Pages

Sunday, June 11, 2017

54 DARIPADA 60 KERUSI PARLIMEN FELDA, MASIH SELAMATKAH UNTUK UMNO-BN SELEPAS PARTI CAP BUNGA AKAN GUNA PENGARUH DR. MAHATHIR UNTUK DAPATKAN UNDI PENEROKA?!!!



Awal Januari 2017, dalam satu mesyuarat DAP yang berlangsung di Wisma DAP, Jalan Rangoon yang dihadiri pemimpin-pemimpin kanan parti itu dan dipengerusikan oleh Chow Kon Yeow, keikhlasan Parti Cap Bunga yang dipengerusikan oleh Dr. Mahathir dan diPresidenkan oleh Muhyiddin Yassin dipersoalkan oleh kebanyakan pemimpin-pemimpin kanan DAP itu.

Malah beberapa orang daripada mereka turut mempersoalkan keghairahan Dr. Mahathir menghentam Najib dan kemudian berbaik-baik dengan Lim Kit Siang dalam tujuan untuk menaikkan anaknya, Mukhriz Mahathir di samping membela kroni-kroninya yang hilang kepentingan akibat dasar-dasar dan polisi-polisi baru pentadbiran Najib Abdul Razak.

Isunya adalah berkisar tentang pembahagian kerusi yang akan ditandingi. Kemasukan Parti Cap Bunga ke dalam Pakatan Harapan yang diketuai dan diterajui oleh DAP, menambah sukar untuk DAP menjadi dominan.

Chow Kon Yeow akhirnya meredakan kekecohan tersebut dengan menyatakan DAP Pusat hanya membenarkan Parti Cap Bunga bertanding di kerusi-kerusi FELDA sahaja.

FELDA mempunyai 60 kerusi Parlimen dan 92 kerusi DUN. Daripada 60 kerusi Parlimen itu, UMNO-BN menguasai 54 kerusi. Hanya beberapa kerusi Parlimen dan DUN FELDA sahaja yang berjaya dirampas oleh PAS atau PKR dari tangan UMNO-BN. Tanah Rancangan Persekutuan yang didominasi oleh pengundi-pengundi Melayu itu - walaupun di beberapa tanah rancangan terdapat campuran kaum Cina, India dan Melayu - mempunyai 317 kawasan penempatan peneroka, dan merupakan satu perempat daripada 222 jumlah kerusi Parlimen serta 96 kerusi DUN. Felda Plantation sahaja memiliki tanah seluas 341,000 hektar, majoriti di Sabah dengan keluasan 100,000 hektar.

Di Pahang sahaja, 12 daripada 14 kawasan Parlimennya mempunyai penempatan FELDA. Di DUN negeri itu pula, 27 daripada 42 kawasan adalah FELDA.


Kali pertama DAP mula mengintai kerusi-kerusi FELDA adalah pada pertengahan tahun lepas selepas menjadi dalang kepada PKR dan ANAK menghasut masyarakat FELDA dari tahun 2013. Bagaimanapun, 'kesilapan' menghasut yang diterajui oleh PKR dan ANAK menyaksikan hampir kesemua kes peneroka menentang FELDA yang dibawa ke mahkamah, berakhir dengan kekalahan dan para peneroka tersebut terpaksa membayar gantirugi yang besar selain kehilangan manfaat lain dari FELDA serta bayaran guaman yang tidak berkurang satu sen pun. 8 orang peneroka pula kalah dalam saman terhadap Perdana Menteri dan diperintahkan membayar ganti rugi kepada Perdana Menteri.

PKR lebih awal cuba menembusi kerusi-kerusi FELDA setelah mengambil kira asas yang telah dibuat oleh PAS ketika PAS berada dalam Barisan Nasional dan ketika PAS diberikan tanggungjawab menjaga FELDA pada waktu itu.

Antaranya, pada 13 Februari lalu Felda dan anak syarikatnya, Felda Global Ventures Holdings (FGVH) Sdn. Bhd. beroleh ganti rugi RM70,000 setelah memenangi kes saman mereka terhadap Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan dua lagi.

Ini berhubung penerbitan dua artikel berbaur fitnah dalam akhbar mingguan, Suara Keadilan, kira-kira tujuh tahun lalu. ­Pernyataan fitnah itu terkandung dalam artikel pertama bertajuk ‘Felda Bankrap’ yang diterbitkan pada 22 Jun 2010 dan artikel kedua berserta gambar bertajuk ‘Kontroversi’ dan ‘Bina Bangunan RM662 juta Hanya Libatkan Tiga Individu’ bertarikh 29 Jun 2010 yang diterbit dan diedarkan oleh akhbar itu.

