Pages

Friday, June 9, 2017

MASA JADI MB, TAK PERNAH TAHU, TAK PERNAH PERGI KE PULAU TUBA, LEPAS HILANG KUASA, RAJIN PULA MUKHRIZ PI HASUT PENDUDUK PULAU TUBA!!!



Selepas Jerlun tidak lagi menjadi kubu kuat Mukhriz Mahathir, ditambah pula PAS Jerlun dilihat bertungkus-lumus untuk merampas kawasan berkenaan, sasaran untuk dijadikan kubu kuat Mahathir dan Mukhriz adalah Langkawi.

Di Jerlun, Aziz Othman dan Abu Hassan Sharif bagaikan lembaga hitam kepada Mukhriz Mahathir. Apakan tidak, kedua-dua orang inilah yang telah memberikan laluan dan menatang Mukhriz ketika Mukhriz masih di dalam UMNO demi mematuhi 'perintah' pemimpin atasan yang melihat Mukhriz boleh menjadi faktor kemenangan UMNO-BN pada PRU yang lalu.

Mukhriz menang di Jerlun sama ada sebagai Ketua UMNO Bahagian mahupun sebagai ADUN Ayer Hitam atau sebelum itu Parlimen Jerlun kerana kerjasama yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin setempat walaupun sebenarnya Mukhriz amat asing dengan masyarakat dan pengundi di Jerlun.

Namun Mukhriz tidak bijak dalam perjuangan. Terperangkap dan tersepit antara bapa dan ketiadaan bakat sebagai seorang pemimpin menjadikan Mukhriz sebagai pemimpin yang tidak pernah peduli masalah rakyat.

Ini terbukti sepanjang tiga tahun dia menjadi Menteri Besar, terlalu banyak janji yang dibuatnya tetapi tidak pernah disusuli dengan rangka kerja yang lebih jitu. Contoh terbaik ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim yang akhirnya menjadi bahan ketawa kerana Mukhriz bukan sahaja gagal menyediakan peruntukan, bahkan kawasan yang akan dijadikan lapangan terbang pun, tidak dapat dikenalpasti. Lebih malang lagi, sepanjang tiga tahun Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah, Kulim Hi-Tech yang pernah menjadi nadi ekonomi di selatan Kedah, terbiar sama seperti ketika PAS menjadi Kerajaan Negeri Kedah.

Pendek kata, tiada sebarang perubahan yang dibuat oleh Mukhriz yang berulang-alik Alor Star ke Kuala Lumpur tiga kali seminggu menggunakan penerbangan Firefly.

Apabila dipecat dari UMNO sekaligus kehilangan jawatan selaku Menteri Besar Kedah, Mukhriz mulai memperlihatkan perubahan. Banyak tempat yang tidak pernah dijejakinya sepanjang dia bergelar Ahli Parlimen, ADUN bahkan Menteri Besar, mulai disinggahi dan cuba dikenali.

Sungai Petani dan Merbok yang pernah dipertanggungjawabkan kepadanya ketika kemelut dan krisis kepimpinan UMNO kedua-dua kawasan tersebut, tetapi kemudiannya diselesaikan oleh Ahmad Bashah, telah dijadikan kubu kuat oleh Mukhriz dan Cap Bunga. Mukhriz dan Cap Bunga seringkali mendabik dada, mereka sangat rapat dengan masyarakat Sungai Petani dan Merbok walaupun sebenarnya semasa berkuasa, Mukhriz terlalu jarang mengambil tahu apa yang berlaku di kedua-dua kawasan terbabit.

Sekarang ini, tumpuan diberikan kepada Langkawi, kawasan atau pulau yang dilihat menjadi kubu kuat bapanya, Dr. Mahathir. Pembangunan Langkawi seringkali disandarkan kepada Dr. Mahathir walaupun hakikatnya, pembangunan dan bangunan-bangunan serta pusat-pusat peranginan megah di pulau tersebut dimiliki oleh kroni-kroni Mahathir, manakala penduduk tempatan sekadar menjadi pekerja bawahan bergaji bawah RM1000 sebulan.

Ironinya, selain Pulau Langkawi, Mukhriz dan bapanya sangat rajin melawat Pulau Tuba.

