Pages

Friday, October 17, 2014

PEMBUNUH ANAK-ANAK BEKAS KETUA CID SARAWAK BAKAL DIDAKWA JUMAAT INI SELEPAS 24 TAHUN!!!



Rita dan abangnya, Dr Michael Chye dibunuh dalam kejadian berasingan di Australia

MELBOURNE: Seorang lelaki akan didakwa di Sydney pada Jumaat ini kerana membunuh anak perempuan bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Peter Chye di rumahnya di Sydney lebih 24 tahun lepas.

Chye turut kehilangan anak lelakinya Michael, seorang doktor bergelar jutawan, yang ditembak mati di Sydney 10 bulan sebelum itu.

Akhbar Daily Telegraph melaporkan lelaki yang ditahan itu, seorang warga Australia yang tinggal di Thailand, ditahan detektif daripada Skuad Homisid sejurus tiba di Sydney menerusi penerbangan dari Kuala Lumpur pada Ogos lepas.

Rita Caleo (nee Chye), 39, ibu dua anak, ditikam sehingga mati di apartment mewahnya di kawasan eksklusif Double Bay di Sydney pada awal pagi 10 Ogos 1990.

Caleo, seorang ahli perniagaan, ditikam di dalam bilik tidurnya, manakala bayi perempuan dan anak lelakinya berusia empat tahun tidur di bilik bersebelahan.

Pengasuh yang tinggal bersama mereka terdengar bunyi bising dari bilik tidur utama sebelum menemui mayat wanita itu pada 1.30 pagi.

Ketika kejadian, Mark Caleo, suami Rita, sedang bekerja di sebuah daripada dua restoran Itali miliknya di Sydney. Difahamkan, mereka mempunyai sebuah restoran, juga dinamakan Caleo, di Kuala Lumpur.

Lelaki yang ditahan itu masih remaja ketika pembunuhan itu berlaku dan dipercayai mempunyai kaitan dengannya.

Pembunuhan Caleo disusuli insiden tembakan terhadap abangnya yang kaya raya, Dr Michael Chye, pada 16 Oktober 1989.

Dr Chye ditembak mati ketika sedang duduk di dalam kereta Mercedes Benz kepunyaannya yang diletak di dalam garaj rumah agamnya di kawasan mewah pinggir bandar Woollahra di Sydney.

Daily Telegraph melaporkan sungguhpun siasatan menyeluruh dijalankan dalam kedua-dua kes pembunuhan itu pada 1990-an, namun tiada siapa pun yang ditahan.

Detektif dari pasukan homisid Inspektor John Lehmann dilaporkan memberitahu media bahawa polis percaya beberapa orang terbabit dalam pembunuhan Caleo dan Dr Chye, dan siasatan masih dijalankan.

"Kami berharap dapat melakukan lebih banyak tangkapan," Daily Telegraph memetik Lehmann sebagai berkata.

Sementara itu, akhbar Sydney Morning Herald melaporkan tiga bulan sebelum kematiannya, Caleo dikatakan menghantar surat di dalam sampul yang digamkan kepada peguamnya.

Pada sampul surat itu tertera: "Buka hanya sekiranya kematian saya luar biasa."

Sampul surat itu dibuka oleh peguam Caleo di hadapan beberapa detektif selepas pembunuhannya pada 1990. Beliau mendakwa dua orang melakukan pembunuhan abangnya mengikut cara gengster.

Dalam surat itu, Caleo menyatakan sekiranya beliau meninggal dunia secara luar biasa, orang yang sama bertanggungjawab menyebabkan kematiannya itu. - mStar

No comments:

Post a Comment