Pages

Saturday, November 23, 2019

MISTERI AHLI-AHLI PARLIMEN UMNO-BN YANG BERJUMPA AZMIN, SEKADAR MEMPERTAHANKAN DIRI DAN TIDAK MENYERANG AZMIN ALI DAN MAHATHIR!!!




Hari ini, Anwar Ibrahim menunjukkan kepada Mahathir khususnya bahawa dia mempunyai kekuatan yang tersendiri. Malah dia turut memberikan isyarat, sekiranya Mahathir berterusan mengharapkan Azmin Ali yang semakin terpinggir dari PKR, Mahathir akan mengalami nasib yang jauh lebih teruk berbanding yang dihadapi oleh Najib Abdul Razak dan Zahid Hamidi, dua orang yang paling didendami oleh Mahathir selepas Anwar.

Di Sarawak, Anwar Ibrahim tidak peduli dengan ugutan atau gertakan fraksi Azmin Ali terutama sekali yang melibatkan AMK. Ketiadaan Baru Bian, sekutu utama Azmin Ali di Sarawak dengan kumpulannya, tidak menghalang Konvensyen PKR Sarawak daripada berjalan lancar dan Anwar sendiri datang ke Sarawak dengan jet peribadi yang diperolehinya sewaktu dia masih berada di dalam penjara kerana jenayah liwat.

Rakyat Malaysia, khususnya golongan muda yang tidak pernah hidup pada tahun 1997-2000 atau ketika itu mereka masih menetek, dibawa kembali ke zaman itu. Cuma kali ini, memandangkan Mahathir dan Anwar Ibrahim sudah tua, maka permainan ganas dan agresif seperti yang ditunjukkan pada tahun 1998 dahulu, sudah bertukar corak.

Pun begitu, kaedah perang dan pertempurannya tetap sama. Anwar mencari pengaruh dan kekuatan. Mahathir pula mendakwa dia masih ada pengaruh dan kekuatan.




 Baru-baru ini, beberapa orang Ahli Parlimen UMNO-BN dilaporkan oleh media membuat pertemuan dengan Azmin Ali di kediaman rasminya di Precint 10, Putrajaya. Seolah-olah memang disengajakan pertemuan itu diketahui oleh Anwar Ibrahim, Azmin Ali kemudiannya dipersoalkan oleh orang yang paling meroyan dan berkeinginan besar hendak jadi Perdana Menteri Malaysia ke-8 itu.

Azmin kemudiannya diarahkan menghadiri Mesyuarat Biro Politik PKR. Apabila Azmin tetap enggan hadir selepas setahun tidak menghadirinya, Anwar mengugut yang Azmin boleh dipecat dari parti. Pun begitu, Azmin Ali yang mungkin mendapat kekuatan daripada Mahathir, tidak menghiraukan ugutan Mahathir. Sebaliknya Azmin dilaporkan membuat pertemuan 'sulit' dengan beberapa orang pemimpin dan Ahli Parlimen PKR pula.

Namun Azmin memang menduduki tempat istimewa sama ada kepada Anwar Ibrahim apatah lagi Mahathir yang menggunakan Azmin sebagai Tembok Besar Negeri Chinanya.



Pertemuan Azmin dengan Ahli-Ahli Parlimen UMNO cuba digunakan dan dimanipulasikan oleh Mahathir dengan beberapa kenyataan yang membuatkan ramai tergelak besar.

Kesilapan Mahathir ialah, dia masih terperangkap dalam era 80-an di mana maklumat hanya diperolehi dari sumber-sumber rasmi dan kerajaan. Mahathir masih terperangkap dengan stigma, dia menguasai dan mengaturkan maklumat sebagaimana yang dikehendakinya.

Akibatnya, akar umbi UMNO menzahirkan rasa tidak senang dan gelisah dengan gelagat Ahli-Ahli Parlimen tersebut. Berita-berita negatif turut menyusul dan orang yang paling akrab dengan Azmin Ali dan Mahathir iaitu Hishamuddin Hussein Onn menjadi sasaran kemarahan.


Hishamuddin Hussein Onn dituduh menjadi pengembala kepada kawanan Ahli-Ahli Parlimen UMNO-BN itu untuk memberikan sokongan kepada Mahathir supaya kekal dengan jawatan Perdana Menterinya sekaligus menghalang Anwar daripada merampas jawatan tersebut. Hishamuddin didakwa cuba membawa Ahli-Ahli Parlimen UMNO-BN itu untuk melompat parti, sekaligus mengukuhkan kedudukan Mahathir yang mengetuai parti paling minoriti dalam Pakatan Harapan yang menjadi Kerajaan Putrajaya.

Ramai yang beranggapan, pertemuan Ahli-Ahli Parlimen UMNO-BN dengan Azmin Ali di kediaman rasminya tidak ubah seperti masuk ke dalam perangkap yang memang dipasang oleh Mahathir menggunakan Azmin Ali. Mahathir akan menggunakan kesempatan itu untuk memusingkan cerita sebenar agar dia menang - sama ada menang ke atas Anwar Ibrahim, apatah lagi ke atas UMNO yang kelihatan jelas sedang mengatasinya dari pelbagai aspek.


