Pages

Tuesday, June 6, 2017

ISU FGV: SIASATAN MENYELURUH PERLU, TIDAK SAHAJA ZAKARIA ARSHAD DAN AHMAD TIFLY, ISA SAMAD JUGA PERLU BERCUTI DAN DIREHATKAN!!!



Walau apa pun yang berlaku dalam FGV yang tidak diketahui oleh orang luar, atau sebarang alasan yang diberikan oleh kedua-dua belah kem, selain campurtangan SPRM yang dikatakan telah bersetuju untuk melakukan siasatan. SPRM dilaporkan telah menerima beberapa maklumat penting berhubung masalah yang berlaku dalam entiti FELDA itu. Namun yang lebih penting, kes ini sebenarnya memberikan kesan sama ada jangka pendek atau jangka panjang kepada para peneroka FELDA itu sendiri.

Pada ketika FGV sendiri terpaksa bergelut untuk mendapatkan keuntungan daripada penyenaraiannya di bursa, dan beberapa bulan kebelakangan ini, penyelarasan tersebut sedang dibuat oleh pasaran, kemelut yang menimpa FGV masakini, tidak akan mengunjurkan pertumbuhan yang lebih baik kepada FGV, sebaliknya akan memberikan kesan yang lebih buruk, terutama sekali kepada imej Perdana Menteri yang kuat melindungi dan memperjuangkan FELDA serta FGV sendiri.

Sebarang masalah antara Tan Sri Isa Samad dengan Dato Zakaria Arshad dan Ahmad Tifly Mohd Taha, seharusnya tidak mengaitkan pihak lain kecuali pihak berkuasa seperti SPRM.

Dan kalaupun benar siasatan dalaman FGV mewajibkan Zakaria dan Ahmad Tifly bercuti sementara, sewajarnya Isa Samad turut bercuti daripada FELDA dan FGV. Siasatan harus dibuat secara menyeluruh, tidak sahaja membabitkan Zakaria dan Ahmad Tifly, tetapi juga Isa Samad dan ahli keluarganya yang berada di dalam FELDA.

Pendedahan yang dibuat oleh blogger Malaysia Today, RPK di dalam blognya, adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan. Penglibatan Isa Samad dalam Delima dan Safitex yang menandatangani perjanjian pada 17 Oktober 2015, boleh memberikan banyak makna. Apatah lagi, antara punca Zakaria direhatkan adalah kerana urusniaga antara Delima dan Safitex. (BACA JUGA DI SINI)

Sebelum ini, terdapat beberapa projek gila termasuklah membela sturgeon yang mengatasnamakan FGV dan FELDA. Bagaimanapun, projek berkenaan tidak diteruskan walaupun beberapa pihak kelihatan amat teruja dan terdorong untuk melaksanakannya walaupun pada masa yang sama cukup sedar, haiwan akuatik tersebut tidak pernah ditemui hidup di perairan air tawar tropika seperti Malaysia. (RUJUK SINI)

Projek tersebut khabarnya sedang dan masih disiasat oleh SPRM. Dan FELDA dikatakan memberikan kerjasama yang baik untuk proses siasatan.

Cerita-cerita 'aneh' yang berkisar di dalam FELDA dan FGV sepanjang Isa Samad diberikan kuasa, sangat banyak. Para peneroka yang dahulunya tidak pandai bercerita, juga sekarang ini pandai bercerita. Mungkin mereka termakan hasutan daripada pihak pembangkang seperti yang kerap didakwa. Namun pada masa yang sama, banyak persoalan yang dibangkitkan, termasuklah hutang para peneroka kepada FGV, tidak pernah dijawab secara tuntas dan jitu.

Justeru, FGV dan FELDA sebenarnya perlu merehatkan Isa Samad juga bagi membolehkan siasatan dilakukan secara adil dan saksama. Nafi memang boleh nafi tetapi orang awam, terutama sekali para peneroka dan mereka yang terlibat dengan FELDA secara langsung atau tidak langsung, sudah tentu menuntut keadilan yang lebih besar berbanding sekadar mendengar pelbagai teori dari sebelah pihak.

Rehatlah dan bercutilah, Tan Sri Isa Samad!


1 comment:

  1. Yang menulis cerita diatas kemungkinan besar adalah buta bab Isa Samad hanyalah pengerusi mewakili kerajaan dan operasi penuh dijlnkan oleh CEO. Atas nasihat CEOlah , pengerusi menanda tangan perjanjian. Jadi yg kena tangung segala kepincangan yg berlaku ialah CEO.

    ReplyDelete