Pages

Saturday, November 30, 2019

IPCMC: PDRM SUDAH SEPATUTNYA DESAK DISEDIAKAN PERUNTUKAN KERUSI PARLIMEN BAGI MENGELAKKAN DIPERBODOH-BODOHKAN OLEH PARTI POLITIK!!!



Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Ismail Sabri Yaakob telah memaklumkan keputusan blok pembangkang untuk menolak usul Rang Undang-Undang (RUU) Penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang telah dibentangkan di Parlimen sebelum ini dan dibawa kepada 'special select committee' untuk mendengar pandangan dari pihak polis dan juga orang ramai termasuklah pakar perundangan.

Difahamkan, semua 'stakeholders' telah dirundingi dan 'special select committee' ini juga telah turun ke negeri-negeri untuk mendengar pandangan daripada semua pihak.


Namun menurut Ismail Sabri, setelah membaca laporan daripada 'special select committee' itu dan mendapat maklumat, ternyata bahawa 'select committee' itu hanyalah kosmetik dan lakonan semata-mata.

'Select committee' telah berunding dengan 'stakeholders' bersama pakar perundangan Perlembagaan yang juga dipanggil untuk memberikan pandangan. Mereka juga tidak bersetuju dan berpandangan bahawa IPCMC adalah bertentangan dengan Perkara 140 dan 135 Perlembagaan Persekutuan.


Pihak kerajaan bagaimanapun, tidak menghiraukan pandangan 'stakeholders' kepada 'select committee' itu dan tetap berhasrat untuk membentangkan RUU berkaitan. (RUJUK SINI)

Walaupun sehari selepas ulangtahun pertama kemenangan Pakatan Harapan sebagai Kerajaan Persekutuan iaitu pada 10 Mei 2019 Ketua Polis Negara, Hamid Bahador menyatakan polis bersetuju dengan penubuhan IPCMC dengan jaminan peranan dan suara polis tidak akan terhakis (RUJUK SINI) namun pada 28 November 2019 yang lepas, Abdul Hamid sendiri meminta agar diberikan lebih masa dan ruang untuk libat urus dan berbincangan tentang isu-isu yang dibangkitkan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019. (RUJUK SINI)

Menurut Abdul Hamid, terdapat banyak isu yang dibangkitkan dalam cadangan RUU itu, tidak diberikan perhatian sewajarnya dan adil.


“Pada awalnya, saya mengalu-alukan IPCMC kerana saya percaya RUU itu bagus untuk negara kerana ia memberikan pendekatan menyeluruh dalam memantau PDRM tetapi akhir-akhir ini saya dapat lihat usaha untuk menyegerakan RUU itu di parlimen dengan banyak kekaburan dibangkitkan sendiri PDRM, adalah tidak bagus.

“Berikanlah masa untuk RUU itu diperhalusi dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen menyelesaikan semua isu yang dibangkitkan. Maka, akan ada undang-undang yang baik, adil untuk semua – kerajaan, rakyat dan PDRM apabila ia diluluskan parlimen,” katanya.

RUU IPCMC 2019 dijangka dibentang di Dewan Rakyat minggu depan. Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata cadangan penambahbaikan RUU itu dikemukakan kepada semua Ahli Parlimen.

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berkenaan Menimbang Rang Undang-Undang mengesyorkan 36 perubahan kepada RUU IPCMC.



Bagaimanapun, beberapa pihak termasuk Persatuan Pegawai Kanan Polis menggesa kerajaan menangguhkan rancangan untuk membentangkan RUU itu minggu hadapan kerana pandangan mereka tidak diambil kira dan tiada perubahan dibuat.

150,000 orang anggota dan pegawai polis sekarang, nasib mereka ditentukan oleh orang politik yang berselindung di sebalik IPCMC?


Sedangkan sepatutnya, sebelum rang undang-undang tersebut dibentangkan, orang politik dan kerajaan seharusnya menjaga kebajikan anggota pasukan itu dan keluarga mereka terlebih dahulu. Bukan tidak ada di Sabah dan Sarawak, pondok-pondok dan rumah-rumah polis dalam keadaan yang sangat daif dan memerlukan penambahbaikan tetapi langsung tidak dihiraukan. Bahkan banyak balai-balai polis di bandar-bandar besar termasuklah di Kuala Lumpur sendiri, prasarananya terlampau daif termasuklah alat pendingin hawa yang tidak berfungsi. 

150,000 orang anggota dan pegawai polis itu sedang bertugas dan mempertaruhkan masa dan nyawa mereka dalam mempertahkan keselamatan dan keamanan negara. Namun nampaknya, pihak kerajaan lebih berminat untuk menjaga keselamatan pihak penjenayah dengan mengenakan tekanan kepada PDRM. 

Sebenarnya IPCMC tidak perlu wujud pun kerana sudah ada undang-undang dan akta khusus yang lebih baik berbanding IPCMC iaitu EIAC atau Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan. Suruhanjaya tersebut bukan sahaja untuk pasukan polis, tetapi juga 21 agensi penguatkuasaan yang lain.

Mengapa Kerajaan Pakatan hanya berminat untuk memperuntukkan satu suruhanjaya khusus untuk polis sahaja? Apa sebenarnya yang cuba diselindungi dan dilindungi oleh pihak kerajaan dan orang-orang yang akan dilantik menganggotai IPCMC?


Keterdesakan Kerajaan Pakatan untuk menubuhkan IPCMC dan pada masa yang sama, sebahagian besar daripada mereka yang membela kumpulan pengganas, penjenayah dan kongsi gelap pula merupakan peguam-peguam yang juga merupakan pemimpin-pemimpin DAP, terlalu menimbulkan persoalan. Sebelum ini, merekalah yang paling lantang mengutuk dan mengkritik polis kerana melaksanakan penguatkuasaan yang mereka katakan sebagai mencabul hak asasi manusia. Namun sekarang, setelah menjadi kerajaan, mereka seolah-olah cuba membalas dendam terhadap polis menerusi kewujudan IPCMC. 

Tidakkah itu menimbulkan banyak persoalan dan teka-teki?


Mungkinkah sudah sampai masanya pula, PDRM dan ATM perlu meminta peruntukan agar sekurang-kurangnya 10 kerusi Parlimen dikhususkan bagi setiap pasukan keselamatan tersebut supaya PDRM dan ATM tidak lagi diperbudak-budakkan oleh orang politik mahupun peguam-peguam yang menjadi orang politik. 

Selagi PDRM dan ATM berada di bawah telunjuk orang politik, bukan kata IPCMC sahaja yang akan ditubuhkan, bahkan apa sahaja operasi dan perancangan PDRM dan ATM untuk memastikan keselamatan negara, akan dikacau ganggu oleh mereka yang berkepentingan dalam politik di negara ini.

Banyak negara di dunia ini yang mengamalkan demokrasi termasuklah di beberapa buah negara jiran Malaysia, memperuntukkan sejumlah kerusi Parlimen kepada polis dan tentera mereka sekaligus menghalang orang politik daripada berbuat sewenang-wenangnya dalam keselamatan dan keamanan negara dengan memperkotak-katikkan polis serta tentera. 

Wednesday, November 27, 2019

ALASAN-ALASAN PALING TIDAK MUNASABAH AHLI PARLIMEN KERAJAAN BAGI MENGHALALKAN PERBUATAN MEREKA PONTENG SIDANG DEWAN DAN MAKAN GAJI BUTA!!!