Pulau Tuba terletak 3 kilometer ke selatan Pulau Langkawi dan bersebelahan dengan Pulau Dayang Bunting, pulau yang berkeluasan 20 kilometer persegi ini merupakan kawasan penempatan nelayan dan petani miskin yang terpisah daripada arus pembangunan deras di Langkawi. Pulau Tuba hanya boleh dihubungi menerusi jalan laut menggunakan feri di jeti Kedah Marbles yang terletak berhampiran dengan Kompleks Jetty Point.

Hanya di bawah pentadbiran Ahmad Bashah dan telah diluluskan oleh Najib Abdul Razak pada Februari 2017, penduduk Pulau Tuba yang berjumlah lebih kurang 5000 orang itu akan menikmati bekalan elektrik 24 jam sehari. Sebelum ini, penduduk Pulau Tuba sekadar menikmati elektrik pada sebelah malah menggunakan janakuasa yang dibekalkan TNB.

Projek Kabel Dasar Laut yang telah dimulakan oleh TNB itu yang bernilai RM50 juta telah dimasukkan oleh Kementerian Luar Bandar dan Wilayah dalam Projek Malaysia Ke-10 dan telah diluluskan oleh Perdana Menteri, Najib Abdul Razak.

Pada peringkat awal, bekalan elektrik dari kabel dasar laut itu akan disalurkan meliputi Kampung Pulau Tuba Barat, Pulau Tuba Timur, Selat Bagan Nyior, Lubuk Chempedak dan Bagan Pauh.

Ketika Kedah di bawah pentadbiran Osman Arof, Menteri Besar itu pernah cuba membangunkan Pulau Tuba sebagai salah satu pusat pengajian. Walau bagaimanapun, Osman Arof dilucutkan jawatan apabila Dr. Mahathir berkehendakkan Sanusi Junid menjadi Menteri Besar Kedah menggantikan Osman Arof.

Sanusi Junid pernah cuba membangunkan Universiti Antarabangsa Langkawi untuk Masa Hadapan atau Langkawi International University of Tomorrow (LIUT). Bagaimanapun, tapak berkeluasan 500 ekar untuk projek tersebut, dijual. Pulau Tuba kekal sebagai sebuah pulau perkampungan nelayan dan petani miskin walaupun Kedah bersilih ganti Menteri Besarnya. Percubaan Mahdzir Khalid untuk memajukan Pulau Tuba sebagai pulau peranginan juga telah digagalkan apabila projek tersebut dicantas apabila ada kroni yang tidak berpuas hati kerana tidak memperolehi projek berkenaan.

Mukhriz tidak pernah tahu tentang Pulau Tuba. Tidak pernah menjejakkan kaki ke Pulau Tuba sepanjang bergelar Menteri Besar Kedah. Namun selepas dia kehilangan kuasa dan dipecat dari UMNO, Mukhriz mencemarkan kakinya memijak tanah Pulau Tuba bersama-sama bapanya, Dr. Mahathir.

Sekarang, Pulau Tuba adalah antara destinasi popular Mukhriz Mahathir. Dr. Mahathir yang tidak pernah menyokong pembangunan Pulau Tuba, juga acapkali ke pulau tersebut, memberikan janji-janji kepada penduduk selain memburuk-burukkan pentadbiran Najib dan Ahmad Bashah yang telah mengubah masyarakat miskin pulau tersebut dengan infrastruktur yang lebih baik berbanding zamannya, zaman Sanusi Junid apatah lagi zaman pentadbiran anaknya.

Petang semalam, Mukhriz ke Langkawi lagi. Menurut maklumat, dia hanya singgah sebentar ke Pulau Langkawi sebelum pada sebelah malamnya akan ke Pulau Tuba.

Sesuatu yang tidak pernah dilakukannya semasa berkuasa tetapi tiba-tiba menjadi rajin dalam pemburuan kuasa dan cubaan bertapak di Pulau Langkawi.

Ironinya, golongan seperti Mukhriz Mahathir yang tidak pernah peduli dengan nasib penduduk miskin, tiba-tiba sahaja berkulit muka tebal dan terhegeh-hegeh cuba mendapatkan sokongan selepas pihak lain telah memperkukuhkan infrastruktur di pulau berkenaan.


1 comment:

  1. Cakap banyak tak guna bro....
    Mai kita tunggu PRU 14 nanti.
    Masa tu kita tau siapa yg tak cukup tanah nak lari...

    ReplyDelete