Kelewatan Ahli-Ahli Parlimen UMNO-BN yang terbabit mengeluarkan kenyataan rasmi, telah dipergunakan oleh Mahathir untuk menyatakan kononnya, Ahli-Ahli Parlimen tersebut bertemu dengan Azmin Ali untuk mereka menyatakan rasa tidak senang, hilang kepercayaan dan rasa jijik berada di dalam UMNO. Mahathir memberitahu satu negara menerusi media-media rasmi yang dikuasainya bahawa dia sudah terlalu kuat untuk dijatuhkan atau digulingkan oleh Anwar Ibrahim.

Paling-paling tidak, Mahathir dilihat mempunyai sokongan Ahli Parlimen UMNO-BN yang bersama-sama Hishamuddin Hussein Onn dan 18 orang Ahli Parlimen PAS yang lebih awal menyatakan, mereka lebih menyokong Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal berbanding penyerahan jawatan tersebut kepada Anwar Ibrahim ikut pintu belakang.

Agak menarik apabila beberapa orang Ahli Parlimen UMNO-BN hanya menjadi bertahan dan mempertahankan diri daripada 'serangan' Mahathir. Mereka sekadar menafikan. Malahan Zahid Hamidi dalam satu kenyataannya, Ahli-Ahli Parlimen UMNO-BN tersebut bertemu dengan Azmin Ali untuk membincangkan tentang peruntukan infrastruktur di kawasan mereka.

Terbaharu ialah apabila 8 orang lagi Ahli Parlimen UMNO-BN yang dilaporkan bertemu Azmin Ali, menyanggah dakwaan dan tuduhan Mahathir. Sebaliknya mereka menyatakan yang mereka sebenarnya mengajak Azmin Ali menyertai UMNO-BN.

Sekali lagi mereka dikecam oleh akar umbi yang telah menolak pembabitan dan penyertaan Azmin Ali mahupun Mahathir ke dalam UMNO-BN. Biarpun Mahathir dan Azmin Ali merupakan watak utama dalam Kerajaan Pakatan Harapan, tetapi kebanyakan netizen dan akar umbi penyokong UMNO lebih rela, UMNO dan BN menjadi pembangkang berbanding menjadi kerajaan ikut pintu belakang. Azmin Ali dan Mahathir diharamkan menyertai UMNO walau apa pun yang berlaku kepada UMNO dan para pemimpinnya!

Menariknya, timbul persoalan, mengapa sikap Ahli-Ahli Parlimen UMNO-BN terbabit begitu lunak terhadap Azmin Ali dan Mahathir?

Bukankah lebih mudah untuk mereka mengatakan yang Azmin sebenarnya memanggil mereka dengan bertemankan besannya dan juga rakan karibnya, Hishamuddin Hussein Onn untuk dia meminta pendapat mereka bagi memudahkan dia menyertai UMNO selepas kedudukannya dalam PKR semakin meruncing dan dia perlu menyelamatkan pencalonannya sebagai Perdana Menteri Ke-8?


Mengapa Ahli-Ahli Parlimen UMNO-BN terbabit tidak mahu memberitahu yang Mahathir telah menggunakan Azmin Ali untuk meminta nyawa dan kepastian bantuan daripada UMNO-BN sekiranya Anwar Ibrahim benar-benar mempunyai jumlah yang mencukupi di Parlimen untuk menggulingkannya sekaligus mengancam kedudukan yang sedang dinikmati oleh anak-anak dan kroni-kroninya sekarang?

Mengapa Ahli-Ahli Parlimen UMNO-BN itu tidak mahu bercakap tentang runding-niaga yang ditawarkan oleh Mahathir menerusi Azmin Ali apabila pertemuan tersebut seolah-olah sengaja dibiarkan media menciumnya, sekaligus membolehkan berita pertemuan tersebut dilaporkan kepada orang ramai di seluruh negara dan sampai ke telinga serta pengetahuan Anwar Ibrahim?

Dan yang paling penting, mengapa Ahli-Ahli Parlimen UMNO-BN tidak menceritakan tentang syarat-syarat yang mereka kenakan kepada Azmin Ali dan Mahathir berbanding sanggup membiarkan mereka dikecam dan dicemuh oleh para penyokong UMNO sendiri berhubung pertemuan tersebut?


Adakah ini merupakan serampang dua mata seperti yang dilakukan oleh bekas Ketua Puteri UMNO yang juga merupakan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermiyati dan bekas Menteri MITI yang juga merupakan Ahli Parlimen Jeli, Hamzah Zainuddin dan beberapa orang Ahli Parlimen UMNO lain yang kemudian melompat masuk ke PPBM selepas mendapat keyakinan dan kepastian bahawa mereka 'terselamat' daripada sebarang tindakan undang-undang?


1 comment:

  1. Kenapalah bodoh sgt MP umno yg gi jumpa azmin tu..dah lama dlm politik masih x kenal lagi dgn atuk madey Dan permainan politik dia..yg Masuk perangkap dia buat apa...

    ReplyDelete