Saturday, May 28, 2016

TAK PERLULAH BAWA BUDAYA POLITIK SAMSENG DI SUNGAI BESAR KALAU BAPA PENYOKONG UMNO, IBU MUSLIMAT PAS, ANAK LELAKI KETUA AMK DAN ANAK PEREMPUAN KETUA PUTERI CAWANGAN!!!



Politik di Sungai Panjang adalah tidak seperti di Ampang atau Pandan mahupun di Tanjung atau Kuala Kedah. Walaupun komposisinya adalah Jawa dan Banjar, kebanyakan daripada mereka mempunyai tali persaudaraan sama ada menerusi perkahwinan mahupun memang asalnya begitu.

Jadi, jangan terkejut sekiranya si bapa adalah penyokong kuat PAS, si ibu pula Ketua Wanita UMNO Cawangan dan anak lelaki pendokong PKR tegar manakala anak perempuan adalah Ketua Puteri Cawangan.

'Industri' utama adalah padi. Jangan pula terkeliru dengan orang luar yang mengambil upah mengerjakan sawah bendang di DUN Sungai Panjang kerana ia sudah menjadi kelaziman. Jadi kalau ada yang bercakap lain macam seperti penyokong PAN atau DAP, sah-sahlah mereka adalah orang luar.

Nak harapkan pengundi Sungai Panjang menyingsing lengan, berparang dan berkapak kerana sokongan kepada parti politik masing-masing, memang tidak wujudlah. Mereka mungkin penyokong kuat PAS, tetapi sebahagian daripada mereka adalah pengundi BN kalau kena dengan hati. Mereka mungkin kelihatan seperti penyokong UMNO-BN tetapi mereka tidak akan segan silu untuk mengundi calon PAS kerana calon PAS mudah dilihat di masjid dan surau serta anak tempatan yang telah dikenali.


Atau nak mengharapkan ada ceramah berapi-api yang bukan sahaja menghasut tetapi juga cubaan memutuskan silaturrahim di Sungai Panjang, memang tidak adalah. Kenduri-kendara tidak dipulau, bahkan majlis rumah terbuka seperti yang dibuat oleh bekas ADUN Sungai Panjang merangkap bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Khir Toyo sebelum-sebelum ini turut dihadiri oleh orang PAS. Bahkan markas besar PAS Sungai Panjang, terletak bersebelahan sahaja dengan rumah Dr. Khir Toyo di Simpang Lima.

Dalam tempoh sebulan ini, Sungai Panjang akan menjadi salah satu daripada dua lokasi yang paling kerap dikunjungi dan didatangi orang luar. Sewa rumah melonjak tinggi sehingga boleh mencecah RM20,000 untuk sebulan. Harga mentarang bakar di tepi jalan pun, akan turut melonjak tinggi. Pekan Sungai Besar yang biasanya hanya sibuk dek orang tempatan pada hujung minggu, akan menjadi medan berkumpulnya orang yang bercakap loghat negeri-negeri di seluruh Malaysia, termasuklah Sabah walaupun sebelum ini, loghat yang ketara hanya Jawa dan Banjar.


Ada yang kata, PRK akan menjadi medan parti pemerintah (Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri) untuk menabur dedak dan rasuah bagi mendapatkan undi untuk calon masing-masing. Jalanraya akan diturap. Rumah penduduk kampung akan dilawati walaupun sebelum ini, batang hidung pegawai-pegawai daripada agensi-agensi kerajaan, memang susah nak tengok.

Kelebihan ini ada pada Budiman Mohd Zohdi, calon UMNO-BN Parlimen Sungai Besar. Dia sentiasa merayau dari sebuah rumah ke sebuah rumah di seluruh kawasan DUNnya, bertemu dan bersidang di kedai-kedai kopi tempat berkumpulnya para petani dan penduduk untuk mendengar permasalahan dan mencari penyelesaian, membantu penduduk tanpa mengira mereka menyokong parti apa serta sentiasa menyantuni warga Sungai Panjang yang telah dikenalinya dan mengenalinya semenjak dia dilahirkan ke dunia ini.


Justeru kepada para pelancong politik di Sungai Panjang, tidak perlulah menunjukkan sikap ekstrimis atau menghasut para penduduk untuk bergasak sesama sendiri bagi menzahirkan sokongan kepada parti masing-masing-masing. Para pelancong politik, seusai PRK akan pulang ke tempat masing-masing, tetapi para penduduk akan terus berhadapan dengan wajah-wajah dan batang tubuh yang sama.

Mereka sudah cukup aman, jangan diganggugugat keamanan itu dengan sikap ekstremisme.


No comments:

top