Sidang Dewan Rakyat kosong. Menteri dan Timbalan Menteri hilang entah ke mana dan tidak menjawab soalan-soalan yang berkaitan dengan Kementerian mereka. Perdana Menteri telah menegur berkali-kali berhubung ketiadaan Ahli-Ahli Parlimen Kerajaan semasa sidang Dewan Rakyat.

Dan malam 26 November, Kerajaan Pakatan hampir dimalukan kalau tidak kerana diselamatkan oleh undi 3 orang Ahli Parlimen GPS dan Bebas yang memihak kepada mereka apabila Bajet 2020 untuk Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Komuniti hampir tidak diluluskan kerana tidak cukup undi daripada pihak kerajaan.

Ketua Whip PKR, Johari Abdul memberitahu, undi belah bahagi merupakan taktik yang digunakan oleh pembangkang untuk menyerang hendap Kerajaan di Parlimen. Taktik yang serupa pernah digunakan oleh Pakatan yang menjadi pembangkang terhadap Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.


Menurut Johari, dia menyedari yang pembangkang mensasarkan Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Komuniti menerusi undi belah bahagi memandangkan kementerian tersebut bermenterikan Wan Azizah Wan Ismail yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri.

"Apabila saya melihat wajah-wajah yang kurang popular di Parlimen, saya tahu sesuatu sedang berlaku. Ahli-Ahli Parlimen BN tidak pernah berada lama di Parlimen," katanya.

Johari Abdul turut memberikan alasan mengapa begitu ramai Ahli-Ahli Parlimen Pakatan ponteng sesi prosiding Dewan Rakyat.

"Dalam sesi Bajet ini, kami selalunya lambat habis. Biasanya sekitar pukul 10.00 atau 10.30 malam. Apabila kami pulang, biasanya sekitar 12 tengah malam dan selepas membersihkan diri, jam sudah 1.00 pagi. Selepas mengucapkan 'hai' kepada isteri, jam sudah pun 1.30 pagi. Jadi apabila kita bangun, kadang-kala kita sudah terlewat untuk sesi pagi. Mungkin kami akan berbincang dengan Speaker untuk melihat bagaimana Ahli-Ahli Parlimen boleh mempunyai masa berkualiti," katanya. (RUJUK SINI)


Sementara itu, jika Ketua Whip PKR memberikan alasan keletihan sebagai punca mengapa Ahli Parlimen Kerajaan kurang di Dewan Rakyat, lain pula alasan yang diberikan oleh Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin.

Hanipa Maidin menjadikan kesejukan dalam dewan sebagai penyebab tidak ramai wakil rakyat mampu duduk berjam-jam sepanjang persidangan berlangsung.

Menurutnya, adalah mustahil bagi wakil rakyat untuk terus menahan kesejukan itu dalam tempoh masa yang lama. Suasana sama juga sering berlaku di mana-mana Parlimen di negara lain.

"Bukan mudah untuk kami duduk dalam jangka masa yang lama. Ada ketikanya, ia sangat sejuk. Di mana-mana sahaja di (Parlimen) negara lain, anda tidak boleh jangka Ahli Parliman terus duduk dalam dewan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen. (RUJUK SINI)


Bagaimanapun, alasan yang diberikan oleh Menteri Undang-Undang, Liew Viu Keong jauh lebih menarik. Menurutnya, Ahli-Ahli Parlimen Kerajaan bosan dengan gelagat Ahli-Ahli Parlimen pembangkang yang menurutnya tidak mengikut peraturan dan seringkali membuat bising.

"Kebanyakan mereka di kalangan pembangkang, sering berdebat secara tidak beretika. Mereka hanya menjerit dan membuat bising. Adakalanya kami tidak selesa duduk dalam Dewan kerana mereka hanya membangkitkan isu-isu yang tidak relevan berbanding subjek (yang diperdebatkan). Justeru, disebabkan itulah, ramai Ahli Parlimen yang pergi ke lounge untuk minum kopi," katanya. (RUJUK SINI)



PENJAWAT AWAM: ABU MAYAT CHIN PENG DAN DAULAH TERPENDAM... ADAKAH MENYERUPAI GERAKAN BLACK-OUT SATU NEGARA UNTUK MEWUJUDKAN IPP?!!!



Kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Azis Jamman bahawa pihaknya akan melakukan siasatan berhubung penyeludupan masuk abu mayat ketua pengganas, Chin Peng tidak ubah seperti satu permainan tarik tali dan melepaskan diri semata-mata.

Sekaligus kenyataan bahawa KDN tidak tahu menahu berhubung kemasukan tersebut, memberikan beberapa kesan besar kepada integriti pihak berkuasa, khususnya yang terbabit dalam menjaga keselamatan, bahkan yang lebih utama lagi adalah membabitkan perisikan seperti MIO dan Cawangan Khas PDRM.

Dalam kenyataannya yang dipetik oleh media, Azis Jamman mengatakan KDN hanya mendapat maklumat berhubung penyeludupan masuk abu mayat Chin Peng selepas menerima persoalan daripada pelbagai pihak termasuk media. (RUJUK SINI)

Menurutnya lagi, dasar Kerajaan Pakatan Harapan berhubung abu mayat Chin Peng tidak berubah dan sama dengan dasar Kerajaan Barisan Nasional yang melarang abu mayat Chin Peng daripada dibawa masuk.

Justeru, siasatan akan dijalankan bagi memastikan sama ada perkara tersebut betul agar tindakan undang-undang dapat diambil terhadap pihak yang membawanya masuk serta yang membenarkan ia dibawa masuk.


Mungkin dalam bahasa yang lebih mudah, kenyataan Azis Jamman tersebut menjurus kepada menyalahkan pihak berkuasa dan perisikan negara yang telah gagal melaksanakan tugas mereka dengan berkesan sehinggakan abu mayat orang yang paling dibenci dan memerangi negara itu, terlepas masuk ke negara ini dan kemudian ditabur di beberapa lokasi sebagai simbol kejayaan komunis.

April 2019, aktivis anarki Hishamuddin Rais menyentuh tentang DAULAH TERPENDAM. Menurutnya, Daulah Terpendam adalah ancaman utama kepada Kerajaan Pakatan Harapan. Justeru menurutnya, Kerajaan Pakatan Harapan perlu mengatasi masalah Daulah Terpendam itu terlebih dahulu bagi melancarkan lagi pemerintahan mereka. (RUJUK SINI) Hishamuddin Rais mula menulis tentang Daulah Terpendam (Deep State) pada 23 Julai 2014. (RUJUK SINI)

Julai 2019, Lim Kit Siang menyatakan bahawa Daulah Terpendam merupakan elemen utama yang melambatkan dan merencatkan pembaharuan institusi di Malaysia. Penasihat DAP itu berkata demikian semasa merujuk kepada kenyataan Menteri Luar yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (PH) Datuk Saifuddin Abdullah bahawa daulah terpendam sedang cuba mensabotaj pentadbiran kerajaan PH. (RUJUK SINI)

Menurutnya lagi, Daulah Terpendam ini akan menjadi bertambah buruk dan menjahanamkan jika orang ramai yakin bahawa kerajaan PH adalah bersifat sementara, sebagaimana yang diharapkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO, musnah dan hancur dalam masa beberapa bulan sahaja.

