Sunday, April 10, 2016

MALAYSIA PANTAU PELARIAN DARI CHINA - ZAHID HAMIDI



Malaysia bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak bagi memantau pergerakan pelarian etnik Uighur dari China yang dikatakan menjadikan negara ini sebagai transit untuk ke negara ketiga. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerjasama itu membabitkan polis antarabangsa (INTERPOL), polis kalangan negara ASEAN (Aseanapol) dan pihak keselamatan negara China iaitu Homeland Security Of China. 

Katanya, Malaysia akan mendapatkan maklumat lebih terperinci daripada INTERPOL bagi menyiasat dakwaan ada antara kumpulan pelarian itu anggota kumpulan militan. 

"Mereka dikatakan menggunakan Malaysia dan Thailand sebagai negara kedua untuk ke negara ketiga. Justeru, adalah tidak adil untuk menuduh mereka sebagai anggota pengganas," katanya pada sidang media selepas merasmikan penutupan program Kembara Kebajikan di Hutan Melintang di sini, sebentar tadi. 

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, setakat ini, terdapat dua orang yang dikatakan suspek anggota kumpulan militan dan pihak keselamatan akan melakukan pemantauan secara berterusan. 

Beliau berkata, kumpulan pelarian itu pula mempunyai pasport dan Malaysia sedang bekerjasama dengan China mengenai kemungkinan menghantar mereka pulang ke negara berkenaan. 

Mengenai dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikatakan bersekongkol dengan pihak luar untuk menjatuhkan kerajaan, Ahmad Zahid berkata, pemimpin hari ini sebelum ini adalah pengikut setia bekas Perdana Menteri itu yang diajar supaya patuh kepada kepemimpinan yang baik. 

"(Oleh itu) jangan dia ubah pendirian untuk mengajar kami sebaliknya. Dulu, dia marah kami guna saluran antarabangsa kononnya ada yang jadi 'tali barut' asing. Janganlah lakukan sesuatu yang mengakibatkan orang tidak menghormati kita," katanya. - SUMBER

No comments:

top