Pages

Monday, January 4, 2016

HARI PERTAMA PERSEKOLAHAN, ADA ANAK PENOREH GETAH YANG KEMPIS HIDUNGNYA, MENITIK AIR MATANYA!!!



Getah bukan lagi pendapatan utama negara ini. Sudah banyak tanah yang dahulunya kebun getah, telah menjadi kebun kelapa sawit. Malah banyak juga estet getah, kini telah menjadi kawasan industri dan perumahan.

Justeru, cerita-cerita tentang kebun getah dan kaum penoreh getah, sudah menjadi barang antik yang kurang diberikan perhatian.

Namun walau negara sedang menggila dengan pelbagai industri, masih ada lagi sekelompok besar manusia terutama di kawasan-kawasan luar bandar dan tradisi yang masih bergantung kepada getah.


Kita tentu masih ingat beberapa tahun lalu, satu fenomena hebat telah melanda apabila harga getah melonjak tinggi sehingga ada yang membawa kereta ke kebun getah dan tidak lagi berasa jijik dengan bau kohong sekerap basah. Malah sangat berbangga kerana hasil torehan membolehkan mereka memperolehi pendapatan lumayan secara harian.

Malah sehingga ada yang sudah tidak dapat membezakan pisau menoreh dengan pisau dapur pun, turut mencari-cari kebun getah untuk ditoreh kerana pendapatan lumayannya.

Namun setiap yang naik, pasti ada yang turun. Komoditi seperti getah, sekalipun amat diperlukan oleh industri pembuatan, harganya tetap berada di bawah kawalan manipulasi pasaran. Apatah lagi pada zaman di mana harga minyak mentah lebih murah, menjadikan getah asli berhadapan dengan harga yang tidak menentu.

Percaya atau tidak, walaupun boleh dikatakan majoriti negara di dunia ini memerlukan getah, getah sekerap di Malaysia hanya berada pada harga di bawah RM2.00 sekilogram. Malah ada di sesetengah tempat, harganya hanya berkisar sekitar RM1.50 sekilogram. Menoreh di kebun getah seluas 1 ekar, yang mempunyai sekurang-kurangnya 200 batang pokok, hanya memberikan pendapatan kurang RM40.00 dengan andaian purata setiap batang pokok menghasilkan sekerap seberat 100 gram.

Kerja menoreh getah bukannya kerja setiap hari. Hujan bererti, pokok getah tidak boleh ditoreh. Untuk membolehkan setiap batang pokok getah ditoreh dalam sebarang cuaca, memerlukan belanja yang lebih terutama membabitkan penyediaan tudung parut atau jarum dan penggalak susu selain plastik penakung, tidak termasuk lagi pencuri yang cukup ramai sekarang ini.


Ketika penjawat-penjawat awam dan pesara menerima bonus daripada kerajaan, kaum FELDA menerima pelbagai bantuan, kaum nelayan juga tidak ketinggalan, meskipun berbantuankan BR1M di mana hampir kesemua menerima, kaum penoreh getah hanya mampu ternganga-nganga. Keberadaan mereka di muka bumi ini, tidak mendapat pembelaan sesiapa pun.

Kalaupun ada RISDA atau agensi-agensi yang berkaitan, kebanyakannya hanyalah menjadi tempat untuk orang mengambil gaji, elaun dan keistimewaan tertentu sahaja sekalipun tujuan penubuhannya adalah untuk membantu pekebun-pekebun kecil.


Sehingga kini, belum ada sebarang penyelesaian yang dibuat oleh Kerajaan tentang nasib para penoreh getah. Tiada sesiapa yang sudi membicarakan masalah penoreh getah. Tiada NGO yang mahu bercakap dan memperjuangkan nasib kaum penoreh getah walaupun ada golongan politik yang cuba mempolitikkan nasib penoreh getah demi perut dan tembolok ahli-ahli politik berkenaan.

Pernah atau tidak, kita terfikir tentang jumlah yang perlu dikeluarkan atau dibelanjakan oleh penoreh getah untuk anak-anak mereka bersekolah, terutama pada awal persekolahan ini apabila segala benda perlu dibeli termasuklah buku-buku modul yang tidak seharusnya dipaksa ibu bapa membelinya?




No comments:

Post a Comment