DAULAH TERPENDAM merupakan terjemahan langsung daripada frasa DEEP STATE yang menggambarkan situasi kegagalan pentadbiran awam yang demokratik akibat kewujudan kerajaan dalam kerajaan. Kumpulan pentadbiran awam ini mampu mengenepikan keputusan dan kehendak kerajaan semasa dan bertindak sebagai tangan-tangan ghaib bagi melaksanakan polisi dan agenda negara di luar proses pembuatan keputusan oleh kepimpinan kerajaan. (RUJUK SINI)

Selepas Pakatan begitu berbangga kerana wujudnya Daulah Terpendam yang merekodkan perbualan dalam mesyuarat edit dan audit Jabatan Audit terhadap Laporan 1MDB sehingga merujukkan pegawai kanan tersebut sebagai perwira dan perlu dianugerahkan pingat kebesaran kerana 'jasa-jasanya', tidak beberapa hari kemudian, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian serta beberapa orang KSU yang lain telah dikenakan tindakan berpindah dan gantung tugas.


Paling ketara ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian yang dikatakan telah mensabotaj Menteri Pertanian apabila membuat tender terbuka sehingga mengenepikan peluang NAFAS untuk mendapat kontrak pembekalan benih padi dan pengapuran bernilai RM1.4. Apabila Menteri Pertanian menulis surat kepada Perdana Menteri untuk membatalkan keputusan tender terbuka tersebut dan melantik NAFAS sebagai pembekal menerusi runding terus, yang turut terdedah ialah perlantikan politik besar-besaran dalam NAFAS selain penyalahgunaan dana NAFAS menerusi penyewaan 38 bilik hotel di Pontian yang dikatakan untuk road tour di Johor Bahru selama sebulan.

Ironinya, tarikh penyewaan 38 bilik tersebut adalah bersamaan dengan tempoh Pilihanraya Kecil Parlimen Tanjung Piai. Malahan lokasi antara hotel di Pontian tersebut dengan Johor Bahru adalah terlalu jauh dan tidak ekonomikal langsung memandangkan lebih banyak hotel lain di sekitar Johor Bahru yang boleh disewa bagi tujuan road-tour sepertimana alasan yang diberikan oleh Salahuddin Ayub.

Berselindung di sebalik 'DAULAH TERPENDAM', Kerajaan Pakatan Harapan dilihat seperti sedang memusuhi penjawat-penjawat awam dan menyalahkan penjawat awam terutama sekali anggota polis dan tentera setelah PPBM mengalami kekalahan besar di PRK Tanjung Piai. Lebih 11,000 orang pengundi Tanjung Piai tidak keluar mengundi, namun sekalipun 11,000 orang pengundi keluar dan kesemuanya mengundi Pakatan Harapan, jumlah tersebut tetap tidak boleh mengatasi jumlah majoriti yang dimenangi oleh calon BN iaitu sebanyak 15,086 undi.


13 November 2019, Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Asyraf Wajdi melahirkan kehairanan berhubung permusuhan dan kebencian yang ditunjukkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng terhadap para penjawat awam. Kenyataan Asyraf itu dibuat berdasarkan klip video ceramah pilihanraya yang dibuat oleh Lim Guan Eng di Tanjung Piai. (RUJUK SINI)

“Saya tidak faham kenapa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng begitu memusuhi dan amat prejudis terhadap penjawat awam. Dalam ceramah beliau semalam, Guan Eng masih meneruskan serangan sinisnya terhadap 1.6 juta kakitangan awam yang hakikatnya enjin terpenting menggerakkan pentadbiran kerajaan di semua peringkat selama ini,” katanya..

“Sudahlah sejak Kerajaan PH ambil alih, mereka menafikan hak Penjawat Awam untuk menerima 2 Kenaikan Gaji melalui Pergerakan Gaji Tahunan biasa dan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) Khas seperti yang dijanjikan oleh Kerajaan pentadbiran BN pada sebelum PRU-14 atas alasan kekurangan peruntukan yang besar untuk membiayai kenaikan gaji ini,” katanya.

“Manakala YB Tony Pua pernah menggelarkan penjawat awam sebagai ‘biawak hidup’ kerana bilangan yang besar dan menelan belanja sehingga 36 peratus dari keseluruhan Belanjawan 2017,” ujarnya lagi.

Justeru, apabila Azis Jamman menyatakan kementeriannya tidak tahu menahu tentang penyeludupan abu mayat Chin Peng dan hanya selepas 2 bulan, itu pun selepas kumpulan terbabit sendiri yang mewuar-uwarkannya, ia mengingatkan kita kepada gerakan membasmi DAULAH TERPENDAM oleh Kerajaan Pakatan Harapan sendiri. 

Tuesday, November 26, 2019

ABU MAYAT CHIN PENG DISELUDUP MASUK MALAYSIA SENYAP-SENYAP JAUH LEBIH TERKESAN BERBANDING PENGGUNAAN BENDERA 'DERAF' JALUR GEMILANG MABA!!!




Selepas isu bendera terbalik, Jalur Gemilang dihitamkan, komik memuja komunis dan Parti Komunis Malaya selain menukar Persekutuan Malaysia menjadi Republik Malaysia dan ditambah pula dengan gerakan mengeluarkan Sabah serta Sarawak dari Malaysia, kini muncul pula dua lagi masalah isu baru yang benar-benar mencabar rakyat Malaysia yang benar-benar cintakan negara serta lambang negara ini.

Isu penggunaan bendera yang salah dalam perasmian pertandingan Bola Keranjang di Stadium MABA Cheras, semenjak semalam lagi telah menimbulkan kemarahan. Bagaimanapun, pihak pengurusan MABA segera mengakui kesilapan mereka dan meminta maaf atas kesilapan berkenaan.




Bendera yang digunakan merupakan salah satu rekabentuk asal Jalur Gemilang oleh Allahyarham Mohamed bin Hamzah sebelum dipinda ke bentuk Jalur Gemilang 11 Jalur dan 11 bucu bintang sebelum penyertaan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia.

Allahyarham Mohamed bin Hamzah (lahir 5 Mac 1918, meninggal dunia 19 Februari 1993) adalah perekabentuk asal Jalur Gemilang.

Namun berita tentang 'kepulangan' abu mayat Chin Peng, jauh lebih besar mudaratnya kepada negara ini berbanding penggunaan 'deraf' bendera asal Malaysia.

Usaha-usaha untuk menghalalkan Chin Peng dan Parti Komunis Malaya telah bermula semenjak perjanjian damai antara Kerajaan Malaysia dengan Parti Komunis Malaya pada 1989 di Hadyai. Perjanjian damai tersebut telah dirujuk sebagai penyerahan diri dan perletakan senjata oleh Parti Komunis Malaya serta pengganas-pengganasnya ke atas rakyat Malaysia dan Kerajaan Malaysia walaupun sebenarnya perjanjian tersebut hanyalah bersifat GENCATAN SENJATA semata-mata.


Peguam Negara, Tommy Thomas pada 30 September 2009 yang ketika itu mewakili Chin Peng dalam saman ke atas Kerajaan Malaysia kerana membuat tuduhan fitnah ke atas Parti Komunis Malaya, yang didakwanya sebagai melanggar perjanjian damai antara PKM dengan Kerajaan Malaysia.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Dato' Balia Yusof Wahi bagaimanapun menolak permohonan saman tersebut dan bersetuju dengan hujah pendakwaraya kanan persekutuan, Amarjeet Singh bahawa tiada sebarang kerugian kepada reputasi Chin Peng memandangkan umum dan fakta sejarah telah mengetahui yang Chin Peng telah membuat pelbagai kesalahan jenayah. (RUJUK SINI)


Pada 30 November 2014, Menteri Dalam Negeri pada waktu itu, Zahid Hamidi bertegas bahawa Kerajaan Malaysia tidak akan sesekali membenarkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, dibawa masuk ke dalam negara ini sebagai menghormati pengorbanan dan kematian ramai anggota-anggota tentera dan polis serta anggota keselamatan yang lain. (RUJUK SINI)

"Kalau Chin Peng seorang yang mahu dihormati, bagaimana dengan saudara mara dan anak beranak kepada polis dan tentera yang telah dibunuh oleh pengganas komunis akibat individu itu.

