'Kenapa Sekarang Baru Complaint?'
Isu yang melibatkan pelajar self proclaimed dirinya genius ini, Adi Putra, nampaknya masih tidak berkesudahan. Orang ramai masih menyalahkan kerajaan sehingga mendakwa kerajaan tidak gemar dengan orang yang genius seperti Adi Putra. Sebaliknya lebih berminat dengan mereka yang mempunyai minda seperti Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kewangan.
Isu ini pula sekali lagi dibangkitkan oleh sebuah laman Facebook yang popular, Oh! Media, menyiarkan semula laporan luahan kekecewaan Adi Putra yang dilaporkan oleh The Malaysian Insider, tanpa sebarang penjelasan dari pihak Permata Pintar yang telah tersebar sebelum ini.
Berikutan itu, Pengarah Permata Pintar, Professor Noriah Mohd Ishak, sekali lagi memberikan penjelasan penuh di laman Oh! Media bagi menerangkan keadaan yang sebenarnya berlaku di antara pihak Adi Putra dan Kerajaan.
KERAJAAN dah hulurkan bantuan pada tahun 2008. Bapa Adi Putra menolak bantuan itu kerana Adi perlu kerja nak bayar gaji pengurusnya dan sebagainya.
Itu keputusan bapanya dulu dan kata nak sekolahkan Adi di rumah. Kenapa sekarang complaint?
Kalau Adi betul-betul nak belajar semula, jumpa saya di Permata Pintar di UKM. Tak jauh dari Gombak ke UKM. Ini untuk masa depan Adi. Bapa Adi tahu saya wujud dan tahu nak cari saya atau Permata Pintar dimana. InshaAllah Adi masih boleh dibantu.
Saya bukan ahli politik dan tidak suka berpolitik. Tetapi kalau ada orang yang berhati mulia menolong anak bangsa yang pintar terutama dari luar bandar, saya beri penghormatan kepada dia.
Berapa orang di antara kita sanggup memikirkan masalah pendidikan anak-anak kampung terutama yang miskin dan tinggal di ceruk kampung tetapi pandai? Nak masuk sekolah asrama penuh pun mereka tak dapat.
Program Permata Pintar di bawah YABhg Datin Seri Rosmah Mansor telah banyak membantu anak-anak ini dari Lubok Antu hinggalah ke Gurun.
Kita semua hanya memikirkan hal kita, kerjaya kita, gaji kita. Berapa orang di antara kita nak fikir pasal anak orang lain yang kalau tidak dikeluarkan dari kampungnya, mungkin tak dapat mencapai pendidikan yang tinggi?
Saya bukan nak mengata tetapi setiap perbualan yang saya nampak, saya tidak nampak keikhlasan nak membantu.
Kerajaan telah menyediakan sekolah untuk pelajar genius seperti Adi Putra. Sekolah tersebut di dalam UKM. Program pelajar pintar dan genius di UKM ini bermula pada tahun 2009. Kerajaan tawarkan Adi dulu untuk membantu dia melonjakkan kepintarannya tetapi bapa Adi menolak.
Adi kecil lagi, tak pandai buat keputusan. Hingga kini program anak genius di UKM ini telah membantu memberikan program pengayaan kepada lebih dari 5,000 pelajar genius seperti Adi.
Salah seorangnya bernama Amirul Fitri yang sebaya dengan Adi tetapi sekarang telah melanjutkan pengajiannya dalam bidang matematik di Johns Hopkins University di Amerika Syarikat.
Seorang lagi bernama Shah Rahmat Shah Putra yang sedang melanjutkan pengajiannya di Bristol dalam bidang matematik.
Anda semua sangat bijak memerli. Tak tahulah kalau anda semua jadi menteri, lagi lingkup nanti. Jangan mengata orang sebab kita sendiri tidak tahu apa yang kita boleh buat dalam pelbagai situasi. Yang pentingnya, saya dah beri peluang kepada Adi untuk sertai Permata Pintar supaya dia boleh teruskan pendidikannya.
