Monday, May 30, 2016

MAI RAMADHAN, CERITA ORANG SUSAH PUN AKAN TERSIAR... PEJABAT AGIHAN ZAKAT PULA TETAP TAK MALU-MALU!!!



Bulan Ramadhan sudah kian menghampiri. Apabila disebut Ramadhan, selain daripada berpuasa dan menahan diri daripada segala yang menggelojakkan nafsu dan memperdayakan akal pada ketujuh-tujuh sifat yang ada pada manusia yang akan dikempenkan, diceramahkan, bahkan menjadi santapan mata dan telinga daripada pelbagai media, termasuklah secara lisan, satu lagi kewajipan umat Islam sepanjang Ramadhan sehingga ke pagi Aidil Fitri (paling afdal selepas solat subuh dan sebelum solat sunat hari raya), juga akan ditekankan. 

Zakat Fitrah!

Maka, akan keluarlah amaran dan ancaman terhadap mereka yang enggan membayar zakat. Para ustaz pun seperti telah masuk neraka, menceritakan seksaan yang bakal diterima oleh mereka yang tidak mahu mengeluarkan zakat termasuklah Fitrah.

Tidak dinafikan, pada zaman di mana bulan puasa merupakan bulan melantak semahu-mahunya dengan pelbagai hidangan yang bukan sahaja mampu menaikkan nafsu, tetapi juga membuatkan poket kering kontang, manusia menjadi semakin bakhil dan tidak mengerti mengapa zakat diwajibkan di dalam Islam. 

Tetapi itu hanyalah kewajipan membayar zakat. Bagaimana pula dengan agihan zakat?

Satu rutin yang kita lihat sepanjang Ramadhan-Ramadhan lalu, media-media seperti televisyen dan akhbar arus perdana akan mula menyiarkan berita serta wajah-wajah golongan miskin yang digunakan untuk menarik simpati daripada masyarakat.

Akan terkeluarlah cerita tentang ketiadaan persediaan mereka untuk menyambut Aidil Fitri. Akan terkeluarlah pelbagai episod duka sepanjang bulan puasa dan ketiadaan sinar pada Aidil Fitri. Dan pada masa yang sama, pelbagai cerita sedih akan disiarkan seolah-olah Aidil Fitri adalah satu-satunya segala masalah diselesaikan. Selepas Aidil Fitri mereka semua seperti tidak wujud lagi di dunia ini.

Namun yang lebih ketara adalah, timbul tanggapan bahawa segala kesusahan dan penderitaan tersebut hanyalah untuk Aidil Fitri. Sebelum Ramadhan dan 1 Syawal, segala kesusahan dan penderitaan tersebut seolah-olah tidak wujud langsung. 

Maka, timbullah persoalan, apa sudah berlaku kepada agihan zahat? Mengapa kes-kes penderitaan sebegitu lebih mudah dihidu oleh pemain-pemain media berbanding mereka yang diberikan tanggungjawab untuk menguruskan zakat dan fitrah?

Inilah persoalan yang saban tahun, saban masa ditimbulkan. Golongan yang memerlukan bantuan zakat seperti tidak habis-habis.

Jadi, sempena kedatangan Ramadhan ini, baiklah pejabat-pejabat agihan zakat melipatgandakan kerja mereka mencari golongan miskin sehingga tidak dapat dikesan dan ditampilkan oleh pihak media. Kalau sudah bertahun-tahun didedahkan tentang kewujudan golongan tersebut, para pekerja di pejabat-pejabat agihan zakat, sepatutnya berasa malu dan tidak boleh menunjukkan muka di khalayak ramai lagi Malah seharusnya meletak jawatan dan membiarkan jawatan-jawatan mereka diisi oleh golongan yang lebih faham dengan tanggungjawab!


No comments:

top