"Saya tidak emosi dalam perkara ini, tapi berapa ramai yang mati berbanding mahu menghormati yang seorang ini (Chin Peng)," katanya.


16 September 2013, DAP menerusi Penasihat Seumur Hidupnya, Lim Kit Siang menggesa dan mendesak Kerajaan Malaysia agar membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa masuk ke negara ini untuk disemadikan. Menurut Lim Kit Siang, rakyat Malaysia perlu 'move on' dan melupakan sejarah silam, malah perlu menerima Chin Peng sebagai sebahagian daripada sejarah negara ini. (RUJUK SINI)

Chin Peng meninggal dunia pada hari yang sama di sebuah hospital di Bangkok kerana sakit tua. 


Bagaimanapun, hari ini portal-portal berita termasuklah Sin Chew Daily (RUJUK SINI), melaporkan yang abu mayat Chin Peng secara senyap-senyap telah diseludup masuk ke negara ini dan kemudian ditabur di pinggir laut serta hutan Lumut pada 16 September lalu oleh saudara mara, rakan-rakan dan komradnya. 

Pada hari yang sama, satu majlis mengingatinya telah diadakan di Ipoh Street. 


Chin Peng tidak pernah mendaftar sebagai rakyat dan warganegara Malaysia walaupun dilahirkan di Setiawan pada tahun 1924. Sepanjang keganasannya dari tahun 1948 sehingga 1989, berpuluh-puluh ribu rakyat terutama anggota-anggota keselamatan negara ini telah dibunuh, disiksa dan diculik oleh komunis. Komunis turut terlibat dalam kemusnahan harta benda selain turut terlibat dalam Hartal (20 Oktober 1947) yang membantah penolakan British terhadap 'Perlembagaan Rakyat AMCJA-PUTERA dalam Perlembagaan Persekutuan. Komunis dan PKM juga merupakan antara yang terlibat dalam Tragedi 13 Mei 1969. (RUJUK SINI)




Monday, November 25, 2019

KERAJAAN PAKATAN BUAT OPEN TENDER, MENTERI TULIS SURAT BATALKAN KEPUTUSAN, PERDANA MENTERI SETUJU... BILA TERKANTOI, KSU PULA YANG DIPERSALAHKAN?!!!



E-siar tentang gantung kerja atau dalam bahasa lunaknya, kerjanya ditanggung membabitkan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian, Dato' Salehhuddin Hassan sudah tular dan tidak dinafikan oleh Kementerian Pertanian, mahupun oleh menterinya, Salahuddin Ayub.

Sebaliknya Salahuddin Ayub bertaici dan meminta orang ramai bertanya kepada Ketua Setiausaha Negara, mengapa Salehhuddin Hassan dan beberapa orang KSU serta TKSU yang lain dipindahkan atau digantung tugas. (RUJUK SINI)

Menurut Salahuddin, dia tidak tahu menahu berhubung penggantungan tugas Dato' Salehhudin Hassan itu. Bercakap kepada para wartawan selepas Kongres Benih Asia 2019 yang diadakan di Kuala Lumpur, Salahuddin berkata, dia juga tidak mengetahui kedudukan sebenar KSU Kementerian Pertanian itu atau sebarang tindakan telah diambil terhadap pegawai-pegawai kanan kerajaan yang lain.

"Anda sepatutnya bertanya kepada KSN). Saya tidak ada sebarang maklumat tentangnya," katanya.


Semalam, beberapa orang pemimpin PAN yang kelihatan sakit hati selepas terbarainya skandal RM1.4 bilion membabitkan NAFAS yang didedahkan oleh Ahli Parlimen Ayer Hitam, Wee Ka Siong di Parlimen, menuduh KSU itu telah mensabotaj Salahuddin Ayub dan kerajaan.

Salah seorang anggota jemaah pengarah NAFAS yang juga merupakan pemimpin PAN, Normah Yusof dalam status Facebooknya, menuduh Dato' Salehhudin Hassan telah mensabotaj menteri serta telah memberikan tender serta kontrak NAFAS kepada kontraktor-kontraktor Cina sekaligus boleh menjejaskan kedudukan ribuan pekerja yang berkaitan NAFAS.

Sebelum Jun 2018, NAFAS mengamalkan runding terus bagi pembekalan dan perolehan terutama sekali membabitkan baja dan kerja-kerja pengapuran. Bagaimanapun, sistem runding terus seperti yang diamalkan oleh NAFAS di bawah pentadbiran Barisan Nasional seringkali dikatakan tidak adil serta banyak dipengaruhi oleh korupsi dan salahguna kuasa serta kedudukan.

Jadi pada 24 Julai 2019, satu tender terbuka telah dibuat untuk pembekalan tersebut. NAFAS turut masuk bertanding. Malangnya, panel pemilih telah memilih syarikat-syarikat kontraktor lain yang sudah pasti menawarkan harga yang lebih fleksibel serta perkhidmatan dan jangka masa yang lebih baik.

Dengan kata lain, NAFAS gagal.


Kegagalan NAFAS tersebut telah menyebabkan Salahuddin selaku Menteri Pertanian, telah menulis surat kepada Perdana Menteri untuk meminta campurtangan pada 7 November 2019 bagi membatalkan keputusan tender terbuka yang gagal dimenangi oleh NAFAS. Sebaliknya, Salahuddin meminta agar kontrak tersebut yang bernilai RM1.4 bilion diberikan kepada NAFAS yang telah menjadi sarang PAN melalui perlantikan politik, secara runding terus.

Dan Perdana Menteri yang diketahui tidak ada kuasa melainkan sebagai boneka dan proksi semata-mata itu pun bersetuju untuk memberikan kontrak secara runding terus kepada NAFAS. (RUJUK SINI)

Salahuddin dalam kenyataan terbarunya mengatakan, isu RM1.4 bukanlah skandal. Menurutnya lagi, dana tersebut masih lagi berada pada Kementerian Kewangan dan tidak dimasukkan ke akaun-akaun lain sebaliknya masih berada dalam Akaun Perbendaharaan. (RUJUK SINI)

Salahuddin juga menolak sebarang siasatan kerana isu tersebut bukanlah skandal.


Yang megah nak buat tender terbuka, Kerajaan Pakatan.
Yang batal direct award tender kepada NAFAS... kerajaan Pakatan
Yang henti sementara operasi NAFAS... Kerajaan Pakatan
Yang janji nak buat tender terbuka... Kerajaan Pakatan
Yang buat tender terbuka... Kerajaan Pakatan
Yang batal kemenangan pembida tender... Menteri Pakatan
Yang nak direct award semula... Menteri Pakatan

Syarikat yang menang open tender itu adalah menerusi portal My Procurement Perbendaharan Kementerian Kewangan. Masakan KSU boleh meminta proses open tender Kementerian Kewangan?

Dan seandainya betul KSU melakukan kesalahan tersebut, sepatutnya tindakan diambil terhadapnya kerana pecah amanah dan rasuah. Bukannya sembunyikan KSU itu dalam peti sejuk seperti yang dilakukan sekarang!

