Pages

Tuesday, June 9, 2015

MALIM GUNUNG KINABALU ADALAH WIRA TAK DIDENDANG YANG PERLU DIBERIKAN PERHATIAN DAN PENGIKTIRAFAN OLEH KERAJAAN MALAYSIA!!!



Peranan dan pengorbanan malim gunung dalam menyelamatkan pendaki yang terkandas di Gunung Kinabalu dalam kejadian gempa bumi baru-baru ini menarik perhatian masyarakat dunia.

Kisah keberanian dan susah payah mereka ketika menyelamatkan pendaki terbabit kini tersebar dengan meluas melalui media tempatan dan asing.

Ramai pendaki yang terkandas di gunung tertinggi di Asia Tenggara itu memuji kemahiran dan ketangkasan wira berkenaan dalam menyelamatkan mereka selepas gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter melanda Ranau pada 7.15 pagi Jumaat, yang turut menggegarkan Gunung Kinabalu.


Australian Broadcasting Corporation (ABC) dalam laporannya menyifatkan malim Gunung Kinabalu sebagai wira yang perlu diberi sanjungan.

Pendaki Australia, Vee Jin Dumlao memberitahu ABC bahawa beliau amat terhutang budi kepada malim gunung bernama Jomius, yang bertungkus lumus membantu para pendaki untuk tiba di tempat selamat selepas kejadian itu.

"Malim gunung adalah wira sejati. Mereka menggadai nyawa dan membuat keputusan rumit, yang akhirnya berjaya menyelamatkan nyawa kami," katanya.


Cable News Network (CNN) pula melaporkan bahawa para malim gunung muncul sebagai wira dalam menyelamatkan mereka yang terkandas di puncak Gunung Kinabalu berikutan gempa bumi itu.

Pendaki tempatan, Nurul Hani Ideris, 29, memberitahu CNN: "Para malim gunung itu nampaknya tahu setiap inci kawasan dan berjaya membuka ruang melalui landskap yang musnah teruk, dengan memotong dahan serta mengikat tali untuk mewujudkan laluan baharu".

Lynn Siang, seorang jurucakap agensi pelancongan, menyifatkan para malim gunung berkenaan sebagai wira kerana melaksanakan tugas penting dalam usaha menyelamat di laluan yang terhalang oleh bongkah batu melalui penggunaan tali.


"Apabila pendaki selesai melintas tali itu, mereka akan memijak bahu malim gunung yang menjadikan tubuh mereka sebagai kusyen," katanya kepada CNN.

Setakat ini, gempa bumi itu disahkan meragut nyawa 13 pendaki, termasuk seorang malim gunung bernama Robbi Sapinggi, manakala sekurang-kurangnya 6 lagi masih belum dapat dikesan. – Bernama, 7 Jun, 2015.

BACA JUGA SARANAN PEMUDA UMNO SABAH KEPADA KERAJAAN MALAYSIA BERHUBUNG PERKARA YANG SAMA. 


No comments:

Post a Comment