sidang kemuncak tersebut. Malah, pemimpin-pemimpin negara berkenaan telah memberi pengiktirafan tinggi terhadap sumbangan dan kepimpinan Malaysia dalam menangani isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

4. Pada hakikatnya, YAB Perdana Menteri telah mengutarakan pendirian Malaysia secara jelas dalam banyak isu yang mempunyai kepentingan bersama, baik dari segi ekonomi dunia, keselamatan maritim sehinggalah isu-isu keganasan ekstrim. Secara peribadi, saya bangga kerana YAB Perdana Menteri telah diminta beberapa kali untuk mengetuai perbincangan dan perkongsian dalam pemikirn hadapan dalam beberapa isu. Jelas sekali, ini mencerminkan kepentingan terhadap peranan kepimpinan dan sumbangan Malaysia dalam isu-isu semasa.

5. Pada pendapat saya, Sidang Kemuncak Sunnylands telah memberi gambaran jelas bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang aman, stabil dan makmur, bertentangan dengan dakwaan tidak berasas baru-baru ini yang dibuat oleh pihak tertentu mengenai Malaysia. Selain daripada itu, Malaysia masih diberi penghargaan dan dipandang tinggi oleh masyarakat antarabangsa.

6. Kesemua ini adalah berasaskan kepada fakta-fakta yang tertera. Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Malaysia telah mencapai kemajuan ekonomi yang bermakna. Sebagai contoh, pendapatan negara kasar Malaysia telah meningkat sebanyak 47.7 peratus dan 1.8 juta pekerjaan telah diwujudkan sejak tahun 2009. Pelaburan swasta di negara ini juga telah berlipat ganda sebanyak tiga kali sejak penubuhan Program Transformasi Ekonomi beliau (GTP) pada tahun 2010. Pada tahun 2015 pula, Malaysia telah disenaraikan oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) di tempat ke-18 daripada 144 negara dari segi ekonomi yang berdaya saing terkemuka di dunia.

7. Angka pertumbuhan Malaysia baru-baru ini, yang telah melepasi jangkaan, adalah petunjuk yang nyata bahawa ekonomi Malaysia pada asasnya kukuh dan berdaya tahan. Bank Dunia, sebagai contoh, memberikan Malaysia kedudukan ke-4 di peringkat global dalam melindungi pelabur-pelabur dan tempat ke-18 dalam kemudahan menjalankan perniagaan. Laporan terkini IMF memuji 'dasar kewangan berhemat' Malaysia dan menyatakan bahawa 'keadaan dijangka akan terus menyokong pertumbuhan’ di negara ini.

8. Dengan kestabilan dalam negeri dan prestasi ekonomi yang kukuh, Malaysia telah memainkan peranan yang aktif dan penting dalam penglibatannya di luar negara. Di peringkat serantau, sebagai contoh, Malaysia telah memainkan peranan penting dalam memacu proses pembinaan komuniti ASEAN lebih-lebih lagi dengan penubuhan rasmi Komuniti ASEAN semasa menjadi Pengerusi ASEAN pada lalu. Selain daripada itu, kita juga telah memainkan peranan utama dalam pembangunan Wawasan dan Komuniti Rangka Tindakan ASEAN bagi dekad akan datang seperti yang terkandung dalam ASEAN 2025: Maju Bersama ke Hadapan. Kredibiliti dan kepimpinan kita sebagai Pengerusi ASEAN pada 2015 telah diberi pengiktirafan yang tinggi oleh rakan-rakan Dialog ASEAN.

9. Di peringkat global, pemilihan Malaysia sebagai salah satu daripada ahli-ahli tidak tetap Majlis Keselamatan PBB bagi penggal 2015-16 jelas mencerminkan kredibiliti Malaysia di peringkat antarabangsa. Setelah dipilih untuk kali keempat bagi Majlis Keselamatan sejak kemerdekaan, membuktikan reputasi Malaysia selama ini sebagai anggota yang bertanggungjawab di kalangan komuniti antarabangsa, terutamanya dalam konteks keamanan dan keselamatan antarabangsa.

10. Setakat ini, Malaysia telah bersama-sama memikul tanggungjawab dengan negara-negara lain serta memainkan peranan penting dalam menangani isu-isu di bawah bidang kuasa majlis keselamatan. Fokus Malaysia kini telah ditujukan ke arah menggalakkan kesederhanaan, penyelesaian konflik secara aman, usaha perdamaian, operasi menjaga keamanan dan pembaharuan dalam UNSC. Sepanjang tempoh Malaysia sebagai Presiden Majlis Keselamatan tahun lepas, Malaysia membawa tiga inisiatif yang berkaitan dengan isu-isu kanak-kanak dalam konflik bersenjata, membina keamanan dan perubahan iklim.