"SAYA MELAYU, SAYA BENCI RASUAH"... SEKARANG SYED SADDIQ KENA JAWAB, APA KAITAN TIGA BUAH SYARIKAT YANG DAPAT KONTRAK BESAR KBS!!!



Dalam satu pendedahan yang dibuat oleh Lokman Nor Adam semalam, keputusan yang dibuat oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq dipersoalkan. Malahan, Lokman Nor Adam dalam statusnya menerusi FB peribadinya, turut mempersoalkan kewibawaan dan kebolehan syarikat-syarikat yang diberikan tiga anugerah kontrak besar.



Syed Saddiq seharusnya menjelaskan mengapa satu syarikat boleh memperolehi 3 kontrak dan dua kontrak serentak. Syed Saddiq juga perlu menjelaskan siapakah pemilik syarikat-syarikat berkenaan. Perlu juga dijelaskan, mengapa syarikat-syarikat lain yang ikut sama masuk tender, tak dapat, sebaliknya kesemua kontrak berkenaan diserahkan kepada ketiga-tiga syarikat itu sahaja?

Apakah kelayakan istimewa yang ada pada ketiga-tiga syarikat terbabit sehingga mereka dipilih?

Satu syarikat dapat 3 kontrak tender dalam satu masa, tidak pernah berlaku lagi. Kebiasaannya, 1 tender, 1 syarikat sahaja!


Dalam pendedahan yang dibuatnya, Lokman mendedahkan bahawa Syarikat Afsya (M) Sdn. Bhd secara serentak telah diberikan 3 kontrak pembekalan untuk 3 buah negeri bernilai: 

- Melaka RM2,048,000.00
- Selangor RM2,540,000.00
- Perlis RM2,088,000.00

Manakala sebuah syarikat lagi iaitu Syarikat Warisan Kurnia Sdn. Bhd. pula dianugerahkan 2 kontrak secara serentak melibatkan:
- N.Sembilan RM3,228,000.00
- P.Pinang RM2,152,000.00

Syarikat ketiga yang mendapat keistimewaan itu adalah Syarikat BNR Setia Enterprise dengan 2 kontrak serentak melibatkan: 

- Bachok Kelantan RM6,634,112.00
- Pahang RM3,788,100.00


"Saya benci rasuah. Jemput SPRM datang ke KBS. Praktis 'Menteri berkuasa beri kontrak' dihapuskan. Saya tak mahu bangsa saya terpalit dengan rasuah."

Kata-kata Syed Saddiq itu diucapkannya sendiri pada 10 November jam 7:27 malam!

Sekarang, Syed Saddiq bertanggungjawab memberikan penjelasan berhubung pemberian kontrak-kontrak ini. Jangan pula ulangi alasan yang diberikan oleh Kementerian Pertanian dalam isu NAFAS apabila para pemimpin PAN laju menyalahkan Ketua Setiausaha Kementerian sabotaj Salahuddin Ayub kerana membuat tender terbuka. 

Sunday, November 24, 2019

ZAHID HAMIDI PERLU LEBIH SEDAR, ANTARA AKAR UMBI DENGAN BEKAS PEMIMPIN UMNO YANG BERPALING TADAH, MANA LEBIH UTAMA DAN LEBIH PENTING!!!



Presiden UMNO, Zahid Hamidi masih lagi bercakap tentang 'terbukanya' UMNO untuk menerima semula bekas Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang telah melompat menyertai PPBM selepas UMNO-BN hilang kuasa pada 9 Mei 2018. (RUJUK SINI)

Adakah Zahid bercakap atas kapasiti peribadinya atau dia bercakap atas kapasitinya selaku Presiden UMNO yang merasakan, dia serba tahu kehendak akar umbi dan marhaein UMNO?

Kalau Zahid begitu bimbangkan dan kisahkan sangat dengan bekas pemimpin-pemimpin dan wakil rakyat UMNO itu, bagaimana pula dengan orang-orang UMNO yang tidak berjawatan, yang setia bersama-sama UMNO malahan sanggup mempertahankan UMNO ketika UMNO berada di ambang kehancuran dan dihina dalam segenap segi?

Bukankah sepatutnya Zahid perlu lebih bimbangkan akar umbi? Bukankah Zahid sepatutnya lebih mengambil hati akar umbi UMNO yang gigih pertahankan UMNO dan setia dengan kewujudan UMNO meskipun mereka kehilangan maruah yang mereka bangga-banggakan selama lebih 6 dekad?

Puluhan ribu orang Melayu yang tidak berpangkat, berpendapatan dan bergelaran walaupun setia di dalam UMNO, terus memperjuangkan UMNO tatkala para pemimpin UMNO yang bergelar, berdarjat dan berpangkat berpaling tadah.

Puluhan ribu orang Melayu selepas 9 Mei 2018 akan terus mengingati pemimpin-pemimpin UMNO yang lari meninggalkan UMNO dan memburuk-burukkan UMNO malahan berikrar untuk menguburkan UMNO setelah mereka kaya raya, senang lenang dan memiliki harta yang bertimbun-timbun selama berada di dalam UMNO.

Mana mungkin orang-orang Melayu itu sanggup untuk menerima bekas pemimpin-pemimpin UMNO yang cuba dipeluk Zahid itu kembali. Bekas pemimpin-pemimpin UMNO itu tidak ubah seperti biawak dan pemakan bangkai lain yang sanggup membunuh walaupun spesies sendiri demi tembolok dan nafsu mereka.

Zahid sepatutnya lebih sedar dan ambil tahu bahawa semasa UMNO mengalami zaman terburuknya, marhein-marhein yang tidak dianggap lebih bernilai berbanding para pemimpin UMNO yang telah berpaling tadah itulah, yang cuba membetulkan persepsi menerusi pelbagai media, terutama sekali media sosial selepas Mahathir mencengkam media-media arus perdana untuk dirinya.

Mereka inilah yang terus berjuang sehingga ke hari ini dengan kepercayaan bahawa UMNO adalah ABATA. Mereka inilah yang terus bertekad untuk memastikan UMNO hidup dan bangkit kembali supaya UMNO boleh menjadi warisan bangsa sekaligus melestarikan wasiat datuk nenek mereka agar UMNO kekal sebagai wadah perjuangan bangsa dan agama.

Kini, setelah kembali bersama-sama PAS yang terpisah semenjak 1951 (rujuk sebentar pada tahun 1969 sehingga 1974), UMNO seperti sudah kembali boleh bernafas. Sambutan rakyat terhadap UMNO nampak sedikit pulih walaupun sebenarnya sambutan itu sebenarnya lebih kepada Najib Abdul Razak, bukannya para pemimpin UMNO secara keseluruhannya.

Orang UMNO lebih selesa bersama-sama jemaah PAS berbanding bekas pemimpin UMNO yang pernah cuba membunuh dan melupuskan mereka. Takkan Zahid tak tahu dan tak nampak? Takkan Zahid tak merasai denyut nadi akar umbi UMNO?

Takkan Zahid hendak terus melayan kerenah pemimpin-pemimpin UMNO atau bekas pemimpin UMNO yang telah berpaling tadah dengan mengenepikan akar umbi UMNO?

Seelok-eloknya, Zahid selaku pemimpin utama UMNO sudah boleh 'move on' dan melupakan para pengkhianat UMNO itu. Tak salah kalau UMNO mengikuti jejak langkah PAS yang menampilkan muka-muka baru kepimpinan yang lebih berdaya tahan serta mempunyai latar belakang akademik mahupun dari golongan profesional berbanding mengumpulkan para pemimpin UMNO untuk pemilihan semata-mata.

