Pages

Friday, May 6, 2016

PERKEMBANGAN TERKINI NAHAS HELIKOPTER: SATU MAYAT WANITA TELAH DITEMUI!!!



Berita ini mungkin tidak menyeronokkan walaupun ramai yang sudah dapat menjangka apa yang akan berlaku hari ini sebaik-baik sahaja berita tentang kehilangan helikopter berkenaan diumumkan.

Sinar Harian melaporkan:

[DIKEMASKINI] Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak mengesahkan penemuan mayat wanita berdekatan lokasi serpihan helikopter ditemui, sebentar tadi.

Namun, Pengarahnya, Nor Hisham Mohamad menafikan maklumat dua mayat ditemui setakat ini seperti yang tersebar di media sosial.

“Setiap minit kami berhubung dengan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dan setakat ini hanya satu mayat wanita yang ditemui.


“Ada maklumat jadi viral yang mengatakan ada dua mayat ditemui. Itu tidak benar,” katanya dipetik melalui Buletin Awani, sebentar tadi.

Menurutnya, mayat wanita itu ditemui di tebing hulu 15 kilometer Sungai Batang Lupar kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Pencarian mangsa lain pula tertumpu pada radius empat kilometer daripada mayat mangsa pertama ditemui.

“Kita dalam proses utk membawa balik mayat ke jeti untuk pengesahan polis dan hospital. Kita jumpa mayat wanita itu tersangkut di tebing sungai,” katanya.

Pagi tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan pasukan SAR telah menemui serpihan pesawat dipercayai milik helicopter Eurocopter AS350 di kawasan bersebelahan Sungai Batang Lupar.


Pesawat jenis Eurocopter AS350 itu berlepas dari Betong pada 4.12 petang dalam penerbangan ke Kuching sebelum terputus hubungan dengan menara kawalan dan hilang 20 minit kemudian.

Helikopter yang membawa enam orang termasuk juruterbangnya itu ialah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan suami, Asmuni Abdullah serta Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar.

Penumpang lain ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Ann Amalai serta pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri.

Pesawat itu dilaporkan diterbangkan oleh Kapten Rudolf Rex Ragas.


No comments:

Post a Comment