Wednesday, March 16, 2016

SEMBANG DEGAR-DEGAR, DAFTAR UNDI PUN TIDAK! MASALAH MELAYU YANG SEMAKIN LAYU!!!



Kalau dengar, baca dan tengok media-media sosial, khususnya Facebook, kiranya ramailah anak-anak Melayu dan Bumiputera yang sangat sensitif dengan politik negara. Ada yang menyokong kerajaan, ada pula yang menentang kerajaan, ada yang cuba menjadi anarki dan tidak kurang juga yang bersembang politik seolah-olah mereka memang berada dalam arus politik 24 jam sehari 7 hari seminggu.

Itu belum lagi lagi yang membabitkan pergaduhan di Facebook kerana politik...

Tetapi perangkaan yang dikeluarkan oleh SPR membabitkan pendaftaran pengundi, amat mengecewakan. Rupa-rupanya, yang duk rajin sangat menghadap isu-isu politik di Facebook, ramai yang belum mendaftar sebagai pengundi.

Seramai 1,803,088 orang Melayu, 298,210 Bumiputera Sabah, 302,301 Bumiputera Sarawak dan 30,376 Orang Asli yang masih belum mendaftar mengundi walaupun sudah layak berbuat begitu.

Tidak lama dahulu, ada desakan agar pendaftaran pengundi dibuat secara automatik apabila mereka berusia 21 tahun, tetapi nampaknya desakan hanya tinggal desakan. Kaedah konvensional yang mengkehendaki bakal pengundi yang layak, mendaftar sendiri di pusat-pusat pendaftaran termasuklah di pejabat-pejabat pos, terus menjadi kegemaran pihak berkenaan.

Pihak berkuasa seharusnya memilih kaedah yang lebih jimat, yang lebih efisien dan lebih cekap untuk mewajibkan pendaftaran pengundi-pengundi di Malaysia. Sekaligus mengurangkan retorik politik yang dimainkan oleh parti-parti politik apabila pendaftaran secara konvensional yang menjadi pilihan utama sekarang.

Pun begitu, pihak berkuasa juga perlu melakukan saringan dengan hanya memilih RAKYAT MALAYSIA YANG TULEN sahaja sebagai pengundi. Ketulenan mereka boleh dibuat sepintas lalu menerusi penguasaan mereka ke atas Bahasa Kebangsaan dan pengetahuan mereka tentang beberapa Artikel-Artikel penting terutama sekali Artikel 3, Artikel 11, Artikel 12, Artikel 149, Artikel 152 dan Artikel 153 yang dibuat secara rambang.

Mana-mana pemegang MyKad yang gagal total untuk penguasaan Bahasa Kebangsaan secara lisan dan bertulis, selain Artikel-Artikel Perlembagaan Persekutuan yang dinyatakan di atas, kelayakan mereka untuk mengundi gugur secara automatik.

Sekarang ini, kita kerap menyaksikan mereka yang bukan sahaja gagal bercakap dan menulis dalam Bahasa Kebangsaan, bahkan langsung tidak tahu apa-apa tentang Perlembagaan Persekutuan sehingga bukan sahaja mencabar kedudukan Agama Islam sebagai Agama Persekutuan, sebaliknya mempersoalkan pula kedudukan Melayu-Bumiputera di negara ini sehingga sampai ke tahap menghina seperti mengatakan 'Melayu juga adalah Pendatang'.


No comments:

top