Dan lebih baik Zahid kehilangan bekas pemimpin-pemimpin UMNO tersebut berbanding kehilangan sokongan daripada akar umbi yang sememangnya menolak total golongan pengkhianat berkenaan.

SIAPA YANG TERIMA MANFAAT DARI PINDAAN DALAM DERAF LAPORAN AUDIT 1MDB?



PENULIS: NABEEL NAQIE

Baiklah, KERAjaan PH menuduh terdapat pindaan dalam DRAF laporan audit 1MDB yang dilakukan oleh DSN demi menyembunyikan salah lakunya.

Jom kita tengok apakah pindaan atau perkara yang cuba ‘disorokkan’ oleh Najib ini.

Ada 4 pindaan yang berlaku.

Yang pertama melibatkan 1MDB memfailkan penyata kewangan untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2014 kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang berbeza dengan penyata kewangan yang diber kepada pemilik 1MDB iaitu Minister of Finance Incorporated dan sebuah bank.

Perbezaan yang dimaksudkan adalah pada satu perkataan sahaja iaitu "substantially set-aside" (dikhaskan untuk tujuan) dengan "substantially utilized" (digunakan untuk tujuan yang sama).

Kesemua ini tak pernah disembunyikan pun dan ia telahpun didedahkan di dalam prosiding 1MDB di parlimen sebelum ini.

Link: https://www.parlimen.gov.my/…/PAC-01122015%20Bil.%2041%20Bh…

Percanggahan wujud melibatkan fund units dan ini telahpun dijelaskan secara terperinci oleh Arul Kanda ketika disoal siasat oleh Tony Pua sendiri.

Jadi apa benda yang Najib dapat dengan sorok perkara ini?

Pindaan kedua adalah tentang bagaimana 2 buah syarikat iaitu Country Group Securities Public Company Ltd (Thailand) dan Acme Time Ltd (Singapura) yang telah menjana keuntungan sebanyak USD 1.3 juta dan USD 125.97 juta masing-masing apabila bon IMTN bernilai RM 5 billion yang dikeluarkan oleh TIA pada 18 Mei 2009.

Perkara ini tidak melibatkan DSN kerana beliau belumpun terlibat di dalam 1MDB. Ia berlaku kerana Tuanku Mizan telah ditipu oleh Jho Lo. Sultan murka amat dan mahu tarik keluar Terengganu dari urusan ini sedangkan bon sudahpun diterbitkan. Disebabkan itulah kerajaan persekutuan terpaksa mengambil alih TIA dan tertubuhnya 1MDB.

Link:
https://www.facebook.com/…/saya-tengok-b…/10156377891350952/

Perkara ini juga telah dipinda sedangkan tidak ada apa-apa salah laku melibatkan DSN yang perlu disorokkan.

Lagipun, jabatan audit bersetuju bahawa perkara ini adalah diluar skop audit 1MDB kerana ianya melibatkan penjualan bon oleh Ambank kepada dua syarikat itu dan tidak melibatkan 1MDB.

Pindaan ketiga adalah berkenaan kehadiran Jho Lo di mesyuarat khas lembaga pengarah 1MDB pada 26 September 2009 yang disebut di dalam jadual 7.5 draf laporan Jabatan Audit Negara.

Pindaan wajib dibuat kerana ia seolah-olah memberi gambaran bahawa Jho Lo hadir sebagai seorang lembaga pengarah 1MDB yang bermesyuarat dan tidak dinyatakan dia hadir atas kapasiti apa.

Tidak ada apa yang disorokkan pun selama ini kerana ketika proseding PAC pada 25 November 2015, dan juga persidangan parlimen pasa 21 Disember 2015, jelas telah diberitahu bahawa kehadiran Jho Lo itu adalah di atas kapasiti mewakili Putera Turki Abdullah (pemilik Petro Saudi) dan bukan sebagai ahli lembaga pengarah 1MDB!

Ini pun salah? 🤣

Link:
http://www.astroawani.com/…/jho-low-hadir-mesyuarat-1mdb-wa…

Pindaan keempat dan terakhir adalah dakwaan bahawa Najib telah mengadap YDP Agong pada 27hb Mei 2009 dan didakwa telah bersetuju untuk menangguhkan penerbitan bon TIA.

Tetapi, Jabatan Audit juga menjelaskan bahawa bon sudahpun diterbitkan pada 18 Mei 2009 iaitu sebelum YDP Agong titah kepada Shahrol pada 22 Mei 2009 supaya penerbitan bon itu dihentikan.

Kenapa perkara ini perlu dipinda?

Oleh kerana terdapat keraguan tentang kesahihan maklumat yang diberi kepada Jabatan Audit tentang perkara diatas.

Pertemuan Najib dan YDP Agong hanya antara dua orang sahaja,

Jabatan Audit tidak pernah bertemu-bual Najib atau YDP Agong semasa mereka menyediakan laporan audit ini.

Lagipun, YDP Agong juga tidak pernah menimbulkan isu ini bahawa Najib cakap tak serupa bikin.

Ia bukan bertujuan menyorok salah laku Najib kerana bon ini terbit oleh TIA masa ianya di bawah kuasa YDP Agong sebelum TIA diambil alih oleh kerajaan pusat. Najib tak terlibat lagi pun.

Jadi, jadah apa keuntungan yang Najib dapat hasil dari kononnya arahan Najib supaya 4 perkara ini dipinda? Yilek. Zero. Zilch.

Pindaan ini sebenarnya menguntungkan mereka yang terlibat dalam TIA, 1MDB, Shahrol dan semestinya Pakatan Harapan kerana boleh berterusan menggunakan isu ini untuk memfitnah Najib.

Abang kakak semua nampak kan? 😊

Rujukan lain :

https://pdfs.semanticscholar.org/…/43a0277eefb8d77709de0eb7…

https://www.parlimen.gov.my/pac/review/docs-110-116.pdf

(NOTA: Nabeel Naqie merupakan antara pengguna Facebook yang aktif dalam menangkis fitnah dan hasutan jentera propaganda Pakatan Harapan)

Saturday, November 23, 2019

MISTERI AHLI-AHLI PARLIMEN UMNO-BN YANG BERJUMPA AZMIN, SEKADAR MEMPERTAHANKAN DIRI DAN TIDAK MENYERANG AZMIN ALI DAN MAHATHIR!!!




Hari ini, Anwar Ibrahim menunjukkan kepada Mahathir khususnya bahawa dia mempunyai kekuatan yang tersendiri. Malah dia turut memberikan isyarat, sekiranya Mahathir berterusan mengharapkan Azmin Ali yang semakin terpinggir dari PKR, Mahathir akan mengalami nasib yang jauh lebih teruk berbanding yang dihadapi oleh Najib Abdul Razak dan Zahid Hamidi, dua orang yang paling didendami oleh Mahathir selepas Anwar.

Di Sarawak, Anwar Ibrahim tidak peduli dengan ugutan atau gertakan fraksi Azmin Ali terutama sekali yang melibatkan AMK. Ketiadaan Baru Bian, sekutu utama Azmin Ali di Sarawak dengan kumpulannya, tidak menghalang Konvensyen PKR Sarawak daripada berjalan lancar dan Anwar sendiri datang ke Sarawak dengan jet peribadi yang diperolehinya sewaktu dia masih berada di dalam penjara kerana jenayah liwat.

Rakyat Malaysia, khususnya golongan muda yang tidak pernah hidup pada tahun 1997-2000 atau ketika itu mereka masih menetek, dibawa kembali ke zaman itu. Cuma kali ini, memandangkan Mahathir dan Anwar Ibrahim sudah tua, maka permainan ganas dan agresif seperti yang ditunjukkan pada tahun 1998 dahulu, sudah bertukar corak.