Namun, sehingga kini Adi, bapa atau ibunya hanya berdiam diri. Kerajaan mahukan yang terbaik untuk Adi. Mana tahu, kemudian boleh masuk Princeton atau Yale, bukan setakat Monash dan jadi menteri kewangan seperti yang saudara saudari impinkan.
Mohon anda yang pandai bercakap di sini (Facebook) supaya pujuk Adi masuk Permata Pintar dan kalau dia betul-betul genius, kita hantar formula dia kepada profesor di UKM bidang matematik yang boleh mengesahkan kesemua formula dia.
Saya pun boleh sebab salah satu bidang saya ialah matematik dan kami hendak Adi masuk Matematik Olympiad Program yang ada di Permata Pintar supaya kalau berjaya, dia boleh mewakili negara dan tunjuk kepada dunia kita ada 'Genius Matematik' yang boleh meningkatkan markah PISA kita.
Saya jemput semua di sini ke Permata Pintar, bukan PERMATA Negara, program tadika yang bagus itu.
By the way, Permata Negara yang mengenakan yuran yang sangat sedikit (kurang dari 150 sebulan) untuk hantar anak ke tadika itu. Makan hanya dicaj RM50 sebulan dan letakkan banyak di kawasan ibu bapa sibuk dan berpendapatan rendah. Hantarlah anak ke sana sebab programnya bagus.
Permata Pintar adalah sekolah untuk anak-anak seperti Adi. Jika anak anda berumur 9 tahun hingga 12 tahun dan genius, dah boleh masuk tingkatan 1 yang kesukarannya sama dengan tingkatan 4 sekolah kerajaan. Kalau layak 9 tahun pun boleh masuk tingkatan 4. Kita dah lahirkan ramai pelajar genius dan mereka ramai dah di Ivy League Universiti, menyambung pelajaran dalam pelbagai bidang. Yang gila matematik macam Adi pun ramai.
Prof. Madya Dr. Noriah Mohd. Ishak
Pengarah Pusat Permata Pintar Negara
****
Genius yang tidak bertauliah
Adi pernah beberapa kali merungut yang Adi tidak dihargai. Bagi saya, untuk rungutan kes genius yang tidak bertauliah, Adi tak perlu terlalu bimbang. Kerana ramai genius dan inovator yang mengubah dunia juga tidak menghabiskan pelajaran formal, tetapi mereka tersenarai antara individu yang mengubah dunia. Adi sebenarnya perlu fikir lagi jauh. Adi dikurniakan bakat yang hanya beratus orang saja menerimanya dalam 100 tahun.
Saya sentiasa berdoa agar Adi tidak jadi seperti anak angkat Prof Diraja Ungku Aziz yang genius dan pernah menggemparkan negara satu masa dahulu. Tetapi sejarah hidupnya berubah apabila meningkat dewasa. Saya juga berdoa agar sekiranya Adi jadi orang ternama dan penting, Adi masih merendah diri seperti Adi yang rakyat Malaysia kenal.
Sewaktu Adi popular dulu dan bakal mengikuti pelajaran ke Unisel, ibu saya berkata:"Adi sepatutnya dilayan seperti kanak-kanak yang lain, biarkan Adi untuk berjumpa kawan-kawan, bermain, dan berbagai lagi kenangan yang sepatutnya dialami kanak-kanan yang sedang membesar.”
Tidak sangka rupanya kata-kata ibu saya terbukti kebenarannya apabila Adi mengatakan yang "Adi agak sedih sebab Adi hilang zaman kanak-kanak" di akhbar MStar.
Tetapi Adi mengambil langkah positif daripada peristiwa itu dan menyatakan semua itu berbaloi kerana membantu keluarga. Ya, saya amat mengagumi perihal itu. Sejak kecil juga saya selalu berangan-angan untuk membantu ibu saya supaya ibu saya tidak perlu bekerja lagi untuk menyara kami.