11. Dalam menjalankan dasar luar, Malaysia terus diiktiraf sebagai rakan kongsi yang aktif, jujur dan boleh dipercayai oleh negara-negara di dalam dan di luar rantau ini untuk menangani cabaran-cabaran keselamatan yang menjejaskan keamanan dan kestabilan serantau. Inisiatif Malaysia dalam menganjurkan perjanjian damai Bangsamoro di Selatan Filipina dan menjadi orang tengah rundingan damai di Selatan Thailand, sebagai contoh, mencerminkan komitmen dan sumbangan Malaysia ke arah untuk memastikan keamanan dan kestabilan serantau.

12. Sebagai sebuah negara Islam yang progresif, sederhana dan memandang ke hadapan, Malaysia telah menjalin hubungan baik dengan banyak negara-negara Timur Tengah. Kerjasama kita tidak hanya terhad kepada perkara yang berkaitan dengan agama dan umat Islam tetapi juga meliputi banyak bidang lain yang penting seperti perdagangan, pelaburan dan pendidikan. Di samping itu, Malaysia secara aktif menyumbang ke arah untuk mencari penyelesaian secara aman terhadap Proses Damai Timur Tengah, penyertaan aktif Malaysia dalam isu-isu berkenaan situasi di Syria dan Yemen terutamanya melalui penglibatan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Malaysia juga telah menjalin kerjasama dengan negara-negara Islam yang bersependapat, dalam gabungan untuk menentang keganasan di Timur Tengah.

13. Malaysia juga penyokong kuat terhadap keamanan dan keselamatan global. Inisiatif YAB Perdana Menteri mengenai Pergerakan Kesederhanaan Global, yang menekankan nilai kesederhanaan dalam menangani keganasan, telah diakui dan diterima oleh banyak negara dan juga organisasi serantau dan antarabangsa.

14. Sesungguhnya, Malaysia masih bimbang dengan ancaman radikal yang semakin meningkat, pelampau dan pengganas, termasuk ancaman yang ditimbulkan oleh Islamic State dan sekutu-sekutunya di Syria dan Iraq. Ancaman-ancaman kini yang sangat nyata telah mendorong Kerajaan Malaysia untuk menggubal Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau SOSMA, Langkah-langkah Khas terhadap Keganasan dalam Akta Negara Asing, Akta Pencegahan Keganasan dan Akta Majlis Keselamatan Negara. Rasionalnya adalah sangat jelas - bahawa kita berhasrat untuk melakukan yang terbaik bagi melindungi keselamatan semua rakyat Malaysia dan memastikan keselamatan negara. Sebagaimana yang pernah dikatakan oleh YAB Perdana Menteri sebelum ini, Malaysia ‘tidak akan menunggu sehingga keadaan menjadi lebih buruk berlaku sebelum melaksanakan segala langkah yang diperlukan'.

15. Selain penguatkuasaan keselamatan dan langkah-langkah undang-undang pencegahan, Malaysia juga telah menggunakan pendekatan yang halus sebagai sebahagian daripada strategi menyeluruh dalam menangani keganasan. Dalam hal ini, Malaysia telah memulakan Pusat Serantau Bahagian Komunikasi Strategik Digital (BKSD) untuk menyediakan counter-narratives kepada retorik dan ideologi sesat kumpulan militan IS dan kumpulan-kumpulan radikal serta pelampau. Inisiatif positif ini dialu-alukan oleh banyak negara di dalam dan luar rantau ini serta pasti akan menjadi sebahagian daripada sumbangan penting Malaysia dalam usaha-usaha serantau dan antarabangsa unutk menangani ancaman kumpulan IS, radikal dan pelampau.

16. Ringkasnya, peranan aktif, sumbangan dan pencapaian Malaysia di peringkat antarabangsa telah diiktiraf oleh komuniti antarabangsa. Sedang Malaysia memulakan objektifnya ke arah menjadi sebuah negara maju menjelang 2020, ia akan terus menyumbang secara aktif ke arah membentuk agenda serantau dan global untuk kepentingan bersama semua.

17. Sebagai sebuah negara yang berusia 59 tahun, Malaysia terus berkembang dan mengekalkan dasar luar yang baik berasaskan kepada keperluan untuk melindungi kepentingan negara dan meningkatkan kesejahteraan rakyat. Dengan sepenuh hati, saya bangga untuk mengatakan bahawa pendirian kita yang konsisten dan berprinsip telah memjadikan siapa kita hari ini. Saya mempunyai kepercayaan penuh dan keyakinan bahawa Malaysia, di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak, akan terus cemerlang di peringkat antarabangsa dan sememangnya saya amat berbesar hati dan bertuah kerana diberikan portfolio hal ehwal luar negara sebagai tugasan saya.


3 comments:

Anonymous said...

Poyo je semua tu...kenyataan cari makan...tak caya tunggu najib jatuh nanti pastinya pusing 180 darjah..

Anonymous said...

masalahnya najib tidak akan jatuh...percaya la...

Unknown said...

Buat keluar habis segala senjata dan peluru daripada ' bala tentera - bala tentera' yg ada....untuk. melindungi panglima bugis!!!!

top