Pun begitu, kaedah perang dan pertempurannya tetap sama. Anwar mencari pengaruh dan kekuatan. Mahathir pula mendakwa dia masih ada pengaruh dan kekuatan.




 Baru-baru ini, beberapa orang Ahli Parlimen UMNO-BN dilaporkan oleh media membuat pertemuan dengan Azmin Ali di kediaman rasminya di Precint 10, Putrajaya. Seolah-olah memang disengajakan pertemuan itu diketahui oleh Anwar Ibrahim, Azmin Ali kemudiannya dipersoalkan oleh orang yang paling meroyan dan berkeinginan besar hendak jadi Perdana Menteri Malaysia ke-8 itu.

Azmin kemudiannya diarahkan menghadiri Mesyuarat Biro Politik PKR. Apabila Azmin tetap enggan hadir selepas setahun tidak menghadirinya, Anwar mengugut yang Azmin boleh dipecat dari parti. Pun begitu, Azmin Ali yang mungkin mendapat kekuatan daripada Mahathir, tidak menghiraukan ugutan Mahathir. Sebaliknya Azmin dilaporkan membuat pertemuan 'sulit' dengan beberapa orang pemimpin dan Ahli Parlimen PKR pula.

Namun Azmin memang menduduki tempat istimewa sama ada kepada Anwar Ibrahim apatah lagi Mahathir yang menggunakan Azmin sebagai Tembok Besar Negeri Chinanya.



Pertemuan Azmin dengan Ahli-Ahli Parlimen UMNO cuba digunakan dan dimanipulasikan oleh Mahathir dengan beberapa kenyataan yang membuatkan ramai tergelak besar.

Kesilapan Mahathir ialah, dia masih terperangkap dalam era 80-an di mana maklumat hanya diperolehi dari sumber-sumber rasmi dan kerajaan. Mahathir masih terperangkap dengan stigma, dia menguasai dan mengaturkan maklumat sebagaimana yang dikehendakinya.

Akibatnya, akar umbi UMNO menzahirkan rasa tidak senang dan gelisah dengan gelagat Ahli-Ahli Parlimen tersebut. Berita-berita negatif turut menyusul dan orang yang paling akrab dengan Azmin Ali dan Mahathir iaitu Hishamuddin Hussein Onn menjadi sasaran kemarahan.


Hishamuddin Hussein Onn dituduh menjadi pengembala kepada kawanan Ahli-Ahli Parlimen UMNO-BN itu untuk memberikan sokongan kepada Mahathir supaya kekal dengan jawatan Perdana Menterinya sekaligus menghalang Anwar daripada merampas jawatan tersebut. Hishamuddin didakwa cuba membawa Ahli-Ahli Parlimen UMNO-BN itu untuk melompat parti, sekaligus mengukuhkan kedudukan Mahathir yang mengetuai parti paling minoriti dalam Pakatan Harapan yang menjadi Kerajaan Putrajaya.

Ramai yang beranggapan, pertemuan Ahli-Ahli Parlimen UMNO-BN dengan Azmin Ali di kediaman rasminya tidak ubah seperti masuk ke dalam perangkap yang memang dipasang oleh Mahathir menggunakan Azmin Ali. Mahathir akan menggunakan kesempatan itu untuk memusingkan cerita sebenar agar dia menang - sama ada menang ke atas Anwar Ibrahim, apatah lagi ke atas UMNO yang kelihatan jelas sedang mengatasinya dari pelbagai aspek.


Kelewatan Ahli-Ahli Parlimen UMNO-BN yang terbabit mengeluarkan kenyataan rasmi, telah dipergunakan oleh Mahathir untuk menyatakan kononnya, Ahli-Ahli Parlimen tersebut bertemu dengan Azmin Ali untuk mereka menyatakan rasa tidak senang, hilang kepercayaan dan rasa jijik berada di dalam UMNO. Mahathir memberitahu satu negara menerusi media-media rasmi yang dikuasainya bahawa dia sudah terlalu kuat untuk dijatuhkan atau digulingkan oleh Anwar Ibrahim.

Paling-paling tidak, Mahathir dilihat mempunyai sokongan Ahli Parlimen UMNO-BN yang bersama-sama Hishamuddin Hussein Onn dan 18 orang Ahli Parlimen PAS yang lebih awal menyatakan, mereka lebih menyokong Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal berbanding penyerahan jawatan tersebut kepada Anwar Ibrahim ikut pintu belakang.

Agak menarik apabila beberapa orang Ahli Parlimen UMNO-BN hanya menjadi bertahan dan mempertahankan diri daripada 'serangan' Mahathir. Mereka sekadar menafikan. Malahan Zahid Hamidi dalam satu kenyataannya, Ahli-Ahli Parlimen UMNO-BN tersebut bertemu dengan Azmin Ali untuk membincangkan tentang peruntukan infrastruktur di kawasan mereka.

Terbaharu ialah apabila 8 orang lagi Ahli Parlimen UMNO-BN yang dilaporkan bertemu Azmin Ali, menyanggah dakwaan dan tuduhan Mahathir. Sebaliknya mereka menyatakan yang mereka sebenarnya mengajak Azmin Ali menyertai UMNO-BN.

Sekali lagi mereka dikecam oleh akar umbi yang telah menolak pembabitan dan penyertaan Azmin Ali mahupun Mahathir ke dalam UMNO-BN. Biarpun Mahathir dan Azmin Ali merupakan watak utama dalam Kerajaan Pakatan Harapan, tetapi kebanyakan netizen dan akar umbi penyokong UMNO lebih rela, UMNO dan BN menjadi pembangkang berbanding menjadi kerajaan ikut pintu belakang. Azmin Ali dan Mahathir diharamkan menyertai UMNO walau apa pun yang berlaku kepada UMNO dan para pemimpinnya!

Menariknya, timbul persoalan, mengapa sikap Ahli-Ahli Parlimen UMNO-BN terbabit begitu lunak terhadap Azmin Ali dan Mahathir?

Bukankah lebih mudah untuk mereka mengatakan yang Azmin sebenarnya memanggil mereka dengan bertemankan besannya dan juga rakan karibnya, Hishamuddin Hussein Onn untuk dia meminta pendapat mereka bagi memudahkan dia menyertai UMNO selepas kedudukannya dalam PKR semakin meruncing dan dia perlu menyelamatkan pencalonannya sebagai Perdana Menteri Ke-8?


Mengapa Ahli-Ahli Parlimen UMNO-BN terbabit tidak mahu memberitahu yang Mahathir telah menggunakan Azmin Ali untuk meminta nyawa dan kepastian bantuan daripada UMNO-BN sekiranya Anwar Ibrahim benar-benar mempunyai jumlah yang mencukupi di Parlimen untuk menggulingkannya sekaligus mengancam kedudukan yang sedang dinikmati oleh anak-anak dan kroni-kroninya sekarang?

Mengapa Ahli-Ahli Parlimen UMNO-BN itu tidak mahu bercakap tentang runding-niaga yang ditawarkan oleh Mahathir menerusi Azmin Ali apabila pertemuan tersebut seolah-olah sengaja dibiarkan media menciumnya, sekaligus membolehkan berita pertemuan tersebut dilaporkan kepada orang ramai di seluruh negara dan sampai ke telinga serta pengetahuan Anwar Ibrahim?