Jika Adi selusuri sejarah Bill Gates, Pak Sako, Mark Zuckerberg, Colonel Sanders, Einstein. Mereka juga tidak diiktiraf secara formal kerana drop out dan ditidakkan peluang pada awalnya. Namun persamaan antara mereka dalam menempa nama dalam dunia ini adalah mereka tidak berputus asa. Saya yakin, Adi boleh menjadi seperti mereka sekiranya tidak berputus asa. Kata kuncinya, ‘jangan berputus asa’.
Genius yang berimpak tinggi
Namun Adi, mintak maaf kerana saya terpaksa jujur dengan Adi. Formula matematik Adi hanya berlegar-berlegar pada penemuan matematik beratus-ratus tahun lalu. Adi menyediakan formula/algoritma alternatif. Ada beberapa algoritma Adi dipermudahkan dan sesuai untuk perisian matematik yang lebih pantas. Tetapi terdapat juga algoritma Adi yang memerlukan pemboleh ubah yang lebih daripada algoritma konvensional dan tidak berapa sesuai untuk semua kes dan situasi.
Saya puji yang Adi benar-benar memahami rumus matematik tersebut dan kerana itulah Adi mampu mencipta jalan penyelesaian alternatif yang lebih mudah. Namun pada peringkat global dan masalah matematik tinggi, tiada orang memandangnya.
Bagi orang yang berkemahiran dalam bidang matematik seperti Adi, Adi sepatutnya pergi lagi jauh dan mendalam dari apa yang Adi lakukan sekarang ini. Adi sepatutnya belajar dan dilatih untuk memajukan matematik tinggi seperti quantum mechanics, mathematical method for physics/engineering. Hasilnya Adi akan mampu menyelesaikan masalah matematik yang rumit untuk fizik gunaan seperti astronomi, astrofizik, fizik zarah dan radiasi, aeronautik, dan lain-lain lagi.
Hasil penemuan tersebut boleh diaplikasikan di dalam engineering dan seterusnya bakal mengubah dunia. Adi juga boleh membangunkan rumus yang penting dalam string theory, rumus untuk theory of everything, dan berbagai lagi yang akan memberi impak tinggi dan merapatkan jurang pengetahuan. Kesemua ahli sains terkemuka termasuk Stephen Hawking sendiri sedang berusaha sedaya upaya untuk mendalami rumus tersebut.
Ramai saintis hendak mengetahui rahsia alam. Mereka mahu mengetahui apa yang terjadi kepada permulaan masa, mereka mahu mengetahui bolehkah wormhole yang membolehkan manusia merentasi ruang dan masa dibina? Sekarang ini, saintis berjaya memerhati bagaimana memori terbina di otak. Malah yang terbaru, saintis berjaya menjumpai cara memadamkan memori yang terbina di otak.
Tahun lepas saintis berjaya menghasilkan jantung tikus tiruan yang berdegup dengan sendiri dengan menggunakan stem sel. MIT hampir membina komputer optik yang 100 kali lagi laju daripada komputer berasaskan elektron yang ada di pasaran. Malah saintis sedang berusaha untuk mencipta Komputer Kuantum yang bakal merevolusikan industri komputer.
Banyak lagi sebenarnya penemuan yang merapatkan pengetahuan, teknologi, dan kesihatan ditemui dan sedang dikaji. Saya percaya yang Adi boleh memberi impak yang besar dalam masyarakat dan dunia. Adi mampu mengubah dunia. Adi mampu merevolusikan dunia.
