Pages

Thursday, July 14, 2016

KEMBALIKAN HUKUMAN GANTUNG SAMPAI MATI UNTUK KEKANG PEMILIKAN DAN PENGGUNAAN SENJATA API SECARA HARAM!!!



Ketika tahun-tahun 60-an sehingga awal 90-an, hukuman gantung sampai mati melibatkan pemilikan senjata api secara haram, bahkan mereka yang didapati memiliki peluru juga turut menerima akibat. Selain daripada ancaman pengganas komunis, zaman itu juga terkenal dengan zaman kongsi gelap dan kumpulan-kumpulan samseng serta penjenayah tegar seperti Botak Chin, Mokhtar Komando dan sebagainya.

Nallakaruppan yang sekarang ini bergelar Tan Sri, telah ditangkap dan didakwa kerana memiliki peluru M-16 ketika awal Era Reformasi dan penyingkiran serta pemecatan Anwar Ibrahim. Dia sendiri mengakui yang dia bakal berhadapan dengan hukuman gantung sampai mati, hanya kerana memiliki peluru.

Bagaimanapun, penghujung 90-an memperlihatkan ketegasan undang-undang yang berkaitan mula dilonggarkan. Hukuman mati untuk pemilikan mahupun penggunaan senjata api secara haram, dilihat mula dilonggarkan, apatah lagi dengan desakan daripada pelbagai pihak khususnya peguam-peguam DAP agar hukuman mati di negara ini dimansuhkan, kononnya melanggar hak asasi manusia.

Semalam, seorang lelaki menembak mati empat ahli sekeluarganya di Batu Maung, Pulau Pinang. Puncanya dikatakan ketagihan najis dadah. Senjata yang digunakan pula, merupakan senjata seludup dari Thailand.

Dalam bulan ini sahaja, beberapa kes bunuh melibatkan senjata api, turut dilaporkan oleh pelbagai media. Dan yang 'terbesar' adalah pembunuhan ahli PKR Sarawak, Bill Kayong, juga melibatkan penggunaan senjata api.

Pada ketika tuduhan demi tuduhan daripada DAP dan PKR bahawa polis adalah 'trigger happy' dengan menjadikan golongan penjenayah dari kaum minoriti sebagai mangsa, berita-berita tentang ancaman senjata api secara haram, semakin banyak diperkatakan dan disiarkan.

Dan di sebalik tekanan kepada pihak berkuasa agar mengekang atau menangani masalah ini, tekanan juga dibuat oleh DAP dan PKR agar undang-undang dilonggarkan dan penjenayah diberi muka, malah agar tidak dikenakan hukuman berat.

Kerajaan Malaysia seharusnya mengembalikan semula hukuman tegas yang pernah menakutkan golongan penjenayah dan kumpulan-kumpulan samseng. Toleransi yang ditunjukkan terutama membabitkan hukuman penjara sahaja, sudah tidak memadai untuk memastikan keselamatan rakyat awam di negara ini. Penguatkuasaan yang lebih kerap dan lebih tegas terutama membabitkan di sempadan, mahupun di perairan merupakan satu-satunya cara yang paling berkesan untuk mengekang masalah ini selain hukuman lebih tegas bagi mereka yang telah disabit kesalahan.


No comments:

Post a Comment