Dan yang paling penting, mengapa Ahli-Ahli Parlimen UMNO-BN tidak menceritakan tentang syarat-syarat yang mereka kenakan kepada Azmin Ali dan Mahathir berbanding sanggup membiarkan mereka dikecam dan dicemuh oleh para penyokong UMNO sendiri berhubung pertemuan tersebut?


Adakah ini merupakan serampang dua mata seperti yang dilakukan oleh bekas Ketua Puteri UMNO yang juga merupakan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermiyati dan bekas Menteri MITI yang juga merupakan Ahli Parlimen Jeli, Hamzah Zainuddin dan beberapa orang Ahli Parlimen UMNO lain yang kemudian melompat masuk ke PPBM selepas mendapat keyakinan dan kepastian bahawa mereka 'terselamat' daripada sebarang tindakan undang-undang?


SALWANI: WIRA YANG PERLU DIBERIKAN PINGAT, WISTLEBLOWER ATAU CONTOH TERBAIK PENJAWAT AWAM YANG KHIANAT BAGI MENCIPTA PERSEPSI NAJIB CURI DUIT 1MDB?



Penulis: Yuktes Vijay

Salwani - Wanita yang menyelamatkan laporan audit asal 1MDB
(https://www.malaysiakini.com/news/500751)

Tajuk berita Malaysiakini ini misleading.

Dan walaupun misleading, ianya dipercayai sampai Salwani diangkat sebagai hero lah kakitangan kerajaan yang patut dicontohi lah calon untuk Anugerah Maal Hijarah lah. 🤦‍♂️


HAKIKATNYA,

Di dalam laporan berita mengenai pemeriksaan utama Nor Salwani oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib , Nor Salwani dilaporkan memberi testimoni berikut : (https://www.malaysiakini.com/news/500591)

"saksi pendakwaan kelima itu berkata 𝗱𝗿𝗮𝗳
laporan itu dihantar ke Percetakan Keselamatan Nasional Sdn Bhd untuk percetakan pada 20 Feb 2016 setelah diarahkan Ambrin"

"𝗱𝗿𝗮𝗳 Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diserahkan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan lima individu lain, dua hari sebelum Mesyuarat Penyelarasan Laporan Pengauditan 1MDB diadakan"

"𝗱𝗿𝗮𝗳 Laporan Akhir Audit 1MDB ini dicetak untuk dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC)"


Untuk pengetahuan Nor Salwani dan fan club dia yang baru ditubuhkan hari ini, dalam Cambridge Dictionary maksud draft copy dijelaskan seperti berikut " to write down a document for the first time, including the main points but not all the details "

https://dictionary.cambridge.org/dictionary/english/draft

Draf dalam Kamus Dewan Edisi ke-4 dijelaskan seperti berikut : tulisan atau lukisan yang disediakan secara kasar pada peringkat awal.

http://prpmv1.dbp.gov.my/Search.aspx?k=draf


Apa yang Nor Salwani beritahu Mahkamah adalah salinan laporan audit yang diserah kepada Najib adalah salinan draf sahaja. Dan sejak bila membuat pembetulan pada salinan draf mula diklasifikasikan sebagai jenayah ya?

Dan daripada celah mana Malaysiakini dapat info ianya Laporan ASAL? Laporan Deraf dan Laporan Asal ada banyak perbezaan lah!

Satu lagi persepsi yang tengah dicipta adalah Nor Salwani ambil risiko untuk simpan laporan draf 1MDB.

Namun, di dalam keterangannya, Nor Salwani telah beritahu Mahkamah :

"Bagi percetakan pertama, sebanyak 60 laporan audit dicetak. Kesemua naskhah yang sudah dicetak dimasukkan ke dalam kotak.

"Kemudian pada 22 Feb 2016, saya mengambil 10 naskhah daripada CGSO dan saya menyerahkan enam laporan audit kepada Tan Sri Ambrin 𝐦𝐚𝐧𝐚𝐤𝐚𝐥𝐚 𝐞𝐦𝐩𝐚𝐭 𝐥𝐚𝐠𝐢 𝐧𝐚𝐬𝐤𝐡𝐚𝐡 𝐝𝐢𝐬𝐢𝐦𝐩𝐚𝐧 𝐝𝐢 𝐝𝐚𝐥𝐚𝐦 𝐩𝐞𝐭𝐢 𝐛𝐞𝐬𝐢 𝐛𝐞𝐫𝐩𝐚𝐥𝐚𝐧𝐠 𝐝𝐢 𝐉𝐚𝐛𝐚𝐭𝐚𝐧 𝐀𝐮𝐝𝐢𝐭 𝐍𝐞𝐠𝐚𝐫𝐚," katanya.

Read the bold part again.


Jelas dan nyata, laporan yang kononnya diselamatkan oleh Nor Salwani dengan mengambil risiko yang tinggi sebenarnya bukan satu-satunya salinan.

Seperti yang diberitahu Nor Salwani sendiri, ada 4 lagi naskah dalam peti besi berpalang di Jabatan Audit dan ia sebenarnya satu SOP di semua Jabatan Kerajaan.

Kalau nak edit dokumen untuk cover line jenayah, takkan nak ikut SOP Jabatan Kerajaan dan simpan salinan draf laporan audit yang asal kan?

Nor Salwani tidak boleh dikategorikan sebagai whistleblower kerana laporan yang disimpan olehnya hanya laporan draf. Laporan draf memang dibuat untuk dipinda, diedit dan dicantikkan. Dan ianya sememangnya satu kesalahan untuk simpan salinan draf pun kerana mampu berlaku kebocoran rahsia kerajaan.

Namun demikian, mustahil untuk Nor Salwani akan dihukum kerana apa yang dia buat berjaya cipta persepsi Najib cuba edit dokument 1MDB untuk cover line pencurian dia di 1MDB.


Mengenai rakaman 2 1/2 jam yang berjaya direkodkan Nor Salwani pula..Ianya tidak ada apa-apa implikasi undang-undang kerana tertuduh iaitu Najib tidak hadir di dalam mesyuarat tersebut. Maka, orang sebut Najib yang suruh edit atau pinda dalam audio tersebut, ianya dianggap hearsay. (The general rule is that all relevant evidence are prima facie admissible, except for hearsay and opinion)

Soalan yang patut ditanya apakah motif Nor Salwani letak perakam tanpa pegetahuan wakil jabatannya sendiri?

Dalam testimoniya, Nor Salwani mengaku selitkan perakam dalam pencil box ketuanya kerana Nor Salwani tidak dibenarkan berada dalam bilik penyelarasan laporan audit 1MDB.

Terdesak nak tahu butiran mesyuarat untuk kongsi dengan siapa ya, Nor Salwani? 🙄


Dia diangkat sebagai hero hari ini supaya dia boleh elak hukuman kerana melanggar Akta Rahsia Kerajaan 1972 dan elak kredibiliti dia tercelar untuk menjadikan dia seorang saksi yang boleh dipercayai.

Kerana itu laporan draf disebut sebagai laporan asal dalam tajuk utama Malaysiakini.

Obvious sangat lah strategi ini. Trial by media.


p/s : kertas pendakwaan terhadap Najib telah dilampirkan di sini. Dalam kertas pendakwaan pun dengan jelas ianya ditulis Najib suruh pindaan dibuat sebelum laporan dimuktamadkan. Ambrin juga sahkan Najib suruh buat pindaan pada draf.

(Nota: Yuktes Vijay adalah seorang pengamal perundangan dan pernah terlibat dalam pasukan peguambela Anwar Ibrahim dalam kes liwat 2)