Genius yang mengubah dunia
Saya dengar daripada sumber yang dipercayai, Permata dan beberapa pelatih IMO juga memberi perhatian untuk menggilap bakat Adi. Tetapi mereka tidak dapat meneruskan dan Adi lebih tahu sebabnya, malah Adi juga lebih tertumpu untuk memenuhi jemputan pengajaran dan sebagainya. Saya tidak mahu salahkan sesiapa, cuma saya agak terkilan ramai anak genius Malaysia yang jadi membazir. Rasanya Nur Amalina Che Bakri saja yang betul-betul tersusun dan bakal mengubah dunia jika penyelidikannya berjaya.
Tetapi tidak apa, Adi baru 16. Adi ada banyak masa untuk sesuatu yang boleh mengubah dunia. Sekiranya Adi masih berlegar legar dengan penemuan beratus-ratus tahun lalu, saya bimbang Adi adalah prodigy matematik yang tidak dapat menyerlah untuk mengubah dunia. Umur 21, Newton berjaya mencipta kalkulus hasil inspirasi kerja ahli matematik yang terdahulu dan berjaya menjelaskan fenomena komet Haley. Hasil daripada itu juga Newton berjaya menerangkan hukum graviti dan menjelaskan kenapa bulan tidak jatuh ke bumi seperti epal yang jatuh ke atas kepalanya. Hasil tersebut merevolusi fizik moden dan impaknya, revolusi industri di Eropah berlaku.
Adi boleh ambil iktibar dengan kisah si genius daripada kecil lagi yang bernama Elon Musk. Pada umur 12 tahun, dia menjual video game yang dipanggil blaster dengan harga AS$500 pada 1983. Dia bersama-sama dengan yang lain membangunkan syarikat ZIP2 pada umur 24 dan menjualnya dengan harga AS$22 juta pada usia 28 tahun. Dia juga mengasaskan PayPal yang diguna pakai hampir seluruh warga Internet sekarang ini. Dia juga mengasaskan syarikat yang merealisasikan masa depan seperti Tesla Motors, Hyperloops, Solar City dan SpaceX. Dia adalah genius yang mengubah dunia. Hasil kereta masa depan yang diilhamkan olehnya iaitu kereta berkuasa elektrik dan boleh memandu sendiri menyebabkan syarikat gergasi kereta yang lain berlumba-lumba untuk menghasilkan kereta konsep sama. Menjelang 2020, semua syarikat gergasi menjangkakan kereta yang boleh memandu sendiri akan dipasarkan.
Insya-Allah, saya doakan satu hari nanti Adi bakal sebaris dengan nama-nama hebat seperti Michio Kaku, Lawrence Krauss, Neil Degrasse Tyson, Richard Feynman, De Broglie, Einstein, Elon Mask, Bill Gates, Mark Zukerberg dan ahli sains dan inovator terkenal. Masih tidak terlambat untuk Adi Putra mengikuti pelajaran secara formal dan berjaya seperti orang lain. Jika ibu bapanya yang membaca tulisan ini, saya mohon untuk letakkan Adi ke dalam perancangan yang lebih besar untuk mengubah dunia. Duit boleh datang kemudian.
- Muhammad Musoddiq Jaafar
Tak perlulah berdendam dengan Adi. Kalau boleh bantu, bantulah. Kalau tak boleh cakaplah elok-elok.
ReplyDeleteSalah kita suka layan orang yang perasan pintar,tak berapa nak boleh pakai,orang pintar perlukan org pintar mengurusnya,ramai budak yg pintar tp tak menunjuk nunjuk,mak ayah pun tak over.
ReplyDeleteGenius yang complain boleh dipanggil genius lagi ker?? entah ler...
ReplyDelete
ReplyDeleteSetuju dgn komen dan pendapat Muhammad Musoddiq Jaafar.
genius ke tak genius ke. Kalau tak hasilkan sesuatu untuk menyelesaikan masalah tak dapat apa apa.
ReplyDeleteApa yg tersangat perlu dunia sekarang ini adalah orang genius yg punya wisdom (pintar dan bijaksana)
ReplyDelete