Pages

Saturday, May 14, 2016

TOLONGLAH, JANGAN BUNUH WAIBI BUDIMAN ZOHDI!!!



Antara Wakil Rakyat yang paling mudah didekati dan sentiasa pula ada untuk rakyat yang diwakilinya, adalah YB Budiman Zohdi, ADUN Sungai Panjang bagi penggal pertama.

Dari subuh berjamaah di masjid-masjid berhampiran, sehinggalah ke tengah malam di madrasah-madrasah sekitar Sungai Panjang bersama penduduk dan pengundi, merupakan rutin hariannya. Pertemuan dengan para pengundi yang mencari bantuan di Pusat Khidmatnya di tengah-tengah Pekan Sungai Besar pula, dijalankan dengan penuh lancar menerusi bantuan daripada kakitangan-kakitangannya sendiri.

Faktor dia sebagai anak watan, anak tempatan dan 'budak jahat' Sungai Panjang pada zaman kanak-kanak dan remajanya mungkin merupakan satu faktor besar yang mendokong kebolehupayaannya mendekati masyarakat seperti sekarang.

Budiman bukannya Wakil Rakyat yang menjanjikan bangunan pencakar langit di Sungai Panjang atau membawa masuk FDI bernilai berbilion Ringgit di Parlimen Sungai Besar mahupun lebuhraya 16 lorong. Dia juga bukannya menjanjikan langit, bulan dan bintang kepada para pengundi dan penduduk...

Sebaliknya sikap ambil berat dan ambil tahu, menjadi amalan utama YB Budiman Zohdi. Dan ternyata sikap tersebut disenangi oleh para pengundinya.

PRK Parlimen Sungai Besar menimbulkan nama Budiman Zohdi sebagai salah seorang calonnya. Ada yang berpendapat, tidak salah jikalau UMNO-BN mencalonkan seorang ADUN untuk bertanding di Parlimen, apatah lagi Budiman mempunyai 'nur' yang cukup baik.

Amalan tersebut dibuat oleh DAP dan PKR secara meluas. Seorang ADUN mereka, mungkin juga seorang Ahli Parlimen seperti Azmin Ali dan Lim Guan Eng.


Budiman Zohdi telah dan masih menjalankan tugas dengan baik di DUN Sungai Panjang. Belum pun sepenggal dia menjadi ADUN Sungai Panjang, kecemerlangan wakil rakyatnya sebelum ini, menjadi sinambungan kepada Budiman Zohdi.

Meletakkan namanya dalam senarai calon-calon UMNO-BN PRK Parlimen Sungai Besar, samalah seperti meletakkan tali gantung di leher Budiman Zohdi dan Budiman pula diletakkan di atas sebuah bangku yang patah kakinya.

Masa masih panjang untuk Budiman Zohdi mendaki kerjaya politik khususnya di dalam UMNO. Memancung, mencantas dan mentaligantungkannya dengan 'tergesa-gesa' memikulkannya tanggungjawab baru selaku Ahli Parlimen Sungai Besar, dan pada masa yang sama, mencipta pula MUSUH-MUSUH di dalam UMNO, bukanlah sesuatu yang elok untuk dihadapinya.

Sebenarnya, menjadi calon Parlimen Sungai Besar, bukanlah satu dosa atau satu masalah. MASALAH UTAMANYA nanti adalah di dalam UMNO Sungai Besar itu sendiri!!!

Lebih baik Budiman Zohdi terus menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakili Sungai Panjang berbanding menjadi PENDEKAR, PANGLIMA, TUKANG LEMBING DAN TOMBAK di dalam 'PERTEMPURAN SUNGAI BESAR' nanti....


No comments:

Post a Comment