Matlamat utama berpolitik adalah untuk berkuasa dan memberikan kuasa kepada puak sendiri. Isu-isu lain yang seringkali dibangkitkan untuk merasionalisasikan matlamat tersebut hanyalah recehan atau kosmetik semata-mata.
Dek kerana itulah, apabila orang politik bercakap tentang perjuangan rakyat, memperjuangkan keadilan atau mereformasikan pentadbiran negara, waimma untuk menegakkan sebuah negara beragama, ia tidak lebih daripada halwa telinga untuk menyedapkan telinga para pendengar.
Hanya golongan bebal dan naif sahaja yang akan percaya bulat-bulat apa yang dikatakan oleh orang politik. Dan hanya orang bebal dan naif sahaja yang beria-ia mengutuk sesebuah parti tetapi memberi sokongan kepada bekas pemimpin parti terbabit terutama yang telah dipecat atau mengisytiharkan diri keluar dari parti yang dikutuk itu.
September 1998, bermulalah era Reformasi. Apa yang tidak dikatakan kepada Mahathir. Apa label keji yang tidak diberikan kepada Mahathir. Malahan, Mahathir bukan sahaja didesak untuk meletakkan jawatan, sebaliknya ikrar kepada massa bahawa semua perbuatan dan penyelewengan Mahathir akan menghantar Mahathir ke penjara, manakala harta negara yang dibedak-bedakkan di kalangan kroni dan anak-anaknya akan dirampas dan diserahkan kembali kepada rakyat.
Hari ini, golongan yang sama, golongan yang pada 1998 dahulu melalak sampai terkeluar anak tekak tentang kebencian mereka terhadap Mahathir, menyanjung dan menjilat segala caci maki mereka terhadap Mahathir. Tidak itu sahaja, PAS yang pada tahun 1998 menyokong Anwar Ibrahim dan mendukung kuat GERAK, kemudian ADIL, kemudian Keadilan, kemudian PKN dan akhir sekali PKR, bukan sahaja dicemuh, malahan kenyataan keji Mahathir terhadap PAS, diberikan tepukan gemuruh.
Semuanya kerana terpesona dengan Mahathir!
Namun dalam 'kegembiraan' orang-orang Mahathir kerana PKR, DAP dan PAN menyembah lutut Mahathir, biarpun sebenarnya Mahathir yang melutut Lim DAP anak beranak, masih ada saki-baki kepercayaan bahawa orang yang tidak dapat menerima Mahathir sebagai calon Perdana Menteri dan Pengerusi Pakatan Harapan adalah Azmin Ali.
Golongan tersebut menyifatkan, apa yang berlaku sekarang adalah satu helah yang sangat halus dan terperinci. Pada permukaan kelihatan Mahathir disokong, tetapi seperti yang diketahui, Azmin Ali tidak sahaja bermusuh dengan keluarga Mahathir, tetapi dia juga tidak disenangi di kalangan keluarga Anwar Ibrahim. Cita-cita Azmin Ali yang terlalu besar sebagai Perdana Menteri, merupakan faktor utama.
Apa yang berlaku sekarang merupakan usaha terbaik untuk memusnahkan kedua-dua keluarga tersebut. Mahathir mungkin akan menang kalau dia bertanding dalam PRU nanti. Mukhriz juga akan menang kerana Mahathir sudah tentu akan memastikan kerusi selamat untuk anaknya itu. Tetapi para pengikut Mahathir yang lain, berhadapan dengan masalah yang paling besar pada PRU kelak kerana mereka bukan sahaja berhadapan dengan calon-calon UMNO-BN tetapi juga berhadapan dengan calon-calon PAS yang sudah tentu akan disokong pula oleh jentera pilihanraya negeri yang lebih efisien berbanding PPBM yang sekadar mengharapkan aura Mahathir sebagai bekas Perdana Menteri.
Pada ketika, sebahagian pemimpin DAP seperti Ngeh Kor Ham susah hati dan bimbang seandainya pengundi-pengundi luar tidak pulang mengundi, terutama sekali pengundi-pengundi berbangsa Cina selepas trend menunjukkan semangat 'Ubah' pengundi-pengundi muda Cina mulai menurun secara drastik, gelombang besar sokongan orang Melayu terhadap PPBM yang pernah digelarkan sebagai 'Tsunami Melayu', tidak pula muncul-muncul sampai ke hari ini. Yang muncul hanyalah kekalutan silat dan silambam Mahathir untuk menepis pelbagai skandal serta penyelewengan wang dan harta negara pada zamannya.
Anwar Ibrahim sudah tentu tidak boleh terlibat dengan PRU kali ini. Kalau boleh pun, dia hanya akan terlibat pada PRU-15 yang dijangka pada tahun 2023. Kalaupun dibebaskan dari penjara sepertimana yang dikatakan oleh Wan Azizah pada Jun nanti, Anwar berhadapan dengan 'perintah berkurung' selama lima tahun sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Ini adalah peluang besar Azmin Ali untuk memakukan paku terakhir di keranda keluarga Anwar Ibrahim. Sekarang pun Anwar Ibrahim sekeluarga telah dimalukan apabila menerima Mahathir sebagai pemimpin utama dan harapan terbesar Pakatan. Tidak sedikit golongan yang suatu ketika dahulu bersungguh-sungguh bermusuh dengan Mahathir, boleh menerima Mahathir dengan mudah walaupun kononnya keluarga Anwar Ibrahim telah memaafkan Mahathir.
Kenyataan penolakan Mahathir sebagai calon PM oleh Zuraida Kamaruddin, penentangan oleh puak-puak Reformis 98 biarpun cuba dipujuk oleh Hishamuddin Rais, ketidakpuasan hati PAN kerana pembahagian kerusi dan sebagainya, merupakan isyarat-isyarat besar bahawa masalah sebenar mereka bukanlah Najib Abdul Razak atau UMNO, sebaliknya Mahathir dan PPBM!
Siapa kepala dan arkiteknya!
Geng-geng anti kartel yang sebenarnya pro-Rafizi, menuduh Azmin yang merangka semuanya... dua ekor burung dibunuh dengan seketul batu, kata mereka!
No comments:
Post a Comment