Pada tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuantan, Pahang turut menolak saman dikemukakan 571 peneroka daripada Felda Chini dan Chini Timur di Pekan terhadap Felda dan sebuah anak syarikatnya atas dakwaan menipu kadar perahan minyak kelapa sawit serta pecah amanah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mariana Yahya membuat keputusan itu selepas mendapati plaintif gagal membuktikan dakwaan itu setelah mendengar keterangan 24 saksi daripada kedua-dua belah pihak sepanjang 51 hari perbicaraan sejak 2014.

Beliau memerintahkan kesemua plaintif membayar kos ganti rugi berjumlah RM300,000 kepada Felda dan Felda Palm Industries Sdn. Bhd.

Demikian juga pada 29 Mei 2015 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan tuntutan Felda dan memerintahkan Mazlan dan Angkatan Edaran Enterprise Sdn. Bhd. membayar kepada Felda RM350,000 sebagai ganti rugi am dan ganti rugi teruk.

Sekarang ini, Parti Cap Bunga benar-benar mahu membuktikan kepada DAP bahawa Dr. Mahathir mempunyai pengaruh yang sangat besar kepada masyarakat pengundi FELDA walaupun ketika berkuasa selama 22 tahun, tidak banyak yang dilakukannya untuk masyarakat FELDA sebagaimana yang dibuat oleh Najib Abdul Razak.

Selepas gerakan-gerakan mencemarkan reputasi FELDA giat dijalankan bagi memecahbelahkan peneroka dan generasi muda FELDA yang dilakukan oleh PKR dan ANAK yang diketuai oleh Mazlan Aliman, Cap Bunga masuk dan dengan menggunakan pengalaman mereka di dalam UMNO, pelbagai dakyah dan tohmahan baru dibuat bagi membolehkan sekurang-kurangnya 29 kerusi Parlimen FELDA berjaya ditawan oleh Cap Bunga pada PRU akan datang.


Ironinya, seperti yang diakui oleh Ketua Penerangan PPBM Kamaruddin Mohd Nor pada 18 Mei 2017, seandainya prestasi FELDA baik, para peneroka akan terus menyokong. Bagaimanapun, beberapa kemelut yang melibatkan pentadbiran dan pengurusan FELDA dan anak syarikat terutamanya FGV, menyebabkan sokongan kepada UMNO-BN merosot.

FELDA sebagai deposit selamat BN mungkin tidak keterlaluan kalau dikatakan, sudah tinggal sejarah. Masalah kewangan dan dakwaan salah laku dalam pentadbiran FELDA, selain ramai peneroka yang menanggung hutang besar di samping bergelut menyara kehidupan seharian, adalah antara faktor utama yang mungkin akan menyaksikan perpindahan sokongan dari UMNO-BN kepada Pakatan, khususnya Cap Bunga.

Antara faktor besar yang masih diperkatakan ialah, kekecewaan sebilangan besar peneroka kerana tidak dapat pulangan setimpal daripada pelaburan mereka dalam FELDA Global Ventures Holdings yang disenaraikan di Bursa Saham Malaysia pada 2012 dan menarik perhatian ramai apabila meraih tawaran awam awal (IPO) berjumlah RM10.5 bilion, kedua terbesar selepas Facebook, sekaligus membolehkan keluarga peneroka menerima 'durian runtuh' berjumlah RM15,000.

Namun dari sehari ke sehari, saham-saham FGV jatuh harga dan merudum. Daripada harga mencecah RM5.00 seunit, kini berada di bawah paras RM2.00.

Laporan Ketua Audit Negara sebelum ini juga mencetuskan kebimbangan apabila menyatakan wujudnya salah guna dana mencecah RM200 juta. Pengakuan Pengerusi baru FELDA Tan Sri Shahrir Samad bahawa banyak perkara dalam FELDA dilakukan tanpa mengikut protokol dan prosedur sebelum ini, pastinya akan akan mengambil masa untuk memenangi semula keyakinan para peneroka FELDA.

3 comments:

  1. Takkanlah Melayu masih cinta dgn kebudayaan rasuah yg menular dlm UMNO sampai Negara nak bankrap.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Jenis ini kalau tak curi dia buat hara kiri. Curilah sebanyak mungkin sebelum Negara jadi botak.

      Delete
  2. Sebetulnya la kalau patie madey bertanding lebih dari 100kerusi parah umno/bn.
    Tapi dont be khuatir la mana geng2 pukatan nak bagi ruang.
    Hahaha

    ReplyDelete